Kawan2 yg saya Sayang

Wednesday, July 31, 2013

AITDS the sequel :- THE WITCH THAT I LOVE (bab15)


Bab15
PETANG yang indah itu tidak terlalu panas. Malah angin sepoi-sepoi bahasa menyamankan suasana. Cuaca yang sangat sesuai untuk beriadah. Leah membetulkan kasut sukan yang baru disarungkan ke kakinya. Kemudian dia mencapai cekak rambut dan disematkan ke kepala untuk mengemaskan rambutnya sebelum berjalan menuju masuk ke dalam stadium terbuka yang menjadi gelanggang olahragawan menjalankan aktiviti latihan mereka di situ.
Leah berdiri di luar padang untuk memanaskan badan sebelum memulakan latihannya. Dia mengambil posisi bersebelahan dengan dua orang teman seperjuangannya yang juga baru tiba di situ untuk melakukan aktiviti yang sama dengannya.
“Hai, Leah.”
“Hai, Myra… Suzy…” Leah melontarkan senyuman kepada teman-teman yang menegur. Dia mengambil kesempatan yang pendek itu untuk berbual kosong dengan mereka. Leah tidak begitu rapat dengan mereka namun masih boleh bergaul dengan mereka. Dia meneruskan aktiviti memanaskan badannya tanpa menghiraukan sesiapa selepas pemergian teman-temannya tadi.
Pandangan ditala ke tengah padang untuk melihat aksi beberapa atlit lain yang sudah memulakan latihan mereka. Sebenarnya latihan begini bukanlah rutin yang selalu dijalankan oleh Leah. Sebagai ahli marathon dia boleh berlari dimana-mana sahaja. Selalunya dia berlari di sekitar taman rekreasi berhampiran kediamannya. Cuma hari ini dia mahu menukar angin dengan membuat larian di dalam stadium pula.
Setelah selesai memanaskan badan Leah memulakan lariannya. Namun belum sempat dia memecut tiba-tiba lariannya dihalang oleh sekumpulan gadis yang berpusu-pusu masuk ke dalam padang.
What the… %^&” Leah menyumpah sambil mencerling tajam kepada mereka semua. “Hoi, main redah sahaja. Kau buta? Tak nampak orang ke!” gertaknya. Namun tiada siapa yang pedulikannya di situ. Panas juga hatinya apabila gadis-gadis tersebut tidak menghiraukan amarahnya. Ada lima orang gadis yang dia percaya bukan atlit yang hendak menjalankan latihan di padang tersebut. Leah tahu melalui pakaian yang mereka pakai. Masing-masing berdandan cantik dengan gaya tergedik-gedik berdiri berhampiran balapan sambil bersorak ke arah seorang pemuda kacak yang sedang membuat latihan larian 400meter.
Ada tiga orang atlit lelaki yang sedang membuat larian ketika itu. Seorang atlit yang berkepala botak. Seorang atlit yang agak rendah dan mengenakan kacamata hitam. Manakala yang terakhir pula seorang pemuda ala model pakaian sukan yang menyumbat telinganya dengan earphone. Leah yakin gadis-gadis tersebut sedang bersorak untuk pemuda kacak yang dipercayai sebagai anak bangsawan oleh semua orang itu.
Fake prince!” Leah bercekak pinggang sambil menjuihkan bibirnya tanda meluat. Renungannya yang dipicing ke arah Shin Viera beralih pula kepada gadis-gadis yang sedang bertepuk tangan dan bersorak setelah Shin menamatkan lariannya. Bukan main gembira lagi gadis-gadis tersebut setelah melihat Shin mendahului dalam larian tersebut.
Seorang gadis bermini skirt merah jambu melangkah menuju ke arah Shin dengan sebotol air dan tuala kecil. Sebelum sampai kepada Shin sempat lagi dia meminta pandangan teman-temannya tentang penampilannya sebelum berhadapan dengan putera idaman hatinya itu.
Tahap menyampah Leah sudah di paras maksima. Situasi ini sering berlaku di hadapan matanya dan dia semakin meluat dengan aksi-aksi kipas-susah-mati Shin Viera. Hari ini dia perlu berbuat sesuatu demi kepuasan dirinya.
“Putera pujaan ramai tu mendapat perhatian orang lagi.”
Leah menoleh ke sebelah apabila muncul seseorang yang seolah-olah sedang bercakap dengannya. Teman atlit yang berbual dengannya sebelum memulakan latihan tadi rupanya.
“Kenapa semua orang sukakan dia?” soal Leah. Ada nada menjengkelkan di situ.
He is… perfect. Kebanyakan perempuan suka lelaki jenis begitu. Kebanyakan lelaki juga mahu menjadi seperti Shin. Bijak, kacak, kaya. Dia lelaki dengan pakej lengkap kot,” komen gadis yang bernama Myra.
“Itu sahaja?” Leah seolah-olah tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Myra.
“Baik, berbudi bahasa, sopan santun.” Yang seorang lagi menambah. “Well… dia seorang putera raja yang low profile. Ofcourse lah sering menjadi perhatian,” Suzy, si gadis berambut pendek persis tomboy itu pula yang menyambung.
“Dan aku akan buktikan yang semua orang adalah bodoh sebab tak nampak siapa sebenarnya lelaki itu.” Leah berjalan menuju ke tengah padang meninggalkan teman-temannya. Myra dan Suzy berbalas pandangan sebaik melihat roman wajah Leah yang penuh muslihat.
“Leah, kau nak buat apa?”
You two… stay and watch.” Leah tersenyum sinis sebelum melangkah pantas menuju ke tengah padang.

************

Shin sedang mengambil posisi untuk memulakan lariannya. Dia bergerak-gerak setempat sambil menanti dua orang lagi rakan seperjuangannya yang baru hendak masuk ke petak larian masing-masing. Jurulatih bertubuh tegap yang sedang memegang jam randik itu sedang bersedia untuk meniup wiselnya. Shin menyematkan earphone ke telinganya. Selepas itu alunan gesekan biola yang gemersik menyapa telinganya pada kadar volume yang sederhana. Masih lagi dapat mendengar suara di sekitarnya.
Setelah mendapat arahan, Shin dan teman-temannya mengambil posisi bersedia sebelum memulakan larian. Ketika itulah matanya menangkap kelibat Leah yang sedang memanaskan badan di tepi padang sambil berbual bersama teman-temannya. Gadis itu nampak lain dari hari biasa kerana berpakaian sukan dan hanya mengenakan solekan yang nipis di wajahnya. Nampak natural walaupun masih kelihatan menggoda dalam berpakaian. Legging hitam paras lutut dan bra tops berwarna biru kundang yang dipakainya menampakkan susuk tubuhnya yang seksi, membuatkan Shin mengurut dada berulang kali kerana menahan degupan jantungnya yang berdebar-debar memandang gadis itu. Lain macam sungguh aura Leah dalam pandangan matanya jika hendak dibandingkan dengan perempuan lain yang ada di sekitar padang tersebut.
Kedengaran sorak sorai dari luar padang namun Shin kurang menghiraukan mereka semua kerana waktu ini dia sudah dalam keadaan bersedia menunggu wisel dibunyikan untuk dia memulakan larian. Sebaik jurulatih meniup wisel larian pun bermula. Suara gadis-gadis yang sedang memberikan sorakan galakan di luar padang tidak didengarinya lagi kerana ruang telinganya baru sahaja dipenuhi dengan muzik dari kumpulan Muse yang mendendangkan lagu Assassin yang baru sahaja menggantikan alunan gesekan biola sebelumnya tadi. Muzik bertenaga persembahan Muse itu manaikkan adrenelinnya. Hatta pecutan kakinya juga bertambah kencang untuk mendahului rakan-rakannya untuk sampai ke garisan penamat.

GADIS manis berskirt merah jambu itu mengatur langkahnya dengan penuh gaya pergi menghampiri Shin sebaik lelaki itu menamatkan lariannya. Di tangannya memegang tuala kecil dan sebotol air mineral yang mahu diberikan kepada putera pujaannya itu.
Leah melangkah pantas mendapatkan gadis tersebut sebelum dia sempat menyapa Shin. Dia segera menghalang langkah gadis tersebut di pertengahan jalan.
“Pernahkah kau terfikir yang tindakan kau ni hanya akan memalukan diri sendiri sahaja bila putera pujaan kau tu tak berminat nak melayan desperate girl macam kau?”
“Hei, siapa kau yang cuba nak halang aku sekarang ni?” dia tidak puas hati dengan sikap Leah terhadapnya.
“Kau tak perlu tahu siapa aku tapi aku akan tunjukkan siapa sebenarnya Putera Shin kau tu. Jadi sekarang ni aku nak kau pergi balik ke tempat asal kau dan tengok sahaja apa yang aku nak buat sekejap lagi.” Leah memusingkan tubuh gadis tersebut dan menolaknya untuk kembali ke dalam kumpulannya di luar padang.
Wajah gadis itu masam mencuka sambil menjeling tidak puas hati terhadap Leah. Sementara Leah kembali bergerak pergi mendapatkan Shin yang sedang berbual dengan jurulatihnya.
Leah tidak terus menegur Shin sebaik tiba di situ. Sekadar berdiri sambil melirik ke arah jurulatih Shin. Lirikan itu akhirnya mendapat perhatian dari jurulatih tersebut. lelaki bertubuh tegap itu seolah-olah memahami bahasa tubuh Leah lantas beredar meninggalkannya bersama Shin.
Shin memusingkan tubuhnya untuk berhadapan dengan Leah yang telah disedari akan kemunculannya. Dia melontarkan senyuman kepada Leah tetapi Leah tidak membalasnya. Gadis itu sekadar melemparkan jelingan menyampah kepada Shin.
“Hai, Leah.” Shin melangkah setapak untuk menghampiri Leah. Earphone di telinganya sudah ditanggalkan dan disangkutkan pada batang lehernya.
Fake prince… kau jangan ingat aku tak tahu apa-apa tentang identiti sebenar kau.”
Shin mengerutkan dahi. Dia tidak faham akan maksud kata-kata Leah yang tiba-tiba terus kepada isinya tanpa sebarang mukaddimah.
“Kau bukan putera raja atau anak bangsawan.”
So…?” …bila masa pula yang aku mengaku sebagai putera raja mahupun anak bangsawan?
“Hari ini aku nak cabar kau berlumba lari dengan aku.”
“Hmm… motif?” sungguh Shin tidak faham apa tujuan sebenar Leah mencabarnya.
“Saja-saja. Hidup ini kadangkala bosan jadi kita perlukan sedikit hiburan.”
Shin senyum dalam gelengannya. “Kalau aku kata yang aku tak berminat?”
“Aku tetap nak cabar kau sebab aku rimas… meluat… menyampah dengan perempuan-perempuan gedik macam mereka semua tu. Jadi dengan mencabar kau, bolehlah aku buktikan yang kau ni sebenarnya bukan hebat sangat pun. Dan tak ada sebab yang kukuh untuk semua orang puja kau bagaikan kau seorang sahaja yang hebat dalam dunia ni.”
“Okey… jadi diorang semua tu bersorak untuk aku ke tadi?”
“Soalan bodoh apa yang kau tanya ni. Siapa lagi selain kau yang mereka nak sokong dalam padang ni?”
Sorry. Memang aku tak perasan pun.” …mungkin sebab imej kau lebih menonjol dalam pandangan mata aku sejak tadi. Matanya cuba merenung tepat ke dalam mata bundar Leah yang berwarna hazel itu. “Hmm… terima kasih kerana berani mencabar aku tapi aku tak berlawan dengan perempuan.” Shin memusingkan kakinya dan mengatur langkah untuk meninggalkan Leah yang begitu berkobar-kobar mahu mencabarnya berlumba lari.
“Hei,” dengan pantas Leah menarik pergelangan tangan Shin untuk menghalangnya dari pergi tanpa menerima cabarannya. “Aku takkan benarkan kau pergi selagi kau tak penuhi permintaan aku.”
“Apa yang kau nak buat kalau aku tetap tak nak berlumba lari dengan kau?” Shin sekadar melontarkan kerlingannya kepada Leah yang bersungguh-sungguh mahu menewaskannya. Dia tidak faham apa motif gadis tersebut sebenarnya. Gadis ini agak lain macam sedikit sikapnya apabila berhadapan dengannya. Langsung tidak sama seperti gadis-gadis lain termasuklah Camie. Dalam mata Leah seolah-olah dirinya ialah satu virus yang mesti dihapuskan. Virus yang akan merebak menjadi wabak yang akan menularkan penyakit merbahaya kepada semua orang di dalam kolej mereka.
“Bukan prinsip aku untuk bertanding dengan perempuan, Leah.”
“Jadi kau mesti akan ubah fikiran kalau aku cuba buat ini…” Leah memaut leher Shin lantas merapatkan wajahnya dengan Shin. Bibirnya sengaja didekatkan ke bibir pemuda tersebut. Namun tidak bersatu. Sekadar mahu mengaburi pandangan para peminat Shin di luar padang.
“NOOOOO!!!” seraya menjeritlah para peminat Shin di luar padang tersebut sebaik melihat aksi Leah dan Shin yang seolah-olah sedang berkucupan.
“Leah!” Shin yang terkejut pantas menolak tubuh Leah dan segera menjarakkan semula kedudukannya dengan gadis tersebut.
Leah tertawa sinis. Ekor matanya menjeling ke arah pekikan gadis-gadis di luar padang tersebut. Mereka semua hampir meraung dan menyumpah-nyumpah tindakan Leah sebentar tadi.
“Jangan risau. Aku cuma nak buat gadis-gadis tu meraung sahaja. Tapi kalau kau tetap tak mahu penuhi permintaan aku, sumpah aku akan buat betul-betul sekejap lagi.”
Grr… perempuan jenis apa dia ni? Macam ahli sihir dalam kisah dongeng! Sanggup buat apa sahaja demi impian jahatnya.
“100meter larian pecut. Jurulatih kau jadi pengadil kita. Setuju atau tidak?”
Shin tidak menjawab. Masih dalam pertimbangan.
“Tik… tok… tik… tok… come on, Shin. Masa sedang berjalan.”
Fine… ikut suka hati kau lah.” Shin menjawab separuh geram. Dia terus berjalan menuju ke garisan mula.
Leah tersenyum lebar. Kegirangan. Dia sempat melemparkan jelingan sinis kepada rakan-rakan seperjuangannya yang masih setia menanti di luar padang bersama-sama dengan para pengipas-susah-mati Shin Viera.

************

JAY masuk ke dalam stadium dan naik ke tingkat atas untuk mengambil tempat duduk di kawasan penonton. Dia ke situ setelah diberitahu oleh kenalan Leah bahawa gadis yang dicarinya itu berkemungkinan berada di sekitar stadium.
Dari tingkat atas dia meninjau ke seluruh padang. Tidak begitu ramai orang yang berada di kawasan padang tersebut. Hanya ada beberapa orang atlit olahraga yang sedang membuat latihan bersama dengan jurulatih mereka. Selain itu ada sekumpulan gadis yang berada di posisi di luar padang. Mereka kelihatan sedang bersorak tetapi Jay tidak pasti mereka bersorak untuk apa dan kepada siapa. Apa yang dia lihat hanya beberapa orang atlit yang sedang menjalankan latihan larian di atas balapan.
Matanya hanya tertumpu mencari kelibat gadis berambut merah berpotongan bob. Bibir Jay menguntumkan senyuman setelah kelibat yang dicarinya berjaya dijejaki. Kelihatan Leah sedang berjalan masuk ke dalam padang dan sedang menuju ke arah seseorang yang berada tidak jauh dari garisan penamat di balapan.
Jay nampak Leah bercakap dengan seorang gadis bermini skirt pink. Tidak lama kemudian gadis tersebut menuju ke arah kumpulan gadis yang bersorak tadi dengan wajah yang mencuka. Jay tersengih. Dia yakin ada sesuatu yang menyakitkan hati telah Leah katakan kepada gadis tersebut.
Mata jay terus memerhatikan gerak geri Leah yang sedang bercakap dengan salah seorang atlit olahraga yang baru menamatkan latihan lariannya tadi. Pandangan Jay kini tertumpu pula kepada susuk tubuh pemuda tersebut. Dari segi ketinggian lelaki itu berdiri di hadapan Leah, Jay dapat mengagak yang ketinggian lelaki itu lebih kurang sama sahaja dengan dirinya. Wajah pemuda itu jernih dan bila dia tersenyum nampak seluruh barisan gigi atasnya sehingga ke gusi. Lelaki dengan gummy smile. Satu kecacatan yang kadangkala merupakan satu anugerah bagi sesetengah orang. Pemuda yang tidak dikenali Jay itu mempunyai kulit yang tidak terlalu cerah dan tidak terlalu gelap. Kulit orang asia.
Tiba-tiba kedengaran jeritan ‘NO’ yang panjang dari sekumpulan gadis yang bersorak tadi. Mata Jay yang sedang tertumpu ke arah Leah juga sedang tergamam di saat itu. Air liur yang cuba ditelan di dalam mulut bagaikan berpasir dan tersekat di rengkung. Matanya membulat dan dahinya berkerut menahan suatu perasaan yang secara mendadak merebak ke seluruh jiwa raganya dalam sekelip mata. Satu perasaan negatif yang bergelodak dalam jiwanya itu ialah api cemburu yang meluap-luap sebaik melihat Leah yang sedang berkucupan dengan atlit kacak di tengah padang tersebut.
“Perempuan tak guna!” dia menumbuk penghadang besi yang menjadi tembok di tempat duduk tersebut sebelum beredar dari situ dengan perasaan marah yang berleluasa.

****************

PREET!!!
KAKI yang sudah bersedia di garisan mula serta merta dihayun untuk memulakan pecutan. Shin mendahului Leah pada dua puluh meter terawal. Namun kemudiannya Leah berjaya menyaingi Shin sepanjang lima puluh meter berikutnya sebelum gadis itu berjaya memintas Shin untuk ke garisan penamat.
Leah tersenyum lebar. Sangat-sangat puas kerana berjaya mengalahkan Shin. Dia sempat menoleh ke luar padang dan melihat kumpulan gadis tadi sudah mula beransur pergi setelah melihat kemenangannya. Senyumannya berubah menjadi ketawa yang sinis. Dia memusingkan langkahnya untuk kembali mendapatkan Shin yang kelihatan sedang mengusap peluhnya dengan sehelai tuala kecil. Shin sekadar melemparkan pandangan kosong terhadap gadis yang sedang bergembira dengan kemenangannya itu.
“Puas hati kau sekarang?” Shin mencapai botol minuman yang terbaring di atas padang rumput. “Dapat kenakan aku di hadapan orang ramai. Dapat kalahkan aku. Seronok?” Shin bertanya dalam senyuman. Matanya masih tertumpu pada lenggok tubuh Leah yang datang kepadanya. Dia menghulurkan botol air mineral di tangannya kepada Leah.
“Seronok… tapi lebih seronok kalau aku dapat lingkupkan terus imej palsu kau sebagai putera pujaan ramai tu,” kata Leah sambil tertawa sinis. Penutup botol air dibuka dan air jernih itu diteguk sementara menantikan serangan balas Shin yang seterusnya terhadapnya.
“Putera? Aku? Err… pelik.” Shin yang agak lurus itu adakalanya seperti ikan yang hidup di dalam air tetapi tidak pernah meminum air di sekelilingnya. Dia tidak pernah mengambil peduli perhatian orang ramai terhadapnya walaupun dia hidup di dalam kampus yang dipenuhi ramai orang yang suka bergosip. Samada dipuja atau dibenci, dia tetap dia yang hidup kerana lipatan sejarah yang misteri dan tidak diketahui ramai orang.
“Eh, jangan nak buat-buat tak tahulah. Semua orang anggap kau seorang putera raja dan kau sangat bangga dengan gelaran itu kan.”
Shin garu kepala sambil mengerutkan dahi merenung Leah. Leah mengetap bibir menahan geram kerana merasakan Shin sengaja berpura-pura lurus dan tidak tahu apa-apa tentang pandangan semua orang terhadap dirinya. Lelaki itu kemudiannya menyumbat telinganya dengan earphone. Barangkali malas hendak melayan kerenah Leah lagi.
Leah mengetap gigi sambil menggenggam penumbuknya, menahan geram dengan sikap tidak ambil peduli Shin terhadapnya. Seraya kakinya terus diatur meninggalkan balapan dan menuju ke luar padang menemui teman-temannya tadi. Senyumannya kembali diukir mempamerkan kepuasannya kerana berjaya mengalahkan atlit pilihan pertama universiti itu tadi. Myra dan Suzy turut tersenyum namun senyuman mereka lebih bersifat sesuatu. Leah sedikit pelik.
“Hei, aku dah menang. Aku dah kalahkan ‘Tuan Putera’ tu. Kau orang tak bangga ke?”
“Leah, kau tak rasa pelik ke kau menang dengan seorang atlit lelaki dan Shin tu pelari pecut tau.”
Leah terdiam. Dia mula berasa sesuatu yang tidak kena.
“Dia sengaja bagi kemenangan pada kau lah.”
“Tak mungkin…”
“Leah, kami pun atlit juga. Kami boleh baca pergerakan Shin. Dia sengaja kurangkan pecutan untuk bagi kau menang.”
“Ergh… tak guna!” Dalam hatinya sedang menyumpah seranah Shin setelah mengakui kebenaran kata-kata Myra dan Suzy. Dari jarak jauh pandangan Leah kembali mencari kelibat Shin di padang. Dia melontarkan aura amukannya melalui cerlingan tajam matanya. Barangkali Shin merasai aura tersebut lantas menoleh ke belakang memandang ke arah Leah sambil tersenyum menampakkan gummy smile nya yang menawan. Leah rasa macam nak lastik sahaja mulut lelaki tersebut. Biar patah semua gigi Shin. Kemudian pasti senyuman menawan itu akan lenyap dan tidak lagi menghantui kehidupan kebanyakan gadis dalam kampus mereka.
Leah yang bercekak pinggang dengan air muka yang tegang menudingkan jari telunjuk dan jari hantunya ke arah Shin sebelum kembali dituding ke arah matanya. Kemudian jari telunjuk itu dileretkan ke lehernya. Ia membawa maksud yang Leah akan kembali menghancurkan hidup Shin kelak.
Shin memandangnya dengan air muka yang kosong kerana tidak faham apa maksud Leah yang seolah-olah masih tidak berpuas hati dengannya itu. Gadis tersebut kemudian dilihat terus mengatur langkahnya mahu meninggalkan stadium. Shin melontarkan pula pandangan tanda soalnya kepada Myra dan Suzy yang masih terpacak di situ. Kedua-dua gadis tersebut hanya menjungkitkan bahu kerana tiada idea dengan perangai Leah yang anti Shin.

Bersambungggg.....


Tuesday, July 30, 2013

AITDS the sequel :- THE WITCH THAT I LOVE (bab14)

Bab14
CAMIE termenung merenung muka Hunnypink, telefon pintarnya yang sedang menayangkan sebuah video yang dirakamnya sendiri. Dia sedang teragak-agak untuk mengambil satu keputusan. Kata-kata yang dilemparkan oleh Leah semalam terus berbekas di hatinya sehingga sekarang. Dia tidak mampu mengalahkan Leah sampai bila-bila. Itu kata Leah tapi dia berazam untuk mengubah situasi itu.
Dia masih lagi seorang gadis yang penakut dan tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi seperti dahulu. Dia cuma berpura-pura berani di hadapan orang tapi hakikatnya dia tidak pernah menang setiap kali dibuli oleh Leah. Dia tahu kelemahannya selama ini. Namun dia tidak pernah cuba dengan bersungguh-sungguh untuk mengatasinya.
Video yang baru dirakamnya ini adalah permulaan baginya untuk meningkatkan keyakinan diri dengan menampilkan kebolehannya dalam sesuatu kemahiran… mungkin. Sebenarnya dia tidak pasti dan masih teragak-agak untuk memuat naik video tersebut ke laman You Tube.
Ketika dia sedang dalam pertimbangan untuk memuat naik atau tidak video tersebut tiba-tiba seseorang muncul dari belakangnya dan merampas Hunnypink dari tangannya. Serta merta Camie menoleh ke belakang dalam keadaan yang terkejut. Jay sedang tersenyum sinis sambil menunjukkan telefon milik Camie yang berjaya dirampasnya secara senyap tadi.
“Jay…” mata Camie terbelalak memandang sesusuk tubuh yang sekali lagi muncul di hadapannya secara mengejut. Dahinya berkerut kerisauan sambil anak matanya memicing tepat pada Hunnypink di tangan Jay. “Pulangkan handset aku.” Camie menadah tapak tangan dengan harapan Jay mudah dipujuk.
“Tidak… selagi aku belum tengok video apa yang kau tonton dengan khusyuk tadi.” Jay mula bertindak dengan menyentuh skrin sesentuh telefon pintar berwarna merah jambu itu.
“Jangan!” Camie bertindak drastik dengan menerpa tangan Jay yang cuba hendak memainkan video tersebut. Namun Jay lebih cekap dengan mengangkat tangannya setinggi mungkin. Camie takkan berjaya mencapai Hunnypink dengan ketinggiannya memandangkan ketinggian Jay sahaja sudah hampir mencecah 180cm.
“Jay, pulangkan barang aku.” Camie terlompat-lompat cuba mendapatkan telefonnya yang diangkat tinggi oleh Jay. Puas dia merayu namun tidak dipedulikan Jay. Malah pemuda itu lebih galak mengusik Camie yang tidak mampu mencapai ketinggiannya untuk merampas semula Hunnypink kesayangannya.
Jay mendapat peluang yang berharga untuk menonton video tersebut setelah berjaya menjarakkan kedudukannya dari Camie.
“Jay, jangan. Please, jangan tengok.” Suara Camie merayu-rayu pada Jay.
Sikap Camie hanya menambahkan lagi rasa ingin tahu Jay lantas tanpa teragak-agak dia terus menyentuh butang play untuk menonton video tersebut. Camie hanya mampu pasrah setelah video tersebut berjaya ditonton oleh Jay.
“Apa ni? Kau buat parody Gwiyomi.” Kedengaran tawa Jay menyusul selepas itu sambil bergembira menonton video tersebut.
Bibir Camie menjuih ke hadapan sebelum kembali mengambil tempat duduknya kembali. Ekor matanya menjeling Jay yang sedang tersengih-sengih menonton video tersebut. Camie berasa malu melihat sengihan Jay yang seolah-olah sedang mengejeknya itu lantas dia menundukkan wajahnya sambil menarik sebahagian rambutnya menutupi sebahagian wajahnya… menyesal sungguh! Aku tak patut buat video yang memalukan macam tu… Kalau bukan kerana perangai Leah yang menyakitkan hati tu sepatutnya aku tak fikirkan cara yang bodoh begini untuk bersaing dengannya dari segi populariti.
Jay mengambil tempat di hadapan Camie sebaik dia habis menonton video Gwiyomi versi Camie. Sengihannya masih belum lekang dari bibir. Hunnypink masih ada dalam tangannya. Sementara itu Salamander yang terselit di poket seluarnya dikeluarkan. Dia menyentuh-nyentuh skrin kedua-dua telefon pintar tersebut sambil diperhatikan oleh Camie.
“Kau nak buat apa tu?” soal Camie agak curiga.
Bluetooth.” Panjang senyuman Jay. Masih belum lekang sejak dia menonton video Camie sejak tadi.
No way! Kau tak boleh buat macam tu. Malulah aku!” Tangan Camie pantas cuba menghalang tindakan Jay.
“Kenapa pula tak boleh? Aku nak juga.” Ternyata Jay lebih bijak mengelak tangan Camie yang pantas bak ular tedung mahu mematuk mangsanya.
“Janganlah. Kenapa yang kau nak sangat ambil video yang buruk tu?”
“Buruk ke? Mana ada. Comellah.”
Camie terkesima merenung wajah Jay yang tersenyum suka sambil mengulang tayang video tersebut.
“Kau comel… dan video ni adalah Parody Gwiyomi paling comel pernah aku tonton.”
Untuk tiga saat Camie cuba memproses ayat yang baru termuntah dari mulut Jay.
Akira shock!!!” spontan Camie membuat gaya ala Akira dalam Nobuta Wo Produce.
Dan spontan dengan itu juga Jay memuntahkan tawanya lagi. Dia cukup terhibur dengan sikap kalut Camie yang kadang-kadang nampak comel dan kelakar.
Seriously? Kau tak pernah puji aku comel pun selama ini.” Dia cuma ingat panggilan ‘Si Hodoh’ adalah nama yang paling popular pernah dia terima sebelum ini. Panggilan itu bermula dari Dew sendiri dan kemudiannya melarat kepada semua orang. Termasuklah Leah, semua pelajar memberikan jolokan Si Hodoh kepadanya dan sehingga sekarang Leah masih lagi memanggilnya ‘Si Hodoh’. Hal ini secara tidak langsung telah menyebabkan Camie percaya yang dia memang tidak cantik.
“Sebelum ini? Apa maksud kau? kita baru sempat berbual semalam dan hari ini sahaja tau.”
“Oh, sorry. Maksud aku, kau orang pertama yang puji macam tu pada aku.” Camie terlupa yang dia sedang berhadapan dengan Jay dan bukan Dew.
Ooo… Jay mengangguk. Dia memulangkan kembali Hunnypink kepada Camie.
“Terima kasih.” …kerana kau menjadi tidak terlalu ego untuk memuji setelah kau hilang ingatan.
“Terima kasih? Aku yang sepatutnya berterima kasih pada kau lah. Terima kasih sebab share video comel kau tu dengan aku.”
Camie terkesima dan kehilangan kata-kata. Pemuda di hadapannya itu benar-benar telah berubah. Tidak pernah ada perkataan ‘terima kasih’ dalam kamus hidup Dew selama ini dan kini tiba-tiba lelaki yang semakin selesa dengan gelaran Jay itu sedang berterima kasih kepadanya sambil memujinya comel. Sikap Jay membuatkan Camie hampir terbang ke awang-awangan. Namun tiba-tiba anganannya tersentak diganggu oleh kelibat The Queen Of Pirate.
Leah muncul di pintu kafeteria yang bertentangan dengan Camie. Jay yang sedang duduk berhadapan dengannya tidak nampak Leah yang sedang melilau-lilau mencari kelibat seseorang di belakangnya. Pastinya dia sedang menjejaki Jay.
“Camie, kau ada nampak Leah tak pagi ini?”
Soalan Jay membawa kembali Camie pada perbualannya dengan pemuda itu tadi.
“Leah? Kau cari dia?”
Jay mengangguk. Kaca mata yang hampir melurut di hidung dibetulkan kembali di wajah. Dia merenung tepat ke wajah kacukan di hadapannya.
“Aku… tak. Tak nampak kelibat dia lagi pagi ini.” Dia berbohong. Padahal waktu ini renungan tajam Leah sedang menikam ke arahnya dari jarak jauh tanpa pengetahuan Jay. Camie cuak tapi buat-buat selamba di hadapan Jay. Risau juga dia jika gagal mengawal air mukanya yang risau lantas berjaya dikesan Jay.
“Kau, okey?” tiba-tiba Jay melontarkan pertanyaan. Sahlah dia mengesan perubahan air muka Camie.
“Hah? Okey. Aku okey. Hmm… kenapa kau cari Leah?”
Dahi Jay berkerut sambil bibirnya meleretkan senyuman sederhana. Seolah-olah cuba tidak mahu mengulang sekali lagi kenyataan tentang dirinya terhadap Leah.
“Hmm… mungkin aku patut cari Leah di tempat lain. Jumpa lagi, Camie.” Jay bangkit dari kerusi lantas mengatur langkah untuk beredar.
Kelibat Leah sudah hilang dari pandangan Camie. Dia berasa lega untuk sementara waktu dan berharap Leah tidak kembali kepadanya disebabkan tindakannya cuba mendekati Jay tadi. Separuh dari jiwanya masih lemah untuk menjadi lebih berani. Leah tidak pernah gagal melepaskan auranya yang menakutkan walaupun hanya melalui pandangan matanya sahaja. 
Sebaik kelibat Jay menghilang kelibat Leah kembali muncul dari belakang Camie sambil menatang dulang berisi sepotong sandwich dan sekotak susu berperisa kopi. Dia sengaja muncul kembali setelah Jay beredar semata-mata mahu menyapa mesra ‘sahabat-sehidup-semati’nya itu. Dulang berisi sarapan pagi sengaja diletakkan sedikit kuat untuk menarik perhatian Camie yang belum sedar dengan kemunculannya.
Bahu Camie sedikit terangkat akibat terkejut. Kepalanya menoleh ke sebelah kiri dan dia terkesima melihat Leah yang sedang mengambil tempat duduk di sebelahnya untuk bersarapan pagi di situ.
Morning, Camie,” ucap Leah dengan senyuman penuh makna di wajahnya. Senyuman yang nampak manis tapi sebenarnya sedang melepaskan aura yang menakutkan Camie.
Aku tak takut pada Leah. Aku takkan takut pada The Queen Of Pirate lagi. Aku berani. Aku lebih berani dari sesiapa yang berani dalam dunia ini. Aku takkan tunduk pada perempuan yang cuba nak menghancurkan hidup Dew! Jeritnya di dalam hati.
Well… morning, Queen Of Pirate.” Camie tidak senyum. Sekadar melontarkan jelingan dengan wajah yang serius. Jantungnya terasa berdegup kencang namun air mukanya tetap dikawal agar tidak menampakkan yang dia sedang gementar berhadapan dengan Leah kini.
“Oh, sweet! Kau sedang panggil aku dengan nama yang sangat indah.” Leah langsung tidak marah walaupun gelaran tersebut tidak pernah disukainya sejak dari dahulu lagi. Malah senyumannya lebih lebar dari sebelumnya. Dia mencapai kotak minumannya. Straw dicucuk pada lubang kotak susu kopi sebelum airnya disedut perlahan-lahan. Ekor matanya menjeling Camie yang serius memandang reaksinya kini. Barangkali gadis itu sedang berdebar-debar menanti jikalau dia akan mengamuk sebentar lagi disebabkan Jay tadi.
“Kalau kau nak halang aku dari berkawan dengan Jay, baik lupakan sahaja, Leah. Aku takkan putus asa untuk pulihkan ingatan dia. Jadi aku tak pedulilah dengan hubungan korang berdua sekarang sebab aku tahu akhirnya nanti dia akan kembali pada aku juga.”
Leah yang sedang mengunyah sandwich berintikan salad dan tuna itu tertawa mendengarkan kata-kata Camie.
“Kau sedang persendakan kata-kata aku kan, Leah.” Camie sangat faham makna tawa sinis Leah itu.
“Tidak. Aku cuma happy.”
Happy? Untuk apa?” Camie kepelikan.
Happy sebab selepas setahun aku protect Dew… I mean Jay.” Dia sempat membetulkan panggilannya. Baginya Dew memang sudah hilang dari jasadnya setelah dia hilang ingatan dan menggunakan nama Jay sebagai pengenalan diri. “…selama ini aku protect Jay tanpa pengetahuan sesiapa dan akhirnya dah ada orang yang nak take over tugas aku. Welcome to the club, Camie. Semoga kau boleh buat lebih baik dari aku untuk lindungi Jay dari sebarang ancaman musuh!”
“Apa maksud kau, Leah?”
“Kau nak sangat ingatan Jay pulih kan. Well… good luck, babe,” ucapnya sambil melemparkan senyuman sarkastik sebelum bangkit meninggalkan Camie. Sandwich yang sekeping itu tidak dihabiskan tetapi susu kopi yang masih berbaki diambil. Kakinya diatur untuk beredar dari kafeteria tersebut.

Camie tertanya-tanya akan maksud disebalik kata-kata Leah. Dia tidak tahu apa yang sedang dirancang oleh Leah. Selama setahun Leah menyembunyikan identiti sebenar Dew dan kini gadis itu seolah-olah membiarkannya menjadi penghalang dalam percintaan palsunya bersama dengan Jay. Camie keliru dengan sikap Leah yang menyembunyikan sesuatu darinya selama ini.

Bersambung lagilah...                                                                                                        

Monday, July 29, 2013

AITDS the sequel :- THE WITCH THAT I LOVE (bab13)

Bab13
WAJAH Leah ceria sambil menjinjing sebuah kotak berisi Kek Coklat kegemaran Jay. Dia masuk ke rumah Jay dengan menggunakan kunci pendua. Sebaik kakinya melangkah masuk ke dalam kediaman Jay senyumannya jadi tawar. Keadaan dalam rumah Jay begitu menyakitkan hatinya. Baru sahaja beberapa hari lepas dia mengemaskan rumah tersebut dan hari ini ia kembali berselerak. Malah lebih teruk keadaannya berbanding kali terakhir dia singgah ke rumah itu pada dua hari lepas.
“Jay!” dia memanggil pemuda tersebut dengan nada yang sedang marah.
Panggilan tidak bersahut. Leah memanjangkan langkah kakinya menuju ke ruang tamu sempit itu. Kotak berwarna pink yang berisi Kek Coklat itu diletakkan di atas meja makan. Ekor matanya menjeling geram melihat ruang tamu rumah yang bagai baru dilanggar badai itu. Kusyen sofa bergelimpangan di atas lantai. Buku-buku dan majalah yang sudah disusun di atas rak dan di dalam laci bertaburan di sana sini. Pintu kabinet dan laci di ruang menonton terbuka. Semuanya lintang pukang kecuali Fanderina yang masih berdiri tegak di guitar stand di sudut sebelah kabinet televisyen.
Kedengaran bunyi-bunyian dari arah bilik lantas Leah menuju ke sana. Sebaik bilik dikuak kelihatan Jay sedang sibuk menyelongkar sesuatu dari setiap sudut bilik. Keadaan bilik tersebut lebih kurang sama seperti di ruang tamu. Berselerak bagai dilanggar garuda.
“Apa yang sedang kau buat?”
Jay tidak menghiraukan pertanyaan Leah. Dia sekadar melemparkan pandangan tak beriak sebelum kembali menggeledah almari pakaiannya.
“Jay, kalau kau cari sesuatu, beritahu aku. Aku tolong kau carikan.”
Jay tetap tidak memberikan reaksi terhadap kata-kata Leah. Leah nampak air muka Jay yang kelihatan runsing dan risaukan sesuatu. Jay seolah-olah tidak wujud di hadapan Leah melainkan jasadnya sahaja di situ. Leah tidak sedap hati lantas menarik Jay dari terus-terusan menggeledah biliknya mencari sesuatu yang hilang.
“Kenapa dengan kau ni? Apa yang kau cari sebenarnya?”
“Diari… diari aku hilang, Leah.”
Leah terkesima. Rupa-rupanya diari Jeremy yang menyebabkan Jay jadi tidak tentu hala begitu.
“Leah, tolong aku. Aku perlukan diari tu. Aku tak boleh hidup kalau diari tu hilang.” Jay nampak gelisah. Mungkin juga dalam keadaan takutkan sesuatu. Sejak dia hilang ingatan, diari Jeremy satu-satunya benda paling berharga dalam hidupnya. Bagi Jay diari itu bagaikan kompas kehidupannya. Dia akan hilang arah tanpa diari Jeremy.
Kadangkala Leah rasa serba salah melihat keadaan Jay yang lebih percayakan diari tersebut berbanding dari cuba berusaha untuk mencari memorinya semula. Memang kalau hendak diikutkan hatinya, Leah tidak mahu ingatan Jay pulih jika itu boleh menyebabkan Jay akan meninggalkannya kelak. Namun dia lebih tidak rela melihat Jay terus dibelenggu perasaan takut untuk menghadapi realiti sebenar kehidupannya.
“Jay, diari tu bukan nyawa. Kau boleh hidup walaupun tanpa diari tu.”
“Tak. Aku tak boleh.” Jay berjalan ke hulu ke hilir. Sekejap menggosok-gosok rambutnya. Kemudian dia mula menggigit hujung kukunya menandakan yang dia sedang resah gelisah. Tabiat yang tidak pernah berubah walaupun dia sudah hilang ingatan.
“Kau yang kemaskan rumah aku. Kau patut tahu dimana diari tu. Kau simpan dimana, Leah?”
Leah melepaskan keluhan berat. Dia kembali menghampiri Jay. Tubuh Jay dipaut dan ditarik untuk didudukkan di birai katil.
“Dengar cakap aku… mulai sekarang kau perlu cari sendiri siapa diri kau sebenarnya. Kau tak boleh bergantung semata-mata pada diari tu.” Dia merenung ke dalam anak mata Jay agar Jay tahu yang dia sedang cuba membantunya.
“Kau sorokkan diari aku, Leah?” Jay membuat andaian melalui gaya pertuturan Leah.
Leah tidak membalas soalan Jay. Hanya air mukanya sahaja yang memberitahu Jay bahawa memang dia yang mengambil diari tersebut.
“Pulangkan semula barang aku.” Suara dinginnya cuba mendesak Leah.
Leah hanya diam di birai katil sambil memusingkan kedudukannya dari menghadap Jay.
“Pulangkan barang aku, Leah!” Nada suaranya semakin tinggi. Bunga-bunga kemarahan sedang memekar.
“Kau lebih percayakan diari tu berbanding aku. Kenapa, Jay? Bukankah kau pernah cakap yang kau percayakan aku melebihi sesiapa walaupun kau tak ingat siapa aku dalam hidup kau sebelum kau hilang ingatan? Jadi kenapa kau tak boleh hidup tanpa diari Jeremy?” Leah membalas dengan nada yang lebih tinggi. Dia cuba menyedarkan Jay tentang hakikat yang selama ini Jay terlalu bergantung pada diari Jeremy yang disangka adalah miliknya itu.
“Aku… aku tak tahu. Aku cuma rasa yang sebahagian diri aku ada dalam diari tu. Pulangkanlah Leah. Aku nak diari aku balik.” Dari nada yang meninggi suara Jay berubah kendur dan seakan merengek untuk memujuk Leah.
“Tak boleh.”
“Kenapa?”
“Sebab aku dah buang buku tak guna tu.”
Jay tergamam merenung roman wajah Leah yang beriak selamba. Sedikit sebanyak sakit juga hatinya bila Leah mengatakannya dengan tanpa rasa bersalah. “Kau tipu kan.” Dia masih berharap jika Leah sekadar bergurau untuk menakutkannya.
“Kau rasa?” Leah melemparkan senyuman sinisnya kepada Jay.
Melalui senyuman itu Jay dapat mengagak yang Leah memang serius tidak mahu dia melihat diari tersebut lagi. “Argh! Apa yang kau cuba buat ni?” berangnya bukan kepalang. Dia hampir gila hari ini hanya kerana mencari diari tersebut dan kini tanpa rasa bersalah Leah mengatakan yang dia telah membuang diari tersebut. Sakit sungguh hatinya.
“Aku buat apa? Aku cuba tolong kau untuk mencari diri kau semula tanpa diari itu.”
“Kau faham tak yang aku tak boleh hidup tanpa diari tu. Aku tak boleh ingat apa-apa. Aku tak ingat siapa kau… Siapa Camie? Siapa Dew yang Camie selalu sebut? Siapa Jeremy? Siapa keluarga aku? dan yang paling penting… siapa aku? Siapa aku, Leah? Siapa??” Jay mencengkam bahu Leah dan menggoncangnya. Leah membiarkan perbuatan Jay. Dia tahu Jay tertekan dengan situasi yang sedang dilaluinya.
“Arghhhh!!!” Jay menjerit sekuat hati. Tangannya mencengkam kepala yang tiba-tiba terasa berdenyut-denyut. Kesakitan yang muncul mendadak tanpa sebarang isyarat. Jay terduduk melutut sambil menahan kesakitannya.
“Jay…” Leah segera merangkulnya sebelum dia jatuh rebah ke lantai.
“Leah…tolong…”
Sebaik membaringkan Jay di atas katil Leah segera ke dapur untuk mengambil ubat yang selalu diambil oleh Jay. Sejak kejadian tersebut sehingga sekarang Jay perlu mengambil ubat dan dia tidak boleh berada dalam keadaan yang tertekan walaupun sedikit. Itu adalah antara sebabnya Leah tidak berani memaksa Jay cuba mengingati memorinya kembali. Sejujurnya dia rindukan Jay sebagai Dew. Namun kewujudan diari Jeremy menyebabkan perwatakan Jay adakalanya persis Jeremy yang sememangnya bertentangan dengan sikap Dew yang asal.
Selepas memberikan ubat untuk ditelan Leah menemani Jay yang sedang berehat di atas katil. Dia tidak berganjak kemana-mana memandangkan Jay tidak mahu melepaskannya pergi. Jay terlelap akibat kesan ubat tidak lama kemudian. Namun Leah tidak terus meninggalkan lelaki itu. Dia masih duduk di sisi katil. Merenung wajah Jay yang telah dibaluti ketenangan sebaik dia memejamkan matanya. Kacamata yang masih melekap di wajahnya ditanggalkan Leah dengan berhati-hati agar tidak mengejutkan lena pemuda itu. Kemudian kacamata tersebut diletakkan di meja kecil di sisi katil. Selimut dibetulkan untuk menutupi tubuh Jay sehingga ke paras dada. Leah mengelus-ngelus ubun-ubun Jay sambil menatap wajah itu dengan perasaan yang berbelah bahagi. Antara kasih seorang sahabat atau cinta pertama yang masih dalam status ‘complicated’.
Leah mencapai beg sandangnya yang diletak di hujung katil Jay lantas mengeluarkan sesuatu. Buku diari milik Jeremy yang sebenarnya belum dibuangnya. Memang niat asalnya mahu menghapuskan diari tersebut namun apabila melihat keadaan Jay tadi niatnya terbantut. Mungkin masanya masih belum sesuai untuk memisahkan Jay dari diari tersebut.
Diari tersebut diletakkan di atas meja sisi katil bersama-sama dengan kaca mata Jay. Ekor mata Leah masih tidak mampu melepaskan pandangannya terhadap Jay. Perasaannya sebal bila terlampau memikirkan tentang Jay. Mengapa dia yang terjerumus ke dalam masalah Jay sedangkan orang yang sepatutnya menerima beban ini ialah Camie. Namun dia memang tidak boleh mengelak dari mengambil berat tentang lelaki itu. Sejak dari hari pertama dia mengenali Jay sebagai Dew Jeremy Orbido perasaannya sentiasa mahu bersama dengan lelaki itu. Baik sebagai sahabat, musuh, rakan sekutu atau mungkin sebagai pasangan kekasih.
Leah mengeluarkan sejumlah not dari dompetnya. Kemudian dia menuju ke seluar Jay yang tergantung di belakang pintu. Dia menyeluk poket seluar tersebut dan mengambil dompet lelaki itu. Ekor matanya menjeling Jay untuk memastikan lelaki itu masih dalam keadaan lena. Dengan berhati-hati dia menyumbat duit tadi ke dalam dompet Jay. Selepas itu dia menyimpan semula dompet tersebut ke dalam poket seluar.
Itu adalah perkara rutin yang selalu dia lakukan walaupun pada mulanya dahulu Jay berkeras untuk tidak mahu menerima pemberian Leah. Namun Leah terpaksa mendesak Jay untuk menerimanya kerana dia yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga Jay selama ini. Jay tidak perlu tahu dari mana datangnya sumber pendapatan Leah kerana selama ini bukan Leah seorang sahaja yang mengambil berat tentang Jay. Ada seseorang yang sentiasa menjaga Jay dari jauh. Suatu hari nanti segala-galanya akan terbongkar di hadapan mata Jay tapi bukan sekarang.
Leah meninggalkan bilik Jay selepas itu.



*************

BUNYI penggera yang telah ditetapkan setiap pagi dari Salamander membingitkan telinga Jay. Jay terpisat-pisat sambil tangannya meraba-raba ke sekeliling mencari bunyi tersebut. Salamander berjaya dicapai di hujung katil dekat dengan kakinya. Sebentar kemudian bunyi membingit yang cuba mengejutkannya tadi senyap. Jay kembali menarik selimut dan menutup mukanya dengan bantal.
Tidur-tidur ayam.
Kelopak matanya yang masih memberat itu menoleh ke kiri katil, ke meja kecil di sebelah katilnya. Matanya yang kabur melihat ada sebuah buku yang seakan dikenali. Dia mencapai kacamata di atas buku tersebut. Disematkan ke wajah. Pandangannya kembali jelas dan matanya menjadi segar apabila mendapati buku tersebut ialah diarinya yang hilang semalam. Dia bingkas duduk dan mendapatkan buku tersebut dengan senyuman lebar seceria bunga matahari di waktu pagi.
“Leah tak buang diari ni.” Jay memeluk buku tersebut dengan erat sebelum menelentangkan kembali tubuhnya ke dada katil. Barangkali jika Leah ada di hadapan matanya begitulah jua yang dia mahu lakukan terhadap gadis tersebut. Dia gembira kerana dia tidak perlu memikirkan untuk bersengketa dengan Leah setelah mengetahui yang Leah telah membuang diari tersebut semalam.
Sejenak dia memerhati sekeliling biliknya yang telah kembali teratur. Pastinya angkara Leah yang mengemaskan semula rumahnya semalam. Jay bangkit semula. Diari tersebut ditinggalkan seketika di atas katil. Dia keluar dari bilik untuk memeriksa keadaan rumahnya. Dan seperti dalam jangkaannya keadaan di ruang tamu dan seluruh rumah juga kembali kemas tersusun. Leah telah mengemaskannya semula setelah dia terlena tidak sedarkan diri akibat ubat yang diambilnya malam tadi.
Tekak terasa haus lantas dia menuju ke peti sejuk untuk mencari minuman. Senyumannya terus melebar apabila mendapati kotak sederhana besar berwarna pink yang sinonim dengan bungkusan kek. Dia mengeluarkan kotak tersebut setelah meneguk air mineralnya. Kotak kek tersebut dibawa ke meja makan lantas dibuka. Sebiji kek coklat yang pastinya buatan tangan Leah tersua sebaik dia menyelak bungkusan tersebut. Dia kenal dengan bentuk kek yang dibuat oleh Leah. Kek berbentuk bulat itu bertopping coklat masakan dengan taburan hiasan yang kurang kemas. Sebiji strawberry di tengah-tengah.
Kedengaran lagu Koshi Tantan nyanyian Scandal memecah sunyi dari dalam bilik. Jay bergegas pergi mendapatkan Salamander. Dia dapat mengagak siapa yang menelefonnya seawal pagi begitu.
Morning, Sunshine.” Dia menyapa dengan ceria.
Suara di hujung talian serta merta memuntahkan tawa. Leah gembira kerana dapat mendengar suara Jay yang ceria pagi itu.
“Kau dah sihat nampaknya. Aku gembira.”
“Ya. Terima kasih, Leah.”
Small matter. Just treat me some breakfast or lunch.”
Jay tertawa. Leah turut menyambung tawa tersebut. Masing-masing dalam keadaan yang ceria setelah melupakan peristiwa semalam.
“Hmm… tentang semalam…”
“Lupakan sahaja.”
“Tak. Aku rasa aku patut minta maaf pada kau.”
“Leah, walau apapun yang terjadi… walau diari tu betul-betul dah tak ada pun… aku harap dapat percayakan kau sampai bila-bila. Aku sayangkan kau dan tak ada apa yang boleh mengubah perasaan ini… biarpun setelah ingatan aku pulih suatu hari nanti.”

Kata-kata Jay menyesak ke kalbunya. Dew tidak pernah melayannya sebegitu dahulu. Adakah jika memori Jay telah kembali dia akan kekal menyayanginya seperti ini? Kadangkala Leah cuba untuk tidak mengharapkan apa-apa daripada Jay namun sikap Jay membuatkannya teringat bagaimana kecewanya dia apabila mengetahui lelaki itu memilih Camie berbanding dirinya sebelum ini. Mungkin dia perlu bersedia untuk menghadapi situasi yang sama suatu hari nanti setelah memori jay telah kembali.

Bersambung...

Sunday, July 28, 2013

AITDS the sequel :- THE WITCH THAT I LOVE (bab12)

Bab12
LEAH menjeling telefon pintarnya yang sedang bergetar di atas meja. Dia tersenyum lebar sebaik nama Tom Cruise muncul pada muka telefon. Dia segera mencapai telefon tersebut lantas menjawab panggilan tersebut.
“Hello, Mr. Charming…” bibir seksinya tersenyum penuh makna sambil ekor matanya sempat mengawasi suasana di sekeliling untuk memastikan tiada sesiapa di situ terutama sekali Jay. “Saya ada berita gembira yang awak nanti-nantikan.”
“Saya tahu saya boleh percayakan awak.”
“Jadi saya mahukan habuan yang awak janjikan. Saya dah bawa Dew masuk ke kolej. Dia masih tak ingat memori dia sebagai ‘Dew’. Dia akan kekal dengan identiti baru dia selagi dia percaya pada diari Jeremy. Kita berdua dapat apa yang kita mahu. Awesome, right.”
That’s great. Jadi jangan lupa semak peti surat awak bila pulang nanti. Cheque yang awak nanti-nantikan sepatutnya sudah sampai.”
Leah meleretkan senyuman kepuasan. Talian segera diputuskan lalu bergegas pulang dengan segera.
Ketika sampai di kawasan parkir kereta Leah terus menuju ke keretanya seraya menekan alat penggera untuk membuka kunci keretanya. Baru bercadang hendak membuka pintu kereta tiba-tiba langkahnya dihalang oleh seseorang.
“Kau lagi. Apa yang kau nak, Camie?” Dia sudah menjangkakan kemunculan gadis itu. Camie bukan seorang yang mudah putus asa jadi Leah sudah bersedia untuk berhadapan dengan gadis tersebut.
We need to talk.” Camie merenung Leah dengan cerlingan yang serius.
“Aku sibuk… dan akan sentiasa sibuk kalau kau nak berbincang tentang Dew.” Dia tahu apa yang bersarang dalam kepala Camie dan menolak mentah-mentah permintaan gadis tersebut.
“Aku perlukan penjelasan. Kau sembunyikan sesuatu dari aku selama ini, Leah,” Camie tidak puas hati dan tahu yang Leah menipunya selama ini.
Well… memang pun. Aku rampas dan sembunyikan kekasih kau selama ini.” Leah senyum sinis kerana sudah punya subjek untuk menyeksa Camie selepas ini. Dia suka melihat raut wajah Camie yang kemerah-merahan kerana menahan api dalam dadanya. “…itu yang mahu kau dengar dari mulut aku, kan. Jangan nak mimpi. Jay bukan Dew ataupun Jeremy.” Dia tidak bercadang untuk membongkarkan siapa sebenarnya Jay. Dia mahu membiarkan Camie terus terseksa dan berteka-teki tentang identiti sebenar Jay.
“Tapi dia sebut tentang Jeremy Oghio Khitto. Apa maknanya semua ini, Leah? Siapa dia sebenarnya?” Camie tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Leah.
“Perlukah aku jawab soalan kau? Jawapannya TIDAK. Bye~” walaupun dia tahu yang Camie akan terus mendesaknya namun Leah lebih suka membiarkan gadis itu semakin bengang terhadapnya. Dia menolak tubuh Camie yang menghalangnya untuk membuka pintu kereta.
“Leah, please…” Camie memaut pergelangan tangan Leah. Dia semakin terdesak untuk mengetahui perkara yang disembunyikan oleh Leah. “…kalau kau tak nak mengaku aku sebagai kawan kau tak mengapa. Tapi kau tetap kawan baik Dew juga kan. Dan sebagai kawan kau sentiasa mengambil berat tentang dia kan. Jadi aku pohon dari kau. Berterus terang pada aku, Leah,” rayu Camie.
“Kau memang perempuan yang merimaskan. Kenapa Jeremy dan Dew sangat bodoh menyintai perempuan macam kau?” Sikap Camie menjengkelkan hati Leah. Leah menarik tangannya dari dipaut dengan kejap oleh Camie.
“Sebab aku tak pernah putus asa terhadap mereka. Tidak… selagi mereka masih ada harapan untuk hidup. Kecuali Jeremy yang memang dah mati di hadapan mata aku sendiri, aku percaya Dew masih hidup dan aku takkan berputus asa terhadap dia. Aku percaya dia juga tak pernah putus asa terhadap aku.” Walaupun semua orang percaya Dew yang hilang di dalam hutan telah mati tapi naluri Camie kuat mengatakan yang Dew masih hidup. Selagi dia tidak menemui mayat lelaki itu selagi itu dia akan terus percaya yang Dew masih hidup dan akan terus menjejakinya.
“Kau fikir kau sangat bagus. Go to hell! Kau langsung tak layak untuk bersama dengan Dew.” Entah mengapa Leah berasa meluat mendengar kata-kata Camie. Dia benci untuk menafikan percintaan diantara Dew dan Camie sebelum ini.
“Jadi kenapa Dew tak pilih kau selama ini?”
Kata-kata Camie serta merta menusuk ke jantung Leah. Sakit mencengkam dada. Ekor matanya runcing menikam pandangan ke arah Camie. “Dew tak pilih aku tapi Jay tak boleh hidup tanpa aku. Kau mahukan penjelasan? Ya, Jay ialah Dew Jeremy Orbido atau Dew The Devil. Tapi dia dah hilang ingatan dan aku boleh buat apa sahaja pada the devil yg dah lupa siapa diri dia yang sebenar. A good news for you… we’re couple right now.” Dan akhirnya Leah membongkarkan rahsia tersebut kerana rasa tercabar mendengar kata-kata Camie tadi.
You’re bitch! Kau perempuan paling selfish pernah aku jumpa. Kau tak beritahu aku tentang dia selama ini dan kau pergunakan dia demi kepentingan peribadi kau. Apa yang kau tipu pada dia tentang Jeremy, Leah? Kau sedar tak yang kita sepatutnya perlu bantu Dew untuk pulihkan ingatan dia.” Kenyataan itu memang dalam jangkaan dan Camie sangat marah pada Leah kini.
 “Kau tahu kenapa aku tak beritahu kau? Sebab inilah… kau nak pulihkan ingatan dia. Aku pula tak nak dia ingat siapa dia. Hidup dia akan lebih tersiksa jika dia tahu siapa dia sebenarnya. Kau patut berterima kasih kepada aku sebab aku telah bawa Dew lari jauh dari neraka dalam hidupnya.” Leah memang ada alasan tersendiri tentang tindakannya terhadap Dew.
“Tapi apa yang kau buat sekarang lebih kejam! Kau tak berniat baik. Kau cuma pergunakan dia untuk kepentingan kau sendiri. Kau tipu dia.” Apapun alasan Leah, Camie tetap tidak nampak apa kebaikan disebalik tindakan Leah.
“Kalau dengan menipu aku boleh selamatkan dia, kenapa aku perlu dengar cakap kau. Dia hidup bebas sekarang dan dia sukakannya. Kau tak perlulah terlalu risau sebab aku dah aturkan rancangan yang hebat untuk masa hadapan kami.”
“Leah, apa yang kau nak buat? Kembalikan Dew pada diri asal dia. Kau tak berhak memiliki cinta Dew dengan cara begini.” Camie risau dengan agenda Leah yang pastinya bukan untuk kebaikan Dew sebaliknya demi kepuasan diri gadis itu sendiri.
Well, kalau kau fikir kau sangat berhak ke atas cinta Dew, kau lebih silap dari aku Si Hodoh.” Tangannya mencengkam rambut Camie. Wajahnya dirapatkan ke muka Camie. Renungannya tajam menikam wajah Camie yang berkerut menahan sakit akibat cengkaman kuat Leah. “Pergi balik dan cermin muka kau dari atas sampai ke bawah. Fikir semula… apa yang kau dah buat untuk Dew selama ini? Cukup kuatkah diri kau untuk menerima Dew tanpa bayangan Jeremy? dan Madam Juwiette… bagaimana kau nak berdepan dengan perempuan itu? Kalau dengan aku pun kau selalu tewas, macam mana kau nak menentang orang seperti Madam Juwiette? Be realistic, babe. Sampai bila kau nak harapkan orang lain untuk melindungi kau? Kau sedar tak yang kau sebenarnya punca Jeremy mati. Dan aku takkan benarkan perempuan lembik macam kau suatu hari nanti menjadi punca kematian Dew pula.”
Leah melepaskan cengkamannya dengan satu tolakan kasar terhadap Camie. Sejurus kemudian dia membuka pintu kereta dan masuk ke dalam kenderaannya sebelum meninggalkan Camie terkulat-kulat sendirian di kawasan parkir itu.
Anak mata Camie berkaca-kaca sambil merenung kenderaan Leah bergerak meninggalkannya di situ. Apa yang Leah lakukan terhadapnya sebentar tadi membuatkannya sedar yang selama ini dia tidak mampu menentang Leah dari segi apa pun... Baik dari segi mental ataupun fizikal, Leah mengatasi aku seratus peratus. Aku cuma seorang yang sentiasa bergantung pada orang lain untuk bangkit berdiri tapi aku akan ubah situasi ini suatu hari nanti. Aku takkan biarkan selamanya dibuli oleh kau, Leah!


Bersambung....