Kawan2 yg saya Sayang

Friday, August 2, 2013

AITDS the sequel :- THE WITCH THAT I LOVE (Bab17)


Bab17
MENJADI rutin Camie untuk ke perpustakaan setiap kali hendak mencari bahan rujukan untuk tugasan kuliahnya. Kadang-kadang dia bersama Leah jika mereka perlu bekerjasama dalam satu kumpulan tapi selalunya dia bersendirian. Dia lebih suka bersendirian kerana tidak perlu melayan kerenah Lady Boss Leah yang menjengkelkan setiap kali mereka dikehendaki bekerjasama.
Hari ini dia ke perpustakaan hanya kerana singgah sebentar sementara menunggu waktu untuk ke kelas yang patut dihadirinya petang itu.
Suasana dalam zone senyap di tingkat dua itu tidak begitu ramai orang. Disebabkan itu Camie berjaya mengesan seseorang yang cukup di kenalinya di satu meja di sudut paling hujung dalam perpustakaan tersebut. Senyumannya mekar semekarnya sebaik mengenali kelibat Jay yang ditemani buku-buku yang bertimbun di atas meja. Pemuda itu tidak sedar akan kewujudannya memandangkan kepalanya sudah mendarat di atas meja dengan sebuah buku yang terlingkup di atas kepalanya. Sahlah dia sudah mengembara ke alam mimpinya. Dia mengenali pemuda itu pun disebabkan telefon pintarnya yang bernama Salamander itu berada di atas meja.
Camie menggeleng sahaja melihat telatah Jay yang masih lagi sama seperti dahulu. Seorang yang sukakan buku dan tidur merupakan hobi utamanya. Dimana-mana pun Jay boleh tidur kalau dia mahu. Camie mengambil tempat di sebelah Jay secara senyap. Buku yang bersepah di atas meja dikerling satu persatu. Semua buku-buku tersebut berkaitan dengan muzik. Terdapat juga buku berkaitan tokoh-tokoh dan jutawan terkenal. Camie tiada idea kenapa Jay mahu membaca buku seperti itu. Tiada apa yang menarik bagi Camie melainkan sebuah buku keras berwarna coklat yang seperti pernah dilihatnya sebelum ini.
Buku tersebut berada di bawah lengan kanan Jay. Perlahan-lahan Camie cuba mengangkat tangan Jay untuk mengambil buku tersebut dengan berhati-hati. Dia sempat menjeling wajah Jay untuk memastikan yang lelaki itu masih nyenyak lena. Kemudian barulah dia mula menyelak isi kandungan buku tersebut.
Dia menyelak beberapa lembaran terawal buku tersebut dan barulah Camie mengerti mengapa Jay bertanya tentang Jeremy tempohari. Leah bukan setakat merahsiakan identiti sebenar Jay sebagai Dew malah memalsukannya dengan mempergunakan diari Jeremy. Cuma satu lagi persoalannya, dari mana Jay memperolehi diari tersebut? Pasti ada seseorang yang merancang semua ini berlaku ke atas Jay.
Tiba-tiba Salamander yang berada dekat dengan Jay bergetar kuat sebelum menyanyikan lagu Lullaby. Jay terjaga dan secara automatik tangannya menggenggam Salamander. Penggera dimatikan sebelum ia berbunyi kuat dan menarik perhatian semua orang dalam kawasan zone senyap itu.
Jay menggeliat sebelum membetulkan kaca mata di wajahnya. Setelah dia betul-betul sedar barulah dia perasan Camie ada di situ bersamanya.
“Camie?”
“Hai, Jay.” Buku diari Jeremy sudah ditutup dan diletak di atas meja bersama buku-buku yang lain. Camie tersenyum memandang Jay yang tampak keliru selepas bangun tidur.
“Kau buat apa di sini?” Jay bertanya sambil menyusun semula buku-buku yang berselerak di sekitar meja yang didudukinya.
Study. Kau pula?” Camie mengembalikan soalan. Sekadar berbasa basi.
“Samalah. Study… err, tidur kot. He he he…” dia tertawa sendiri. Camie turut menyusul dalam tawa tersebut. Memang apa yang dilihatnya tadi Jay sedang tidur dan bukannya sedang belajar.
“Jay…”
Jay sekadar mengangkat wajahnya merenung ke arah Camie yang memanggilnya.
“Boleh aku tanya sesuatu?”
Jay diam sejenak. Memandang raut wajah Camie yang bagai menyimpan sesuatu di sebalik ketenangan suaranya.
“Boleh.”
“Apa yang telah berlaku pada kau sebelum ini?” Camie cuba mencari klue bagaimana Jay boleh hilang ingatan dan berada di Kota Lisberg ini memandangkan Leah tidak mahu berkongsi apa-apa berkaitan pemuda itu kepadanya.
Jay diam. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan Camie. Dari mana dia hendak bermula? Bagaimana dia hendak memulakan cerita? Adakah Camie boleh dipercayai kerana sejak kebelakangan ini dia mula tidak mempercayai Leah lagi.
“Sebelum aku jawab soalan kau yang susah tu boleh tak tolong aku kemas buku-buku ni kat rak semula.”
Camie menyengetkan mulutnya sambil menjeling Jay. Ada-ada sahaja ulah lelaki itu. Jangan-jangan masih ada niat hendak membulinya seperti dahulu lagi.
Jay sekadar tersengih melihat Camie yang hanya akur tanpa membantah permintaannya. Mereka sama-sama mengemas buku-buku yang telah diambil oleh Jay tadi sebelum mengambil keputusan untuk menyambung perbualan di luar perpustakaan pula.
“Camie, boleh aku percayakan kau?” dalam rasa senangnya Jay masih mahu berhati-hati. Selagi dia tidak ingat apa-apa dia sentiasa diburu rasa curiga terhadap orang sekelilingnya. Mereka sedang berjalan beriringan di koridor di luar perpustakaan.
“Dalam tempoh setahun kau hilang, tak pernah seminit pun aku lupa pada kau, Dew.”
Langkah yang diatur sangat perlahan seolah-olah masing-masing sedang mengharapkan masa tidak berlalu terlalu pantas petang itu.
“Dew? No… nama aku Jay. Jeremy Oghio Khitto.” Dia hanya percaya dia ialah lelaki dalam diari berkulit keras berwarna coklat dalam pegangannya itu.
“Itu bukan kau tapi kembar kau.” Tanpa teragak-agak Camie terus memberitahu kenyataan tersebut.
What?” Jay kelihatan agak terkejut. Langkah kakinya terhenti di situ sambil mengerling roman wajah Camie yang cukup yakin dengan keterangannya.
“Dia bekas kekasih aku dan dia dah mati empat tahun lepas.” Air muka Camie cukup tegas mahu meyakinkan kenyataan tersebut kepada Jay.
Riak wajah Jay masih kurang mempercayai Camie. Masakan dia mahu percaya jika secara tiba-tiba Camie memberikan kenyataan yang bercanggah dengan apa yang dipercayainya sebelum ini.
“Kalau kau tak percaya, cuba baca lembaran terakhir diari Jeremy. Ada sesuatu yang mungkin aku boleh buktikan walaupun tidak pernah baca diari tersebut.”
Jay segera membuka beberapa bahagian pada penghujung muka surat diari tersebut.
“Kami mula rapat pada penghujung tahun tersebut. Jeremy mesti pernah tulis tentang kali pertama kami berkenalan di bawah sepohon pokok. Waktu itu sedang berlangsung sebuah festival di sekolah kami dan aku tak ke festival tersebut gara-gara pakaian aku yang kotor sebab terjatuh di lopak ketika hendak ke festival tersebut. Jeremy kesian dengan aku dan temankan aku di situ. Kami berbual lama sepanjang petang. Itulah permulaan hubungan kami.” Sebuah memori manis yang tidak pernah luput dari kotak memori Camie biarpun jasad Jeremy telah lama bersemadi.
“Cerita tu betul…” mata Jay sedang tertumpu membaca lembaran di penghujung diari tersebut. “…tapi dia tak sebut pun nama kau dalam buku ni.”
“Tst…” mulut Camie berdecit. Sedikit mengeluh dan Jay tidak faham mengapa. “Sebab korang berdua sama sahaja, selalu lupa dengan nama penuh aku yang panjang. Waktu itu Jeremy salah faham dengan nama aku jadi dia panggil aku Emily. Selepas kami jadi semakin mesra barulah dia mula memanggil aku Mily. Dia tak pernah panggil aku Camie seperti semua orang.” Itu membuatkan Camie berasa istimewa. Dan seingatnya sebelum ini Dew juga jarang memanggilnya Camie. Dia memang rasa  sangat ‘istimewa’ dengan gelaran Si Hodoh yang dipanggil oleh Dew selama ini. Ergh!
Jay merenung Camie tanpa riak.
“Nama penuh aku Camily Miyazaki Martinez. Boleh tak kau tolong cuba ingat nama itu mulai sekarang?”
Jay menjungkit bahu… “Nama kau sangat panjang dan menyusahkan orang nak ingat. Tapi aku rasa aku mula mempercayai kau.” dia membuka helaian terakhir diari Jeremy dan menunjukkannya kepada Camie bahagian mana yang Jeremy pernah tulis tentang dirinya.
Camie tersenyum membacanya. Namun tiba-tiba dia berasa sebak apabila memori manis itu kembali menerjah ke ruangan fikirannya. Cinta pertama merupakan kenangan yang paling sukar untuk dibuang jauh dari hidup seseorang. Dia terus menutup buku tersebut dan menyerahkan semula kepada Jay. Walau seindah mana pun memori tersebut ia tetap telah menjadi sejarah. Kisah diantaranya dengan Jeremy sudah lama tamat.
Tiba-tiba Hunnypink bergetar di poket tepi beg sandangnya. Camie mencapai telefon pintar tersebut. Ada mesej masuk dan dia membacanya. Senyumannya meleret sebaik menerima mesej daripada teman sekuliahnya.
“Lebarnya senyuman. Mesti kelas awak dibatalkan kan?” Jay menembak sahaja sebaik melihat senyuman Camie.
“Pandai awak teee… eh, awak?” sejak bila pula? Baru seminit tadi membahasakan diri aku-kau sahaja dengan aku. “Pandai kau teka.” Camie menukar kata nama tersebut agar tidak kekok.
Kelihatan Jay tersengih-sengih melihat gelagat Camie yang tersilap membahasakan dirinya. Gadis itu menyimpan semula Hunnypink ke dalam saku begnya dan kembali mengatur langkah. “Okeylah, Jay… aku nak balik.”
“Cepatnya. Kata tak ada kelas. Buat apa balik cepat-cepat. Lagipun banyak lagi cerita yang kau nak beritahu kan.” Jay cuba menghalang.
Camie tersenyum nakal. Memang dia sengaja mahu melihat sama ada Jay mahu menahannya atau tidak. Dan Jay memang tidak mahu dia pergi begitu sahaja tanpa memberitahu keseluruhan cerita.
So, kau nak ikut aku tak? Kita pergi jogging petang ni. Nanti aku cerita lagi. Tapi bukan pasal Jeremy. Tentang kau… tentang family… tentang kawan-kawan kita.”
“Dan tentang kita?”

“Yup… dan tentang kita berdua.” Camie tersenyum penuh makna. Akhirnya dia mempunyai peluang untuk mendekati Jay tanpa gangguan Leah lagi. Dia memang ada motif mahu mengajak Jay berjogging petang ini. Ini adalah langkah pertama untuk dia cuba mengembalikan memori Jay.

Bersambung lagi daa...


1 comment:

eija said...

Ini dh cukup bgus.. Pdai camie ambik pluag tp klo leah taw abis lah camie