BAB11
SELEPAS
berpisah dengan Leah, Jay tidak terus menghalakan kakinya untuk pulang.
Sebaliknya dia bercadang untuk bersiar-siar di sekitar Kolej University Prince
Gelius II. Tempat baru itu harus dijelajahi terlebih dahulu sebelum dia
memulakan kehidupan barunya di institusi itu selepas ini.
Matanya
tertarik pada seorang gadis yang sedang duduk termenung sambil memegang sebuah
buku di taman bersebelahan dengan kafeteria. Gadis itu nampak ringkas dengan
mengenakan gaun kuning dari fabric cotton dan kardigan pendek berwarna kelabu
di bahagian luar. Sepasang skaf putih bercorak polka dot berwarna hijau di atas
kepalanya tidak begitu menjanggalkan penampilannya. Kelihatan sesekali dia
menggigit straw dari botol minuman 100Plus. Matanya tidak begitu tertumpu pada
buku yang terbuka dalam pegangannya kerana fikirannya lebih memikirkan masalah
hidupnya.
Jay
tertarik untuk mendekati gadis tersebut. Bibirnya meleretkan senyuman sambil
kakinya melangkah menghala ke arah Camie.
“Hello, Miss Stalker,” sapa Jay sambil
mengambil tempat di sebelah Camie biarpun belum mendapat kebenaran.
Camie
hampir tersedak dengan sapaan Jay yang muncul secara tiba-tiba. Tubuhnya
ditegakkan sambil kepalanya dikilas merenung kepada Jay. Air mukanya
menjelaskan yang dia tidak mengalu-alukan kedatangan Jay menyapanya di situ.
Jay hanya tertawa melihat reaksi Camie.
“Tak
ada apa yang kelakar untuk kau gelak,” Camie serius. “Apa yang kau mahu?” Hati
Camie masih lagi terguris disebabkan sikap Jay dan Leah tadi.
Jay
menjungkit bahu sambil menatap Camie. “Aku dah minta maaf tapi kau belum maafkan
aku. Jadi aku datang sekali lagi untuk dapatkan kemaafan dari kau.”
Camie
terkejut dengan kenyataan Jay. Ia berbunyi seolah-olah memang benarlah yang
lelaki itu bukan Dew Jeremy Orbido. Ada dua perkataan yang tidak pernah ada
dalam kamus hidup lelaki yang pernah bergelar Tuan Muda itu iaitu ‘minta maaf’
dan ‘terima kasih’. Dia tidak pernah meminta maaf kerana keegoannya sangat
tinggi dan dia tidak pernah berterima kasih kerana dia telah dididik sejak
kecil sebagai Tuan Muda yang berhak untuk memberi arahan kepada sesiapa. Maka
‘terima kasih’ tidak penting baginya kerana apa yang dia tahu semua orang mesti
melakukan setiap perkara yang diarahkannya.
“Tapi
kenapa?”
“Well… the fact is, maybe I’m not good with
stragers.” Jay memberikan alasan yang menyebabkan Camie perlu memaafkannya.
“Okey…
aku maafkan kau.” Dia tiada motif yang kuat untuk tidak memaafkan Jay jika
pemuda itu memang bukan Dew.
“Thank’s… Err… terima kasih, Camie.”
Camie
sekadar mengangguk. Namun matanya tidak dipalingkan ke arah Jay. Jika mahu diikutkan
hati dia mahu memandang wajah itu sepuas-puasnya. Dia rindukan Dew… Sangat
merindui lelaki itu. Itulah fakta yang tidak pernah dia sembunyikan dari
sesiapa.
“So, Jay… kau memang berasal dari
Lisberg?” Camie memulakan perbualan sebagai langkah untuk mengenali Jay dengan
lebih dekat. Dia patut tahu serba sedikit latar belakang Jay untuk menafikan
dakwaan asalnya terhadap pemuda tersebut.
“Ya,
buat masa sekarang. Tapi boleh jadi jawapan sebenarnya ialah… tidak.” Dia
sendiri tidak pasti kerana memorinya telah lesap.
“Aku
tak faham.” Air muka Camie penuh tanda tanya mendengar jawapan Jay.
“Entahlah.
Aku pun tak faham dengan apa yang aku tak faham,” balas Jay sambil tertawa
kecil. Seolah-olah mentertawakan dirinya sendiri.
Camie
merenung Jay penuh makna… jangan-jangan dia sengaja sembunyikan sesuatu dari
aku. Hatinya berbisik curiga.
“Kadang-kadang
aku terfikir… adakah aku sebenarnya makhluk asing dari planet lain yang
barangkali ada agenda untuk menakluk bumi?” soalnya dengan wajah yang serius.
“Hah??”
Camie ternganga mendengar persoalan Jay lantas tertawa gelihati. “Kau ni
kelakarlah…” dia terus tertawa.
Jay
sebaliknya tidak membalas tawa Camie dengan sebarang reaksi. Sekadar lontaran
pandangan yang dingin memerhatikan telatah Camie yang tertawa gembira.
“Kau
fikir aku sedang buat lawak?” soalnya dalam nada mendatar.
Tawa
Camie yang masih bersisa segera mati mengejut. Camie terkesima melihat sikap
Jay yang tiba-tiba dingin. Jangan kata ketawa, senyum pun tidak. “Kau bukan
buat lawak ke?” tanyanya semula. Berani dalam takut. Air mukanya berubah riak
kerana berasa risau jika telah menyinggung perasaan Jay.
Jay
masih lagi serius merenung Camie dengan pandangan yang dingin. Raut wajah Camie
yang bulat comel itu diterokanya. Anak mata gadis itu bulat memenuhi kelopak
mata dan berwarna hitam. Tidak begitu sepet memandangkan dia bukan anak gadis Jepun
yang tulin. Kulitnya tidak begitu cerah jika hendak dibandingkan dengan Leah
namun nampak halus dan polos. Dia tidak secantik Leah tetapi kecomelannya
seratus peratus mengatasi Leah.
Untuk
lima saat sikap dinginnya mendapat perhatian Camie. Namun akhirnya Jay tidak
dapat bertahan lagi untuk berlagak serius. Giginya mengetap bibir yang bergetar
kerana menahan tawa yang dikulum di dalam mulut. Kecomelan Camie yang ditambah
dengan gaya innocent gadis tersebut
menyebabkan Jay tidak sampai hati hendak berpura-pura lagi. Akhirnya tewanya
meletus dengan kuat.
Camie
terkejut dan tertanya-tanya. Sedetik kemudian baru dia menyedari yang dia
sedang dipermainkan oleh Jay. Ini membuatkannya berasa marah.
“Kau
permainkan aku.”
Jay
menggeleng sambil menekup mulutnya menahan tawanya yang bersisa.
“Ya,
kau sengaja permainkan aku.” suaranya meninggi kerana marah.
“Kau
takkan ambil kisah kalau kau mahu berkawan dengan aku, kan.”
Camie
menyengetkan leretan mulutnya sebelum kembali tersenyum. Sekurang-kuranganya
dia merindui gurauan sebegitu dari Dew.
Jay
gembira setelah Camie tersenyum semula.
“So, sekarang giliran aku pula untuk
bertanya. Kau berasal dari mana?”
“Roseland.
Sebelum ini aku pernah menetap di Riveria Hook dan aku berkenalan dengan Leah
ketika kami sama-sama menuntut di Riveria
High School Collage.”
Untuk
tiga saat pertama Jay terdiam. Camie cuba meneka apakah maksud diam Jay yang
disulami satu kerutan di wajahnya itu.
“Roseland…?”
Camie mengangguk mengiakan. “Kau dan Leah berkenalan sejak di sekolah
menengah?” Camie mengangguk sekali lagi. Dia mula merasakan ada sesuatu tentang
diri Jay yang perlu dia korek lagi.
“Kenapa
Jay? Ada apa-apa yang tak kena?” duga Camie.
“Tak
ada apa-apa.” …aku berkenalan dengan Leah sepatutnya sejak dari sekolah
menengah. Aku dan Camie sepatutnya telah berkenalan sebelum ini. Jadi kenapa
Leah tak pernah temukan kami berdua sebelum ini?
“Are you sure?”
“Camie,
kau kenal siapa Jeremy Oghio Khitto?”
Soalan
Jay serta merta menyebabkan darah Camie tersirap naik ke atas kepala. Bagaimana
soalan tersebut boleh terkeluar dari mulut Jay sedangkan dalam kepala otak
Camie sedang memikirkan kemungkinan yang Jay ialah Dew Jeremy Orbido?
“Apa
yang kau tahu tentang Jeremy?”
“Kau
memang tahu tentang dia. Kau tahu siapa aku, kan?”
“Jay,
aku rasa ada perkara penting yang patut aku lakukan sekarang. Aku nak pergi
jumpa seseorang. Kita berbual lagi lain kali.” Camie bangkit dari kerusi sambil
menyendeng begnya. Dia mula mengatur langkah untuk beredar.
“Hei,
kau belum jawab soalan aku. Kenapa tergesa-gesa sangat ni? kau nak jumpa
siapa?”
“Soalan
kau tu bukan aku tak nak jawab. Aku janji akan jawab suatu hari nanti. Cuma
bukan sekarang.” Camie menyedapkan hati Jay dengan sebuah senyuman manis
sebelum mula mengatur langkahnya. “See
you next time, Jay.” Kakinya segera melangkah pantas untuk menjejaki orang
yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap persoalan Jay tadi iaitu Leah.
Bersambung...
2 comments:
Laaa napa camie xnk bg taw jer kt jay...sapa jeremy 2..
sebab die nak bersemuka dengan org yang sepatutnya dulu...
Post a Comment