Kawan2 yg saya Sayang

Tuesday, January 22, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab 1)

Assalamualaikum... salam sejahtera buat semua pembaca. tentu ramai yang dah hampir melupakan blog Cik Kaseh ni. maklumlah... lama sangat tak updated entri baru. untuk pengetahuan semua... Aku Bukan Malaikat adalah e-novel yang sama dengan Ai Bukan Cinta. cuma disebabkan Cik Kaseh dah buat banyak pengubahsuaian, maka kali ini saya updated e-novel ini di blog ini, bukan lagi di blog Ai Bukan Cinta. Dengan kisah yang baru selesai di edit ini hope dapat feed back yang bagus dari pembaca semua...saya sedang menguasahakan agar e-novel ini dapat diterbitkan dalam versi cetak. Insya-Allah...jika mendapat sokongan dari kalian semua saya akan usahakannya. Selamat Membaca bab pertama ^_^



Bab1
DENTUMAN guruh yang kuat membuatkan Ameer mengucap panjang. Hujan yang sangat lebat menyebabkannya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pemanduan. Lampu kereta sengaja dibiarkan tinggi memandangkan tidak banyak kenderaan ketika itu. Maklumlah jam sudah melewati angka 1.00 pagi. Kebanyakan penghuni alam sudah lena diulit mimpi pada waktu begini.

Ameer membelokkan keretanya ke taman perumahan yang didiaminya. Seorang pengawal keselamatan yang bertugas melepaskan palang penghadang yang memisahkan kawasan taman perumahan itu sebaik melihat kemunculannya. Lelaki benggali berjambang itu senyum dan mengangkat tangannya apabila Ameer menyapanya secara bisu dari dalam kereta. Mereka saling mengenali kerana Ameer sudah menghuni Taman Indahpuri itu sejak beberapa tahun lalu.

Sebaik tiba di hadapan rumah teres dua tingkat yang didiaminya Ameer memberhentikan kereta. Dia diam tergamam sebaik melihat seorang yang tidak dikenali di luar pintu pagar rumahnya. Barang sejenak fikirannya cuba mencerna apa yang sedang dilihatnya kini. Seorang gadis yang kebasahan dalam waktu hujan lebat pada awal pagi.

“Siapa dia? Manusia atau hantu?” Melihat keadaan gadis tersebut membuatkan kepala Ameer memikirkan perkara yang bukan-bukan. Apatah lagi gadis berambut panjang itu berpakaian serba putih dan sedang tepat merenung ke arahnya dengan wajah yang sayu. Kulit wajahnya yang putih gebu itu nampak pucat dan jelas ketara kerana lampu kereta Ameer sedang menyorot ke arahnya. Melihat keadaan gadis itu Ameer jadi serba salah. Dia tidak tega membiarkan gadis itu terus berdiri di situ.

Akhirnya Ameer nekad untuk keluar menemui gadis tersebut. Payung di tempat duduk belakang keretanya dicapai dan dia bergegas keluar mendapatkan gadis yang sudah terhoyong-hayang hampir tumbang itu.
“Cik, awak tak apa-apa? Apa awak buat di sini?” payung didekatkan ke tubuh gadis tersebut agar dia tidak terus dikasari air hujan yang deras memukul.

Tanpa sebarang jawapan gadis itu merenung Ameer. Secara tidak langsung panahan mata itu menarik perhatiannya. Gadis itu mempunyai sepasang mata yang agak sepet tetapi anak matanya bulat penuh dan berkaca. Namun ada sesuatu yang telah menarik perhatian jejaka itu apabila melihat riak wajah gadis itu. Renungannya sayu bagai sedang menanggung kesedihan. Dalam teduhan payung itu Ameer dapat melihat air yang mengalir di pipi gadis itu bukanlah air hujan tetapi sebenarnya air mata. Kelukaan seolah-olah tercetak pada keningnya.

“Cik, awak mencari seseorangkah? Tak patut gadis seperti awak merayau-rayau dalam waktu begini. Siapa awak ni?”

Melainkan tangisan yang senyap tiada sebarang jawapan yang diberikan gadis itu. Dia hampir tumbang namun sempat tangannya memaut lengan baju Ameer. Secara spontan juga Ameer memaut tubuh gadis tersebut.

“Saya hantar awak pulang, ya?” Melihat keadaan cuaca yang masih hujan lebat dia tidak tega membiarkan gadis itu terus berada di situ. Sekurang-kurangnya biarlah dia menghantarnya pulang.

Namun gadis itu segera menggeleng. Dia tidak mahu dihantar pulang. Ameer jadi musykil. Apa yang dimahukan oleh gadis itu sebenarnya. Bila ditanya langsung tidak mahu membuka mulut untuk menjawab. Bisukah gadis ini? Ameer keliru.

“Jadi awak nak saya buat apa?” pautannya terhadap gadis itu longgar sedikit apabila gadis itu sekadar memaut sebelah lengannya.

Mata mereka berdua kembali bertaut. Ameer cuba memahami maksud pandangan mata itu. Sebaik melihat dengan betul wajah gadis itu dia dapat meneka yang gadis itu mungkin berbangsa cina. Gadis itu cuba membuka mulutnya untuk bersuara namun tutur katanya tidak dapat ditangkap oleh Ameer apabila kebetulan guruh berdentum di langit.

“Apa awak cakap tadi? Boleh ulang sekali lagi?” pinta Ameer.

Gadis itu meraup wajahnya yang basah dengan tapak tangan. Matanya tidak lepas dari merenung Ameer sejak tadi. Dia nampak dalam kesukaran. Bagai ada sesuatu yang menghalangnya dari terus bersuara terhadap Ameer. Tanpa diduga tiba-tiba dia merangkul tubuh pemuda itu.

Ameer terkedu. Payung di tangan terlepas dari genggaman. Hampir sepuluh saat dia membiarkan dirinya dipeluk oleh gadis misteri yang tidak dikenalinya itu. Otaknya ketika itu kosong. Selain bunyi hujan yang belum menunjukkan tanda-tanda mahu reda dia hanya mendengar esak tangis gadis itu di dadanya. Tanpa sedar tangannya perlahan-lahan menyentuh belakang tubuh gadis itu. Menepuk perlahan-lahan untuk meredakan perasaan gadis tersebut.

***************

AMEER sedang membancuh susu. Dari meja makan matanya sempat mencuri pandang ke arah gadis misteri yang ditemuinya tadi. Gadis itu sedang mengeringkan rambutnya menggunakan tuala yang diberinya sambil duduk di ruang tamu. Sedang asyik dia mengeringkan rambut tiba-tiba ekor matanya menjeling ke arah Ameer. Ameer tergamam lantas segera melarikan pandangannya dari gadis itu. Susu yang dikacau tanpa henti sejak tadi segera diangkat sudunya. Ameer mengatur langkah mendapatkan gadis tersebut dengan segelas susu panas yang ditatang di dalam piring kecil.

Susu diletak di atas meja kopi di hadapan gadis tersebut. Gadis itu sudah berhenti mengeringkan rambutnya yang panjang. Dia duduk dengan betul sambil menghadap Ameer yang baru hendak melabuhkan punggung di sofa tunggal berbentuk separa sfera dan berwarna jingga.

“Siapa awak sebenarnya?” soalnya.

Gadis itu tunduk memandang gelas susu di hadapannya.

“Apa yang awak buat di luar rumah saya tadi?” Ameer terus menyoal. Dia terlalu ingin tahu apabila melihat kemunculan gadis itu yang nampak misteri.

Gadis itu nampak tidak senang apabila diajukan soalan oleh Ameer. Tangannya segera mencapai gelas susu yang panas tadi. Gelas susu yang masih panas itu digenggam. Kehangatannya bersatu dengan tangannya yang kesejukan. Dia nampak selesa menikmati kehangatan gelas susu tersebut.

“Awak ni bisu ke? Dari tadi saya tanya awak tak nak jawab.” Kesabaran Ameer sudah mula goyah. Dia bangkit dari sofa dan mula mengatur langkah untuk beredar.

“Ameer Asytar…” perkataan yang termuntah dari mulut gadis itu membuatkan Ameer tergamam seketika. Akhirnya dia mendengar suara emas gadis itu.

Ameer berpaling semula kepada gadis tersebut. “Awak kenal saya?” Wajah Ameer nampak terpinga-pinga. Dia belum memperkenalkan diri tetapi gadis itu terlebih dahulu mengetahui siapa dirinya. Ini sangat pelik!

“Macam mana awak boleh tahu nama saya?” Ameer kembali mendekati gadis tersebut. Kali ini dia mengambil tempat di sebelah gadis itu.

Gadis itu merenung wajah teruja Ameer sebelum tangannya menuding ke arah sebuah majalah hiburan di penjuru meja tersebut. Mata Ameer meluru ke arah unjukan jemari runcing gadis itu. Dia melihat gambar dirinya bersama seorang artis wanita menjadi penghias muka hadapan sebuah majalah hiburan. Namanya juga terpampang dengan jelas pada tajuk majalah tersebut. ‘Ameer Asytar Fokus Pada Kerjaya Sebelum Cinta’.

“Err… maaf. Saya terlupa sebentar siapa diri saya.” Ameer garu kepala. Malu sendiri. Dalam hati sedang membodohkan diri sendiri kerana telah menyangka gadis tersebut ada kuasa psikik kerana tahu identiti dirinya.

Gadis tersebut tersenyum kecil. Matanya yang sepet itu tidak lepas-lepas merenung Ameer. Ameer jadi tidak keruan. Pabila teringat tindakan gadis itu pernah memeluknya secara tiba-tiba tadi menyebabkannya jadi seram sejuk lantas mengangkat punggung menjauhi gadis misteri itu.

“Jadi awak kenal saya sebab saya seorang selebriti?” soal Ameer sebaik melabuhkan punggung di sofa tunggal yang diduduki pada asalnya tadi.

Gadis itu mengangguk. Perlahan-lahan gelas susu yang digenggamnya singgah ke mulut.

“Awak ni… peminat saya?” soal Ameer ragu-ragu. Dalam kepalanya sedang meneka barangkali gadis ini salah seorang peminat fanatiknya. Kebarangkalian itu tidak mustahil kerana dia dikenali ramai.

Sangkaan Ameer meleset apabila gadis itu menggelengkan kepala. Ameer garu kepala. Persoalannya masih belum terlerai dan dia perlu menyoal lebih lanjut lagi.

“Jadi awak ni siapa? Boleh saya tahu nama awak?”

“Mariya.”

Ameer mengangguk sambil mulutnya menyebut kembali nama itu. Dia tersenyum sambil melirik kepada gadis itu. Sedap namanya seindah rupa parasnya.

“Okey, Mariya. Boleh awak ceritakan pada saya apa yang telah berlaku pada awak? Kenapa awak berada di luar rumah saya tadi?” Ameer kembali memulakan sesi soal siasat.

“Saya cari awak, Ameer Asytar,” jawabnya.

“Cari saya?” Wajah Ameer berkerut kembali. Sungguh dia masih tidak dapat menangkap niat sebenar gadis bernama Mariya itu. “Kenapa awak nak cari saya?”

“Uhhuk… uhuk…”

“Awak tak sihat ni. Mungkin lama sangat berhujan tadi. Habiskan susu tu. Hujan pun dah hampir reda. Sekejap lagi saya hantar awak pulang.” Ameer bangkit. Soalannya tadi terus mati begitu sahaja. Walaupun kekeliruannya masih belum terjawab namun dia tidak boleh terlalu memaksa. Mungkin gadis itu perlukan masa untuk bercerita kepadanya.

“Boleh saya bermalam di sini?”

Pertanyaan itu membuatkan kaki Ameer rasa seperti terikat di lantai. Belum sempat dia mahu menidakkan permintaan itu Mariya bersuara kembali.

“Saya tak ada rumah. Saya tak ada tempat nak dituju lagi selain awak.” Mata Mariya merenung Ameer mohon belas kasihan.

Ameer tidak sampai hati. Namun hatinya masih berat untuk menerima permintaan tersebut. Dia lelaki dan Mariya perempuan. Hanya dia sendiri yang menghuni rumah tersebut. Ada risiko jika mereka ditangkap khalwat nanti. Hangat berita begini jika dihidu oleh media massa. Apatah lagi dia tidak mengenali siapakah sebenarnya gadis misteri yang bernama Mariya itu.

Namun jika difikirkan semula waktu sudah menginjak ke dini pagi. Mariya betul-betul nampak dalam kesulitan. Kejam rasanya jika dia mahu menghalau Mariya keluar dari rumahnya dalam waktu begini. Lagipun gadis itu tidak sihat. Sekurang-kurangnya biarkan sahaja dia bermalam di sini sehingga esok pagi.
“Baiklah… saya benarkan awak bermalam di sini.” Akhirnya Ameer membuat keputusan tersebut dan Mariya tersenyum lega.


Bersambung....