Kawan2 yg saya Sayang

Wednesday, July 31, 2013

AITDS the sequel :- THE WITCH THAT I LOVE (bab15)


Bab15
PETANG yang indah itu tidak terlalu panas. Malah angin sepoi-sepoi bahasa menyamankan suasana. Cuaca yang sangat sesuai untuk beriadah. Leah membetulkan kasut sukan yang baru disarungkan ke kakinya. Kemudian dia mencapai cekak rambut dan disematkan ke kepala untuk mengemaskan rambutnya sebelum berjalan menuju masuk ke dalam stadium terbuka yang menjadi gelanggang olahragawan menjalankan aktiviti latihan mereka di situ.
Leah berdiri di luar padang untuk memanaskan badan sebelum memulakan latihannya. Dia mengambil posisi bersebelahan dengan dua orang teman seperjuangannya yang juga baru tiba di situ untuk melakukan aktiviti yang sama dengannya.
“Hai, Leah.”
“Hai, Myra… Suzy…” Leah melontarkan senyuman kepada teman-teman yang menegur. Dia mengambil kesempatan yang pendek itu untuk berbual kosong dengan mereka. Leah tidak begitu rapat dengan mereka namun masih boleh bergaul dengan mereka. Dia meneruskan aktiviti memanaskan badannya tanpa menghiraukan sesiapa selepas pemergian teman-temannya tadi.
Pandangan ditala ke tengah padang untuk melihat aksi beberapa atlit lain yang sudah memulakan latihan mereka. Sebenarnya latihan begini bukanlah rutin yang selalu dijalankan oleh Leah. Sebagai ahli marathon dia boleh berlari dimana-mana sahaja. Selalunya dia berlari di sekitar taman rekreasi berhampiran kediamannya. Cuma hari ini dia mahu menukar angin dengan membuat larian di dalam stadium pula.
Setelah selesai memanaskan badan Leah memulakan lariannya. Namun belum sempat dia memecut tiba-tiba lariannya dihalang oleh sekumpulan gadis yang berpusu-pusu masuk ke dalam padang.
What the… %^&” Leah menyumpah sambil mencerling tajam kepada mereka semua. “Hoi, main redah sahaja. Kau buta? Tak nampak orang ke!” gertaknya. Namun tiada siapa yang pedulikannya di situ. Panas juga hatinya apabila gadis-gadis tersebut tidak menghiraukan amarahnya. Ada lima orang gadis yang dia percaya bukan atlit yang hendak menjalankan latihan di padang tersebut. Leah tahu melalui pakaian yang mereka pakai. Masing-masing berdandan cantik dengan gaya tergedik-gedik berdiri berhampiran balapan sambil bersorak ke arah seorang pemuda kacak yang sedang membuat latihan larian 400meter.
Ada tiga orang atlit lelaki yang sedang membuat larian ketika itu. Seorang atlit yang berkepala botak. Seorang atlit yang agak rendah dan mengenakan kacamata hitam. Manakala yang terakhir pula seorang pemuda ala model pakaian sukan yang menyumbat telinganya dengan earphone. Leah yakin gadis-gadis tersebut sedang bersorak untuk pemuda kacak yang dipercayai sebagai anak bangsawan oleh semua orang itu.
Fake prince!” Leah bercekak pinggang sambil menjuihkan bibirnya tanda meluat. Renungannya yang dipicing ke arah Shin Viera beralih pula kepada gadis-gadis yang sedang bertepuk tangan dan bersorak setelah Shin menamatkan lariannya. Bukan main gembira lagi gadis-gadis tersebut setelah melihat Shin mendahului dalam larian tersebut.
Seorang gadis bermini skirt merah jambu melangkah menuju ke arah Shin dengan sebotol air dan tuala kecil. Sebelum sampai kepada Shin sempat lagi dia meminta pandangan teman-temannya tentang penampilannya sebelum berhadapan dengan putera idaman hatinya itu.
Tahap menyampah Leah sudah di paras maksima. Situasi ini sering berlaku di hadapan matanya dan dia semakin meluat dengan aksi-aksi kipas-susah-mati Shin Viera. Hari ini dia perlu berbuat sesuatu demi kepuasan dirinya.
“Putera pujaan ramai tu mendapat perhatian orang lagi.”
Leah menoleh ke sebelah apabila muncul seseorang yang seolah-olah sedang bercakap dengannya. Teman atlit yang berbual dengannya sebelum memulakan latihan tadi rupanya.
“Kenapa semua orang sukakan dia?” soal Leah. Ada nada menjengkelkan di situ.
He is… perfect. Kebanyakan perempuan suka lelaki jenis begitu. Kebanyakan lelaki juga mahu menjadi seperti Shin. Bijak, kacak, kaya. Dia lelaki dengan pakej lengkap kot,” komen gadis yang bernama Myra.
“Itu sahaja?” Leah seolah-olah tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Myra.
“Baik, berbudi bahasa, sopan santun.” Yang seorang lagi menambah. “Well… dia seorang putera raja yang low profile. Ofcourse lah sering menjadi perhatian,” Suzy, si gadis berambut pendek persis tomboy itu pula yang menyambung.
“Dan aku akan buktikan yang semua orang adalah bodoh sebab tak nampak siapa sebenarnya lelaki itu.” Leah berjalan menuju ke tengah padang meninggalkan teman-temannya. Myra dan Suzy berbalas pandangan sebaik melihat roman wajah Leah yang penuh muslihat.
“Leah, kau nak buat apa?”
You two… stay and watch.” Leah tersenyum sinis sebelum melangkah pantas menuju ke tengah padang.

************

Shin sedang mengambil posisi untuk memulakan lariannya. Dia bergerak-gerak setempat sambil menanti dua orang lagi rakan seperjuangannya yang baru hendak masuk ke petak larian masing-masing. Jurulatih bertubuh tegap yang sedang memegang jam randik itu sedang bersedia untuk meniup wiselnya. Shin menyematkan earphone ke telinganya. Selepas itu alunan gesekan biola yang gemersik menyapa telinganya pada kadar volume yang sederhana. Masih lagi dapat mendengar suara di sekitarnya.
Setelah mendapat arahan, Shin dan teman-temannya mengambil posisi bersedia sebelum memulakan larian. Ketika itulah matanya menangkap kelibat Leah yang sedang memanaskan badan di tepi padang sambil berbual bersama teman-temannya. Gadis itu nampak lain dari hari biasa kerana berpakaian sukan dan hanya mengenakan solekan yang nipis di wajahnya. Nampak natural walaupun masih kelihatan menggoda dalam berpakaian. Legging hitam paras lutut dan bra tops berwarna biru kundang yang dipakainya menampakkan susuk tubuhnya yang seksi, membuatkan Shin mengurut dada berulang kali kerana menahan degupan jantungnya yang berdebar-debar memandang gadis itu. Lain macam sungguh aura Leah dalam pandangan matanya jika hendak dibandingkan dengan perempuan lain yang ada di sekitar padang tersebut.
Kedengaran sorak sorai dari luar padang namun Shin kurang menghiraukan mereka semua kerana waktu ini dia sudah dalam keadaan bersedia menunggu wisel dibunyikan untuk dia memulakan larian. Sebaik jurulatih meniup wisel larian pun bermula. Suara gadis-gadis yang sedang memberikan sorakan galakan di luar padang tidak didengarinya lagi kerana ruang telinganya baru sahaja dipenuhi dengan muzik dari kumpulan Muse yang mendendangkan lagu Assassin yang baru sahaja menggantikan alunan gesekan biola sebelumnya tadi. Muzik bertenaga persembahan Muse itu manaikkan adrenelinnya. Hatta pecutan kakinya juga bertambah kencang untuk mendahului rakan-rakannya untuk sampai ke garisan penamat.

GADIS manis berskirt merah jambu itu mengatur langkahnya dengan penuh gaya pergi menghampiri Shin sebaik lelaki itu menamatkan lariannya. Di tangannya memegang tuala kecil dan sebotol air mineral yang mahu diberikan kepada putera pujaannya itu.
Leah melangkah pantas mendapatkan gadis tersebut sebelum dia sempat menyapa Shin. Dia segera menghalang langkah gadis tersebut di pertengahan jalan.
“Pernahkah kau terfikir yang tindakan kau ni hanya akan memalukan diri sendiri sahaja bila putera pujaan kau tu tak berminat nak melayan desperate girl macam kau?”
“Hei, siapa kau yang cuba nak halang aku sekarang ni?” dia tidak puas hati dengan sikap Leah terhadapnya.
“Kau tak perlu tahu siapa aku tapi aku akan tunjukkan siapa sebenarnya Putera Shin kau tu. Jadi sekarang ni aku nak kau pergi balik ke tempat asal kau dan tengok sahaja apa yang aku nak buat sekejap lagi.” Leah memusingkan tubuh gadis tersebut dan menolaknya untuk kembali ke dalam kumpulannya di luar padang.
Wajah gadis itu masam mencuka sambil menjeling tidak puas hati terhadap Leah. Sementara Leah kembali bergerak pergi mendapatkan Shin yang sedang berbual dengan jurulatihnya.
Leah tidak terus menegur Shin sebaik tiba di situ. Sekadar berdiri sambil melirik ke arah jurulatih Shin. Lirikan itu akhirnya mendapat perhatian dari jurulatih tersebut. lelaki bertubuh tegap itu seolah-olah memahami bahasa tubuh Leah lantas beredar meninggalkannya bersama Shin.
Shin memusingkan tubuhnya untuk berhadapan dengan Leah yang telah disedari akan kemunculannya. Dia melontarkan senyuman kepada Leah tetapi Leah tidak membalasnya. Gadis itu sekadar melemparkan jelingan menyampah kepada Shin.
“Hai, Leah.” Shin melangkah setapak untuk menghampiri Leah. Earphone di telinganya sudah ditanggalkan dan disangkutkan pada batang lehernya.
Fake prince… kau jangan ingat aku tak tahu apa-apa tentang identiti sebenar kau.”
Shin mengerutkan dahi. Dia tidak faham akan maksud kata-kata Leah yang tiba-tiba terus kepada isinya tanpa sebarang mukaddimah.
“Kau bukan putera raja atau anak bangsawan.”
So…?” …bila masa pula yang aku mengaku sebagai putera raja mahupun anak bangsawan?
“Hari ini aku nak cabar kau berlumba lari dengan aku.”
“Hmm… motif?” sungguh Shin tidak faham apa tujuan sebenar Leah mencabarnya.
“Saja-saja. Hidup ini kadangkala bosan jadi kita perlukan sedikit hiburan.”
Shin senyum dalam gelengannya. “Kalau aku kata yang aku tak berminat?”
“Aku tetap nak cabar kau sebab aku rimas… meluat… menyampah dengan perempuan-perempuan gedik macam mereka semua tu. Jadi dengan mencabar kau, bolehlah aku buktikan yang kau ni sebenarnya bukan hebat sangat pun. Dan tak ada sebab yang kukuh untuk semua orang puja kau bagaikan kau seorang sahaja yang hebat dalam dunia ni.”
“Okey… jadi diorang semua tu bersorak untuk aku ke tadi?”
“Soalan bodoh apa yang kau tanya ni. Siapa lagi selain kau yang mereka nak sokong dalam padang ni?”
Sorry. Memang aku tak perasan pun.” …mungkin sebab imej kau lebih menonjol dalam pandangan mata aku sejak tadi. Matanya cuba merenung tepat ke dalam mata bundar Leah yang berwarna hazel itu. “Hmm… terima kasih kerana berani mencabar aku tapi aku tak berlawan dengan perempuan.” Shin memusingkan kakinya dan mengatur langkah untuk meninggalkan Leah yang begitu berkobar-kobar mahu mencabarnya berlumba lari.
“Hei,” dengan pantas Leah menarik pergelangan tangan Shin untuk menghalangnya dari pergi tanpa menerima cabarannya. “Aku takkan benarkan kau pergi selagi kau tak penuhi permintaan aku.”
“Apa yang kau nak buat kalau aku tetap tak nak berlumba lari dengan kau?” Shin sekadar melontarkan kerlingannya kepada Leah yang bersungguh-sungguh mahu menewaskannya. Dia tidak faham apa motif gadis tersebut sebenarnya. Gadis ini agak lain macam sedikit sikapnya apabila berhadapan dengannya. Langsung tidak sama seperti gadis-gadis lain termasuklah Camie. Dalam mata Leah seolah-olah dirinya ialah satu virus yang mesti dihapuskan. Virus yang akan merebak menjadi wabak yang akan menularkan penyakit merbahaya kepada semua orang di dalam kolej mereka.
“Bukan prinsip aku untuk bertanding dengan perempuan, Leah.”
“Jadi kau mesti akan ubah fikiran kalau aku cuba buat ini…” Leah memaut leher Shin lantas merapatkan wajahnya dengan Shin. Bibirnya sengaja didekatkan ke bibir pemuda tersebut. Namun tidak bersatu. Sekadar mahu mengaburi pandangan para peminat Shin di luar padang.
“NOOOOO!!!” seraya menjeritlah para peminat Shin di luar padang tersebut sebaik melihat aksi Leah dan Shin yang seolah-olah sedang berkucupan.
“Leah!” Shin yang terkejut pantas menolak tubuh Leah dan segera menjarakkan semula kedudukannya dengan gadis tersebut.
Leah tertawa sinis. Ekor matanya menjeling ke arah pekikan gadis-gadis di luar padang tersebut. Mereka semua hampir meraung dan menyumpah-nyumpah tindakan Leah sebentar tadi.
“Jangan risau. Aku cuma nak buat gadis-gadis tu meraung sahaja. Tapi kalau kau tetap tak mahu penuhi permintaan aku, sumpah aku akan buat betul-betul sekejap lagi.”
Grr… perempuan jenis apa dia ni? Macam ahli sihir dalam kisah dongeng! Sanggup buat apa sahaja demi impian jahatnya.
“100meter larian pecut. Jurulatih kau jadi pengadil kita. Setuju atau tidak?”
Shin tidak menjawab. Masih dalam pertimbangan.
“Tik… tok… tik… tok… come on, Shin. Masa sedang berjalan.”
Fine… ikut suka hati kau lah.” Shin menjawab separuh geram. Dia terus berjalan menuju ke garisan mula.
Leah tersenyum lebar. Kegirangan. Dia sempat melemparkan jelingan sinis kepada rakan-rakan seperjuangannya yang masih setia menanti di luar padang bersama-sama dengan para pengipas-susah-mati Shin Viera.

************

JAY masuk ke dalam stadium dan naik ke tingkat atas untuk mengambil tempat duduk di kawasan penonton. Dia ke situ setelah diberitahu oleh kenalan Leah bahawa gadis yang dicarinya itu berkemungkinan berada di sekitar stadium.
Dari tingkat atas dia meninjau ke seluruh padang. Tidak begitu ramai orang yang berada di kawasan padang tersebut. Hanya ada beberapa orang atlit olahraga yang sedang membuat latihan bersama dengan jurulatih mereka. Selain itu ada sekumpulan gadis yang berada di posisi di luar padang. Mereka kelihatan sedang bersorak tetapi Jay tidak pasti mereka bersorak untuk apa dan kepada siapa. Apa yang dia lihat hanya beberapa orang atlit yang sedang menjalankan latihan larian di atas balapan.
Matanya hanya tertumpu mencari kelibat gadis berambut merah berpotongan bob. Bibir Jay menguntumkan senyuman setelah kelibat yang dicarinya berjaya dijejaki. Kelihatan Leah sedang berjalan masuk ke dalam padang dan sedang menuju ke arah seseorang yang berada tidak jauh dari garisan penamat di balapan.
Jay nampak Leah bercakap dengan seorang gadis bermini skirt pink. Tidak lama kemudian gadis tersebut menuju ke arah kumpulan gadis yang bersorak tadi dengan wajah yang mencuka. Jay tersengih. Dia yakin ada sesuatu yang menyakitkan hati telah Leah katakan kepada gadis tersebut.
Mata jay terus memerhatikan gerak geri Leah yang sedang bercakap dengan salah seorang atlit olahraga yang baru menamatkan latihan lariannya tadi. Pandangan Jay kini tertumpu pula kepada susuk tubuh pemuda tersebut. Dari segi ketinggian lelaki itu berdiri di hadapan Leah, Jay dapat mengagak yang ketinggian lelaki itu lebih kurang sama sahaja dengan dirinya. Wajah pemuda itu jernih dan bila dia tersenyum nampak seluruh barisan gigi atasnya sehingga ke gusi. Lelaki dengan gummy smile. Satu kecacatan yang kadangkala merupakan satu anugerah bagi sesetengah orang. Pemuda yang tidak dikenali Jay itu mempunyai kulit yang tidak terlalu cerah dan tidak terlalu gelap. Kulit orang asia.
Tiba-tiba kedengaran jeritan ‘NO’ yang panjang dari sekumpulan gadis yang bersorak tadi. Mata Jay yang sedang tertumpu ke arah Leah juga sedang tergamam di saat itu. Air liur yang cuba ditelan di dalam mulut bagaikan berpasir dan tersekat di rengkung. Matanya membulat dan dahinya berkerut menahan suatu perasaan yang secara mendadak merebak ke seluruh jiwa raganya dalam sekelip mata. Satu perasaan negatif yang bergelodak dalam jiwanya itu ialah api cemburu yang meluap-luap sebaik melihat Leah yang sedang berkucupan dengan atlit kacak di tengah padang tersebut.
“Perempuan tak guna!” dia menumbuk penghadang besi yang menjadi tembok di tempat duduk tersebut sebelum beredar dari situ dengan perasaan marah yang berleluasa.

****************

PREET!!!
KAKI yang sudah bersedia di garisan mula serta merta dihayun untuk memulakan pecutan. Shin mendahului Leah pada dua puluh meter terawal. Namun kemudiannya Leah berjaya menyaingi Shin sepanjang lima puluh meter berikutnya sebelum gadis itu berjaya memintas Shin untuk ke garisan penamat.
Leah tersenyum lebar. Sangat-sangat puas kerana berjaya mengalahkan Shin. Dia sempat menoleh ke luar padang dan melihat kumpulan gadis tadi sudah mula beransur pergi setelah melihat kemenangannya. Senyumannya berubah menjadi ketawa yang sinis. Dia memusingkan langkahnya untuk kembali mendapatkan Shin yang kelihatan sedang mengusap peluhnya dengan sehelai tuala kecil. Shin sekadar melemparkan pandangan kosong terhadap gadis yang sedang bergembira dengan kemenangannya itu.
“Puas hati kau sekarang?” Shin mencapai botol minuman yang terbaring di atas padang rumput. “Dapat kenakan aku di hadapan orang ramai. Dapat kalahkan aku. Seronok?” Shin bertanya dalam senyuman. Matanya masih tertumpu pada lenggok tubuh Leah yang datang kepadanya. Dia menghulurkan botol air mineral di tangannya kepada Leah.
“Seronok… tapi lebih seronok kalau aku dapat lingkupkan terus imej palsu kau sebagai putera pujaan ramai tu,” kata Leah sambil tertawa sinis. Penutup botol air dibuka dan air jernih itu diteguk sementara menantikan serangan balas Shin yang seterusnya terhadapnya.
“Putera? Aku? Err… pelik.” Shin yang agak lurus itu adakalanya seperti ikan yang hidup di dalam air tetapi tidak pernah meminum air di sekelilingnya. Dia tidak pernah mengambil peduli perhatian orang ramai terhadapnya walaupun dia hidup di dalam kampus yang dipenuhi ramai orang yang suka bergosip. Samada dipuja atau dibenci, dia tetap dia yang hidup kerana lipatan sejarah yang misteri dan tidak diketahui ramai orang.
“Eh, jangan nak buat-buat tak tahulah. Semua orang anggap kau seorang putera raja dan kau sangat bangga dengan gelaran itu kan.”
Shin garu kepala sambil mengerutkan dahi merenung Leah. Leah mengetap bibir menahan geram kerana merasakan Shin sengaja berpura-pura lurus dan tidak tahu apa-apa tentang pandangan semua orang terhadap dirinya. Lelaki itu kemudiannya menyumbat telinganya dengan earphone. Barangkali malas hendak melayan kerenah Leah lagi.
Leah mengetap gigi sambil menggenggam penumbuknya, menahan geram dengan sikap tidak ambil peduli Shin terhadapnya. Seraya kakinya terus diatur meninggalkan balapan dan menuju ke luar padang menemui teman-temannya tadi. Senyumannya kembali diukir mempamerkan kepuasannya kerana berjaya mengalahkan atlit pilihan pertama universiti itu tadi. Myra dan Suzy turut tersenyum namun senyuman mereka lebih bersifat sesuatu. Leah sedikit pelik.
“Hei, aku dah menang. Aku dah kalahkan ‘Tuan Putera’ tu. Kau orang tak bangga ke?”
“Leah, kau tak rasa pelik ke kau menang dengan seorang atlit lelaki dan Shin tu pelari pecut tau.”
Leah terdiam. Dia mula berasa sesuatu yang tidak kena.
“Dia sengaja bagi kemenangan pada kau lah.”
“Tak mungkin…”
“Leah, kami pun atlit juga. Kami boleh baca pergerakan Shin. Dia sengaja kurangkan pecutan untuk bagi kau menang.”
“Ergh… tak guna!” Dalam hatinya sedang menyumpah seranah Shin setelah mengakui kebenaran kata-kata Myra dan Suzy. Dari jarak jauh pandangan Leah kembali mencari kelibat Shin di padang. Dia melontarkan aura amukannya melalui cerlingan tajam matanya. Barangkali Shin merasai aura tersebut lantas menoleh ke belakang memandang ke arah Leah sambil tersenyum menampakkan gummy smile nya yang menawan. Leah rasa macam nak lastik sahaja mulut lelaki tersebut. Biar patah semua gigi Shin. Kemudian pasti senyuman menawan itu akan lenyap dan tidak lagi menghantui kehidupan kebanyakan gadis dalam kampus mereka.
Leah yang bercekak pinggang dengan air muka yang tegang menudingkan jari telunjuk dan jari hantunya ke arah Shin sebelum kembali dituding ke arah matanya. Kemudian jari telunjuk itu dileretkan ke lehernya. Ia membawa maksud yang Leah akan kembali menghancurkan hidup Shin kelak.
Shin memandangnya dengan air muka yang kosong kerana tidak faham apa maksud Leah yang seolah-olah masih tidak berpuas hati dengannya itu. Gadis tersebut kemudian dilihat terus mengatur langkahnya mahu meninggalkan stadium. Shin melontarkan pula pandangan tanda soalnya kepada Myra dan Suzy yang masih terpacak di situ. Kedua-dua gadis tersebut hanya menjungkitkan bahu kerana tiada idea dengan perangai Leah yang anti Shin.

Bersambungggg.....


1 comment:

eija said...

Wah2 mkin mnarik nie... Leah dgn shin.. Jay dgn camie..c