Kawan2 yg saya Sayang

Friday, January 25, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab 3)


Bab3
KETIKA Ameer kembali pulang ke rumahnya dia terus menuju ke peti surat. Apabila melihat kunci rumahnya elok terletak di dalam peti surat hatinya berasa lega. Ini bermakna Mariya sudah keluar dari kediamannya dan dia bebas membawa Hakimi masuk tanpa sebarang masalah. Dia tidak mahu kisah gadis misteri bernama Mariya itu diketahui sesiapa. Kalau boleh biarlah Mariya terus lenyap dari hidupnya.

“Masuklah, Mi. Rumah aku macam dulu juga. Tak ada apa yang berubah.” Sebaik membuka pintu rumah Ameer mempersilakan tetamunya masuk.

Hakimi melangkah masuk sambil menjinjit sebuah beg bersaiz sederhana yang berisi keperluan peribadinya. Matanya sempat meneroka isi rumah Ameer. Dia perasan selain kedudukan perabot yang sudah berubah sedikit tiada apa yang berbeza dalam rumah tersebut. Masih kekal kemas dan teratur sebagaimana Hakimi mengaturkannya pada kali terakhir beberapa bulan lalu.

“Kau duduklah dulu. Berehat. Aku tahu kau mesti penat kan.”

Hakimi hanya tersenyum. Dia melabuhkan punggung di sofa sambil matanya memerhatikan Ameer yang sibuk-sibuk meluru ke dapur menyediakan minuman untuknya.

“Tak payah susah-susah layan aku macam tetamu terhormat. Pandailah aku cari makan minum sendiri di rumah kau.”

Ameer yang mencari sesuatu dalam peti sejuknya menoleh ke arah Hakimi. Dapurnya jenis terbuka dan bersambung dengan ruang tamu jadi segala tindakannya di dapur itu dapat dilihat Hakimi dari ruang tamu.

“Kau ni, Mi. Bukannya selalu pun datang ke rumah aku. Sesekali dapat layanan istimewa dari aku tak best ke?”

“Yelah, Ameer…” ada cebikan dalam senyuman Hakimi yang mengerling Ameer penuh makna.

“Err… Mi, aku teringin nak makan Spaghetti yang kau masak.” Ameer yang sedang menuang jus ke dalam gelas itu tersengih-sengih kepada Hakimi. “Ingat tak Ibu pernah masakkan kita spaghetti ala-ala Kari Tomyam dulu. Kau pernah belajar resipinya dengan ibu kan. Apa kata kau masak untuk aku malam ni.” Ameer melontarkan cadangannya sambil melangkah kembali ke ruang tamu mendapatkan Hakimi.

“Dah agak dah.” Dalam diam Hakimi mengulum senyuman. Setiap kali dia duduk melepak di rumah Ameer memang wajiblah dia yang turun ke dapur untuk memasak.

Ameer seorang pemakan tetapi adakalanya agak cerewet memilih makanan. Salah satu puncanya kerana perutnya yang sensetif dan mudah sakit jika tersalah mengambil makanan. Hanya ibunya sahaja yang memahami pemakanan Ameer. Jadi disebabkan Hakimi tinggal bersama dengan Ameer sejak di asrama sehinggalah di universiti maka Hakimilah yang menjaga pemakanan Ameer. Hakimi belajar memasak dengan Ibu setiap kali dia melawat keluarga Ameer. Dia lakukan perkara tersebut semata-mata demi Ameer.

“Mir, ibu apa khabar?” tanya Hakimi sebaik Ameer menyuakan minuman sejuk kepadanya. Dia mengambil gelas berisi minuman itu tetapi tidak terus diminum sebaliknya diletakkan di atas meja kopi di hadapannya.

Sebaik melabuhkan punggung di sebelah Hakimi barulah Ameer menjawab pertanyaan itu. “Ibu sihat. Cuma sejak kebelakangan ni dia selalu sebut nama kau setiap kali aku call dia. Dia rindukan kau kot.” Wajah Ameer mencorak suatu perasaan cemburu. Hakimi cuba memahami.

“Dia rindukan anak kandung dia. Kau mesti dah lama tak balik kampung jumpa orang tua kau, kan.” Hakimi terus menembak Ameer. Dia tahu Ameer sudah lama tidak pulang ke kampung sejak sibuk dengan kerjayanya.

“Apa pula… aku selalu telefon ibu tau.” Riak wajah Ameer seperti cuba menjelaskan bahawa aku-tak-bersalah!

“Suka hati kaulah. Tapi kalau boleh, cubalah cari masa pergi jenguk orang tua kau. Sementara masih ada peluang, Mir.” Hakimi sekadar memberi nasihat selaku seorang sahabat. Dia tidak mahu Ameer menyesal di kemudian hari.

“Okey… aku cuba.” Ameer sekadar mengangguk. “Eh, minumlah air.” Gelas berisi jus oren di atas meja itu dicapai lalu disuakan kepada Hakimi semula.

“Nanti aku minum.” Hakimi menolak perlahan tangan Ameer yang menyuakan minuman itu. Dia nampak alat kawalan televisyen lantas segera mencapainya dan menekan butang ‘ON’ untuk menonton televisyen.

“Minumlah.” Ameer nampak tidak puas hati lantas cuba memujuk lagi agar Hakimi minum dahulu.

“Nantilah…” Hakimi tetap tidak menghiraukan Ameer.

“Aku suapkan ya. Meh, minum.” Ameer memegang pangkal mulut Hakimi untuk memaksanya minum jus yang disediakannya itu.

“Woi, apa paksa-paksa ni. Aku minum sendirilah nanti.” Tangan Hakimi menepis tangan Ameer yang mahu menyuakan muncung gelas ke mulutnya.

“Aku peduli apa. Aku nak kau minum sekarang juga.” Ameer menyeringai nakal. Mulutnya mengoyakkan senyuman dan ia menyebabkan kulit pipinya berkedut dan menyerlahkan lesung pipitnya di sebelah kiri pipi. Gigi siongnya yang terserlah seolah-olah menampakkannya seakan-akan syaitan yang nakal. Ameer kembali memaut pangkal wajah Hakimi.

“Woi, main kasar ni. Ingat aku budak-budak ke. Janganlah, Mir!” Hakimi sudah meronta-ronta dengan tindakan Ameer yang cuba memaksanya itu. Bibir gelas semakin rapat ke mulutnya. Dia sedaya upaya cuba menggagalkan rancangan jahat Ameer dengan menarik tangan Ameer yang sedang mencengkam wajahnya. Namun Hakimi gagal.

Ameer berjaya mengunci pergerakan Hakimi dan telah menguasai wajah Hakimi dengan tangannya. Wajahnya merapati Hakimi setelah berjaya merapatkan gelas minuman ke bibir Hakimi. Senyuman jahatnya semakin terserlah dan menggambarkan yang dia sedang bergembira menyakat sahabatnya.

Tang!

Tiba-tiba satu bunyi asing telah membunuh keseronokan Ameer bergurau dengan Hakimi. Serentak kepala kedua sahabat itu berpaling ke arah bunyi benda jatuh berhampiran pintu masuk. Sesusuk tubuh wanita bergaun warna putih separas lutut menerpa pandangan mata mereka berdua. Gadis itu sedang merenung tepat ke arah dua sahabat itu. Renungannya seakan cuba memahami apa yang sedang dua orang lelaki itu lakukan di ruang tamu itu.

Ameer dan Hakimi saling bertukar pandangan. Reaksi masing-masing nampak keliru namun diantara Ameer dan Hakimi, masing-masing ada pandangan yang berbeza terhadap gadis yang baru muncul itu.

“Ameer…” suara Hakimi separuh berbisik. Matanya merenung Ameer mohon suatu penjelasan.

Ameer kelu lidah. Dia benar-benar terkejut dengan kemunculan semula gadis yang dikenali sebagai Mariya itu. Apabila melihat kedudukannya dengan Hakimi yang terlalu rapat dengan pantas dia menjauhi sahabatnya kerana bimbang dengan pandangan Mariya terhadap mereka.

Gelas minuman diletakkan kembali di meja. Ameer berdiri. Kembali merenung Mariya yang masih dikedudukan yang sama berhampiran pintu masuk. Kali ini Ameer nampak Hakimi sedang merenung tepat ke arah Mariya juga. Ameer tahu Hakimi tentu akan fikir yang bukan-bukan tentang Mariya. Sebelum salah faham timbul Ameer cuba menjelaskan kedudukan yang sebenar.

“Hakimi, sebenarnya begini…”

“Ameer…” Ameer tidak jadi meneruskan ayat apabila namanya diseru Mariya. Mahu atau tidak Ameer segera mendapatkan Mariya dahulu. Kakinya pantas membawa Mariya keluar dari rumahnya menjauhi Hakimi.

“Apa yang awak nak lagi?” Ameer menyoal kasar sebaik mereka berada di halaman rumah. Baginya Mariya sudah merosakkan suasana harmoninya bersama Hakimi tadi.

“Sebenarnya saya…”

“Kan saya dah cakap jangan muncul lagi lepas tinggalkan rumah ni,” tanpa memberi peluang kepada Mariya untuk bercakap Ameer meluahkan rasa marahnya.

“Saya minta maaf.” Mariya menundukkan kepala.

“Apa yang awak nak dari saya sebenarnya?” Ameer bercekak pinggang merenung tepat Mariya yang nampak kerdil di matanya.

“Saya… saya…”

“Tinggalkan rumah saya sekarang. Saya tak nak tengok muka awak lagi dan tolong jangan ganggu hidup saya.” Sedikitpun tiada rasa belas terhadap gadis itu. Jika semalam dia berbaik-baik dengan gadis itu kerana menyangka Mariya perlukan perlindungan tetapi kali ini dia rasa marah kerana Mariya muncul sekali lagi dengan cara yang kurang beradab. Fikirannya terus bersangka buruk terhadap gadis itu yang baginya cuba mengambil kesempatan.

“Maafkan saya, Ameer.” Sekilas mata sayu Mariya mengerling ke arah jendela rumah Ameer. Dia ternampak kelibat Hakimi yang sedang mengintai perbualannya bersama Ameer. “Saya takkan ganggu awak lagi. Saya pergi dahulu.” Mariya tahu Ameer tidak senang dengan cara kemunculannya yang tiba-tiba. Dia patut beredar sekarang.

Perlahan-lahan langkah Mariya meninggalkan perkarangan rumah Ameer. Ameer memerhati kelibat Mariya sehingga keluar pagar rumah. Semasa di luar pagar mata Mariya kembali memandang ke arah Ameer. Ameer melarikan wajahnya dari pandangan Mariya. Mariya akur. Dia segera beredar pergi. Niat sebenarnya ketika mula menjejak kaki di rumah itu tadi dipadam terus dari minda.

Bersambung...