Kawan2 yg saya Sayang

Monday, April 22, 2013

KELABU...Nadia Khan buat aku SENTAP!





SEJUJURNYA aku sememangnya seorang pembaca yang cerewet. dan aku takkan tulis or komen apa2 kalau novel tu aku rasa biasa2 saja atau tak best...paling2 pun kalau novel tu macam SUCK aku juz kutuk2 masa sembang dgn member aku je...takdelah sampai nak letak status kat FB nak memburukkan buku orang...(bleh pikir sendiri ape kalau aku yang kena camtu...ko tak bengang ke kalau orang kutuk buku hasil titik peluh kau sendiri?)

Memang resam aku untuk tertarik pada kulit novel dahulu sebelum membeli(pelik sbb bukan pada sinopsisnya kan...hahaha). kali pertama aku pandang kulit buku KELABU ni memang aku rasa ada 'sesuatu' tentang buku ni. It's simple but interesting. Tajuk pun mcm ada udang disebalik batu kan. tapi aku tak terus beli. Aim je dulu.. =)

sejak kebelakangan ni aku sentiasa disogok dengan novel2 Fixi oleh member2 n family aku.n akhirnya aku ambil keputusan untuk beli secara Online.So disini kali kedua lah novel Kelabu ni menggamit aku. Aku try usha sinopsis die dan aku rasa agak menarik. Lalu aku teruslah beli( Ngeri/Mangsa & Kelabu)

Novel Kelabu ni buku yang aku baca last sekali sebab buku tu paling tebal antara 4buku yg aku ada(termasuk Zombijaya yg aku pinjam dari kakak aku)...lagi satu faktor aku lebih tertarik dengan yang lagi 3buku sebab thriller kowt..main bunuh2 & psiko punye novel.

My 1st impression aku juz layan je novel ni. & startlah rasa cam nak jatuh hati kat hero novel ni iaitu Amir. Cuma apa yang aku rasa that time... apa lainnya novel ni dengan novel2 melayu yang lain? Cinta juga kowt(nak2 plot utamanya pasal cinta kontrak. lagilah klise sesangat kan)...tapi layankan je tanpa rasa sangsi. apatah lagi aku sukalah coz kali pertama aku baca penulis perempuan gunakan watak lelaki sebagai watak utama.lebih mantap lagi sebagai pencerita yang memegang watak 'aku' pulak tu. tak pernah dibuat orang dowh... <--kalau ada pun jarang saaangatt!

Actually ada juga part2 yang aku rasa macam something wrong je mamat Amir ni.tapi aku bolayan je n anggap itu mungkin sebab pembawakan si penulis yang merupakan seorang perempuan...am i right??... pedulilah...janji aku suke-nye-lah-pun-kan kat mamat kasanova yang pernah dikecewakan oleh perempuan yang dicintainya ni... aku cite sketlah sinopsis dia untuk tatapan korang yang belum baca( ke aku yang paling lambat sbb buku ni dah cetakan keenam baru aku nak beli...)

Cite dia pasal seorang freelance photographer yang bernama Amir. Dia ni boleh dikatakan player sebab ramai skandal. Dulu dia seorang pencinta yang setia tapi sejak clash dgn ex girl dia yang bernama Su tu dia dah malas nak serius. Then suatu hari dia berkenalan dengan sorang awek bernama Jun. Jun mintak tolong Amir jadi BF kontrak dia sebab kononnya dia nak jeleskan balak dia.pastu lama2 Jun betul2 terjatuh cinta dengan Amir. pastu Amir pun tiba2 ter-serius pula dengan minah mata sepet yang bernama Jun ni. tapi hubungan mereka tak semudah yang disangka. biasalah, mana syok kisah cinta yang takde konflik kan.

Diz Amir guy ada sorang bestfriend yang aku kira watak sidekick or hero no2 gitulah. Namanya Shah. Shah ni antara orang yang paling rapat dengan Amir selain bapak dia, Dato Rizwan. Kiranya Shah ni memang kawan sehidup semati yang faham luar dalam diri Amir lah. sampaikan sekilas riak muka Amir berubah pun Shah boleh baca. Shah ni handsome gile vaveng gaklah konon2nya tapi yang peliknya dia ni takde girlfriend. pelikkan. yang sorang kasanova n yang sorang lagi perfect tapi tade GF.Pastu pula aku rasa mamat Shah ni ala2 misteri gitu.n aku mula suspect ada yang tak kena ngan si Shah ni. Amende yang dia sembunyikan kat belakang Amir ek? <--nak tau baca sendiri.

But suddenly bila aku dah sampai tengah chapter buku ni aku telah dikejutkan dengan sesuatu... sesuatu yang buat aku rasa KECEWA GILE!!! Sesuatu yang buat aku sedar bahawa tanggapan awal aku terhadap watak2 dalam novel ini semuanya adalah SALAH! Aku salah menilai Amir. Aku salah menilai Jun dan aku salah menilai Shah. memang dat time aku menyumpah penuh sarkastik sambil MEMUJI si penulis buku ni. Apa taknya... buat pertama kalinya aku terasa ditipu oleh sebuah buku! korang bayangkanlah... aku, Kaseh Esmiralda yang juga seorang penulis telah ditipu hidup2 oleh sebuah buku...atau dalam kata lainnya ditipu oleh penulis buku KELABU...erghhh!!!

Tapi sebenarnya aku taklah marah sangat dengan Nadia Khan. sebab dia bukanlah 100% memperbodohkan aku dengan cerita dia. Cuma aku respectlah sesangat kat dia sebab bijak memperdayakan pembaca(akulah tu).

Dan itu jam jugaklah baru aku sedar kenapa yang aku rasa semacam je dengan beberapa ayat yang penulis tulis kat beberapa chapter yang terdahulu. memang KELABU ASAP je otak aku sebab barulah aku faham simbolik disebalik cover buku tu.barulah aku percaya yang buku ni bukan sekadar kisah cinta yang biasa. Banyak benda biasa yang orang tak nak ambil peduli dalam masyarakat kita selama ini. Banyak juga benda biasa yang terlalu suka diangkat sebab kononnya itu adalah lumrah dan fitrah kehidupan manusia... yeke?

memang luar biasa pada aku bila penulis tu berani n berjaya memperdayakan pembaca dengan hasil karya dia. Ini bukan cerita cinta biasa macam novel2 cinta melayu lain yang korang penah baca k. Aku sendiri pernah cuba buat cite camni dengan isu yang lebih kurang sama.Walaupun tak seserius karya Nadia Khan ni tapi lepas aku baca buku ni tetiba aku terfikir...barangkali aku boleh jadi lebih berani untuk ketengahkan isu sebegini jika manuskrip AKU BUKAN MALAIKAT tu belum siap...

dah lah..apa guna nak buat ayat yang ala2 nak nyesal plak kan...manuskrip dah sampai tangan editor kowt...hahaha

Namun disebabkan minah Nadia Khan ni aku punya keyakinan semakin tinggi untuk buat karya2 yang lebih berani lepas ni. Akhir kata TAHNIAH aku ucapkan kepada Nadia Khan kerana karya anda telah membuatkan saya nak tabik spring toink toink kat awak kalau kita berjumpa suatu hari nanti.


P/s : Adakah Kelabu akan bersambung... sebab aku still tak puas hati selagi tak tahu siapa yang tiba2 muncul kat depan pintu rumah Amir masa part ending tu...aku faham kalau penulis sengaja nak biar pembaca fikir sendiri...tapi aku tetap nak tahu juga...sebab boleh jadi bukan seperti yang aku bayangkan... tak mustahil kalau yang muncul tu Jun atau Amran. walaupun kebarangkalian yang lebih besar ialah Shah!

P/ss : nak start baca AWEK CHUCK TAYLOR.


Friday, April 12, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab18)


Bab18
Hiruk Pikuk alunan muzik begitu membingitkan telinga sebaik Hakimi masuk ke dalam kelab malam tersebut. Kelab tersebut dikunjungi ramai muda mudi yang dahagakan hiburan. Di ruang tengah yang hanya diterangi lampu disco yang berkelip-kelip menjadi pusat tumpuan pengunjung yang asyik menari di situ. Hakimi bergerak ke meja bar, mengambil tempat duduk di bangku tinggi sambil memusingkan tubuhnya menghadap ke lantai tarian yang dipenuhi berbagai ragam pengunjung yang asyik berdansa tidak mengira lelaki dan wanita.

Dalam cahaya yang terbatas mata Hakimi tajam menjejaki seseorang di situ. Dia menggeleng beberapa kali selepas itu. Pertama kerana kegagalannya menjejaki orang yang dicari. Kedua kerana melihat gelagat pengunjung kelab malam tersebut yang bagai khayal dan lupa diri di pentas tarian. Peluk cium diantara lelaki dan wanita adalah perkara biasa bagi mereka. Melayu, Cina, India dan apa bangsa sekalipun telah menjadi satu di situ. Ini membuktikan perpaduan di negara ini. Tiada lagi haramnya sesuatu hukum. Yang ada hanyalah halal belaka termasuklah arak dan seks rambang.

Hakimi menoleh apabila tiba-tiba dia dicuit seseorang. Seorang pelayan wanita berpakaian seksi menarik Hakimi rapat kepadanya. Dia membisikkan sesuatu kepada Hakimi. Kelihatan Hakimi mengangguk dan mengucapkan terima kasih kepada wanita tersebut. Hakimi segera mengatur langkah untuk beredar selepas itu namun ditahan oleh wanita tersebut.

“Tak kan nak pergi begitu sahaja, bang.” Tangan wanita yang merupakan pelayan pelanggan di kelab tersebut tiba-tiba memaut leher Hakimi. Matanya yang kelihatan galak akibat solekannya itu melirik Hakimi penuh minat. Bibirnya yang dicalit gincu berwarna merah menyala itu begitu menggoda pandangan lelaki. Ditambah dengan pakaiannya yang menjolok mata begitu menghairahkan mata-mata liar yang memerhatikannya.

Hakimi tersenyum sinis. Kedua belah tangan wanita itu yang melingkar di tengkuknya segera dileraikan. Hakimi kemudiannya menyeluk poket seluar jeansnya lalu mengeluarkan beberapa keping not berwarna merah kepada wanita yang lebih mudah dikenali sebagai G.R.O. itu.

“Banyak ini sahaja?” wanita itu kelihatan tidak berpuas hati dengan perolehan yang diterimanya.

“Kau tak layak untuk dapat lebih.” Hakimi menolak wanita itu kerana menghalang laluannya.

Wanita tersebut menghentak-hentakkan kakinya kerana geram dengan layanan yang diterimanya daripada Hakimi. Selama usianya menjadi G.R.O. tidak pernah dia ditolak oleh mana-mana lelaki yang berkunjung ke tempat hiburan itu.

Tanpa mempedulikan wanita tersebut Hakimi pantas meninggalkan kelab malam tersebut. Bukan niatnya mahu berseronok di situ. Dia ada agenda lain sebenarnya. Sebaik meninggalkan kelab tersebut Hakimi membawa haluannya ke sebuah hotel bertaraf tiga bintang yang berhampiran. Seseorang sedang menantinya di sebuah bilik di hotel tersebut.

“Kau tak beritahu aku yang kau cuti hari ini.” Hakimi melabuhkan punggung di katil sebaik tiba di bilik tersebut.

“Untuk pelanggan istimewa seperti kau, aku tak suka hidup aku diganggu oleh pelanggan lain. Oleh sebab itu aku ambil cuti hari ini.” Wanita dalam lingkungan pertengahan 20-an itu hanya mengenakan jubah mandi berwarna merah jambu lembut. Rambutnya masih basah sengaja dilepaskan agar kelihatan lebih seksi di mata Hakimi. Dia menuang segelas minuman untuk Hakimi sebelum menghampiri lelaki tersebut. “Demi kau, Hakimi.” Gelas yang berisi jus markisa itu disuakan ke bibir Hakimi. Senyumanya meleret di wajah sambil merenung jejaka tersebut dengan pandangan yang menggoda.

“Aku boleh minum sendiri. Terima kasih.” Hakimi mengambil gelas minuman tersebut dari tangan wanita itu. Punggungnya dijarakkan dari terlalu intim dengan wanita tersebut.

“Hakimi, bukankah kau bayar aku untuk melayan kau. Jadi janganlah terlalu dingin dengan aku.”

“Kau tahu bukan… aku tak berminat dengan perempuan seperti kau.” Padahal hatinya tetap berdebar setiap kali wanita itu semakin rapat menghampirinya. Jiwa lelaki mana yang tidak tergugat dengan godaan perempuan cantik dan seksi yang terhidang di hadapan mata. Cuma disebabkan latar belakang wanita itu yang merupakan seorang G.R.O. membuatkan Hakimi sentiasa mengelak tawaran yang terbuka di hadapan mata.

Kedengaran wanita tersebut ketawa berdekah-dekah sebaik mendengarkan kenyataan Hakimi itu. Hakimi hanya melihatnya dengan jelek. Dia bangkit dari duduk selepas itu.

“Katakan sahaja yang kau cuma mahukan tubuh Dhia Mariya. Jangan nak putar belitlah, lelaki!”

“Zeeta, jaga mulut kau.” Suara Hakimi kedengaran keras.

“Wah, marah nampak. Aku bergurau sahajalah.” Sisa tawa Zeeta masih kedengaran di cuping telinga Hakimi. “Manalah tahu kau dah jemu dengan perempuan tu. Aku boleh jadi pengganti dia.” Tangan Zeeta melingkar di tengkuk Hakimi. Wajah lelaki itu cuba ditawan namun Hakimi terus bersikap dingin dan mengelak dari membalas renungan menggoda Zeeta.

“Zeeta, aku tak datang secara percuma untuk habiskan masa bersama kau.” Hakimi menolak tangan Zeeta yang memaut tengkuknya lantas bergerak menuju ke jendela. “Lagipun aku takkan bayar lebih untuk masa yang kau sengaja lengahkan. Cepat beritahu perkara penting yang kau kata nak sampaikan pada aku tu.” Pandangannya kembali ditala ke arah Zeeta.

Zeeta tidak peduli dengan desakan Hakimi. Dia mencapai kotak rokok dan pemetik api di atas katil. Sebatang rokok dikeluarkan dan dihulurkan kepada Hakimi. Hakimi menolak tidak berminat. Bukan kerana dia tidak merokok tetapi bukan itu yang mahu dia lakukan sekarang.

“Zeeta, jangan buang masa aku.”

Zeeta tetap berlagak selamba. Rokok diselitkan ke celah mulutnya. Sebentar kemudian asap rokok berkepul-kepul memenuhi ruang bilik. Dia membuka jendela agar asap tersebut tidak berkumpul dan menyesakkan pernafasan mereka di dalam bilik tersebut. Ekor matanya sempat melirik Hakimi yang berlagak tenang di sebelahnya.

“Burung gagak akan dibebaskan tidak lama lagi.” Satu ayat meluncur dari mulut Zeeta.

Hakimi tertarik. Dahinya berkerut sehingga keningnya hampir bercantum di tengah. Dia memandang Zeeta antara percaya dan tidak dengan kenyataan tersebut.

“Aku nak kau pastikan bila dia dibebaskan. Selebihnya aku akan uruskan sendiri.”

Hakimi menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan sejumlah wang lalu diserahkan ke tangan Zeeta. Zeeta mengambilnya dengan senyuman puas. Dikucupnya not-not bernilai itu sebelum disimpan ke dalam tas tangannya. Hakimi tidak lama di situ setelah mengetahui perkara tersebut. Dia segera beredar.

*****************

“MARIYA…” satu suara lembut menyapa Mariya.

“Mariya…” kali kedua suara itu memanggilnya. Kali ini Mariya yakin dengan apa yang didengarinya.

“Mama… mama ke tu?” Mata Mariya melilau-lilau menjejaki kelibat ibunya.

“Mariya… mama ni, sayang.” Mariya semakin kalut mencari dari mana arah suara itu muncul.

Dia tidak tahu dimana dia berada. Apa yang dilihatnya kini hanyalah kegelapan. Puas dia mencari sinar namun kehampaan yang ditemuinya. Sehinggalah suara wanita itu menghidupkan semula semangatnya untuk bangkit.

“Mama, tolong Mariya. Mariya takut. Mariya sesat. Mama dimana? Tolong Mariya, Ma.” Air mata Mariya sudah penuh bertakung di kelopak mata. Tangisannya kedengaran teresak-esak. Kegelapan itu membuatkannya semakin ketakutan.

“Mariya… Mariya mesti cari cahaya itu sendiri untuk keluar dari kesesatan. Mama tak boleh bersama Mariya lagi. Mama terpaksa pergi.” Suara itu sungguh sayu menangkap pendengaran sehingga membuatkan tangisan Mariya semakin menjadi-jadi. Dia sangat merindui suara itu.

“Mama… jangan tinggalkan Mariya. Mama… mama!!!” Mariya menjerit memanggil ibunya namun selepas itu tiada lagi suara lembut itu muncul bercakap dengannya. Mariya kecewa. Dalam kegelapan yang mewarnai dunianya kini, dia berlari sekuat hati untuk menjejaki ibunya. “Mama, jangan pergi!”

Segala penat lelah yang dirasai sudah tidak dipedulikan lagi. Dia terus berlari. Mariya sangat berharap dapat menemui ibunya kembali. Sehinggalah sampai suatu saat langkah kakinya terhenti kerana terasa pergelangan tangannya dipaut seseorang.

“Lepaskan aku.” Mariya cuba melepaskan diri. “Mama… tolonglah… jangan tinggalkan Mariya. Mama!” Dalam tangisan dia merayu ibunya sambil cuba melepaskan diri dari pautan ghaib yang memegangnya dengan kejap.

“Kak Mariya…” suara itu adalah dunia realiti yang sedang mengejutkan Mariya dari mimpi. Mariya terjaga. Namun jiwanya masih dipengaruhi oleh mimpi yang dialaminya. Mariya terus meracau memanggil ibunya.

“Kak Mariya, mengucap!” Nuha memaut kedua belah tangan Mariya yang menepisnya. Dia cuba menenangkan Mariya yang sedang mengigau. Perlahan-lahan dia mengusap ubun-ubun Mariya sambil membisikkan kalimah syahadah dan istighfar di telinga Mariya.

Akhirnya Mariya bertenang dan mula sedar dari ugauannya. Sebaik dia celik wajah tenang Nuha sedang menyapanya. Gadis itu tidak bercakap apa-apa melainkan merenungnya. Tangannya masih memaut Mariya.
Sebelah tangan Nuha tiba-tiba menyentuh pipi Mariya. Air mata yang tumpah membasahi pipinya diusap dengan lembut. Peluh dingin yang mengalir di celahan anak rambut turut diusap menggunakan belakang tapak tangan. Mariya diam sahaja diperlakukan begitu oleh Nuha.

Perlahan-lahan Mariya bangun untuk duduk. Dia tidak tahu mahu mengadu pada siapa. Hanya Nuha yang berada di sisinya kini. Lantas tubuh gadis itu didakapnya dengan erat. Dia tahu kerinduannya terhadap ibunya tidak dapat diluahkan lagi. Sentuhan tanpa bicara Nuha sekurang-kurangnya dapat meredakan sedikit perasaannya. Kadang sentuhan itu lebih bermakna berbanding kata-kata. Biarlah gadis itu tidak mahu bercakap asalkan dia tahu fungsi kewujudannya dalam waktu-waktu Mariya memerlukan seseorang.

“Terima kasih.”

Tiada jawapan balas yang diterima Mariya namun dia dapat merasa tangan Nuha yang lembut mengelus-ngelus belakangnya.

“Aku mimpikan mama. Aku rindukan dia tapi cuma dapat dengar suaranya. Mama dah pergi.” Mariya menangis kembali. Kesedihannya masih tidak terubat sepenuhnya.

Perlahan-lahan Nuha meleraikan pelukan Mariya. Dia menatap wajah Mariya yang digenangi air mata. “Jom solat subuh.”

Mata Mariya dilontarkan ke dinding melihat jam. Pukul 6.00 pagi. Dia terpinga-pinga melihat Nuha yang sudah bergerak menuju ke pintu bilik kemudian menghilang dari pandangan Mariya. Mariya kelihatan masih terkulat-kulat di atas katil. Sehinggalah Nuha kembali semula sepuluh minit kemudian.

Gadis itu yang sudah basah dengan air wuduk menghampiri Mariya yang masih duduk di katil.

“Ibu kata mimpi tu mainan tidur. Kalau kita solat, insyaallah kita akan tenang.” Inilah pertama kali Mariya mendengar ayat Nuha yang paling panjang. Dia terkedu sambil merenung tepat ke arah Nuha yang sedang bersiap mengenakan kain telekung. Sebaik selepas itu sejadah dibentang menghadap kiblat dan Nuha mula menunaikan kewajibannya.

Mariya keluar dari bilik. Pintu bilik ditutup dengan berhati-hati tanpa mengeluarkan bunyi. Kemudian langkah kakinya dihalakan ke bilik air yang terletak bertentangan dengan bilik Ameer beberapa langkah dari situ. Ketika dia hendak membuka pintu bilik air tiba-tiba pintu bilik Ameer dibuka dari dalam. Mariya tersentak apabila susuk tubuh Ameer tiba-tiba muncul di tengah lawang pintu.

“En. Ameer…” Mariya mengerling Ameer yang sudah segak berkemeja dan seluar slack. Lelaki itu tersenyum memandang Mariya yang masih serabai baru bangun tidur. Sempat dia menelek jam dipergelangan tangannya. Jarum minit berada di angka 3. Baru pukul 6.15 pagi. Mariya kelihatan cuba melindungi wajahnya dengan sebahagian rambut panjangnya kerana malu dilihat Ameer yang sudah segak bergaya sedangkan dirinya belum sempurna terurus.

“Saya nak keluar dah ni. Nanti tolong sediakan breakfast untuk adik saya. Nuha suka makan nasi lemak dengan sambal sotong. Kemudian kalau dia nak apa-apa awak tolong layan dia.” Ameer memberikan arahan kepada Mariya. Sejurus kemudian dia mengatur langkah untuk berlalu.

“En. Ameer, nak saya sediakan sarapan pagi untuk En. Ameer tak?”

Langkah Ameer terhenti dan kembali memandang Mariya semula. “Hmm… saya jarang makan pagi terlalu awal.” Ameer tersenyum melihat Mariya mengangguk. Sesuatu tentang dirinya yang baru dicatat di minda gadis itu.

“Mariya…” Mata Mariya mengerling Ameer semula. “Terima kasih. Ubat yang awak beri memang mujarab. Perut saya dah sihat.” Mariya tersenyum gembira. Dia tidak membalas kata-kata Ameer. Sekadar mengangguk tanda menerima ucapan terima kasih Ameer. “Saya pergi dahulu.” Mata Mariya menghantar pemergian Ameer yang berjalan menuju ke anak tangga. Sebaik kelibat Ameer lenyap dari pandangan barulah Mariya masuk ke dalam bilik air.


Bersambung...


Thursday, April 4, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab16-17)


Malam ini saya sangatlah happy...rasa macam nak terbang2 kat angkasa raya je...ingin saya kongsikan berita gembira ini kepada semua pembaca yang singgah ke blog ini untuk mengikuti perkembangan enovel saya... berita baiknya ialah AKU BUKAN MALAIKAT insyaallah akan diterbitkan sebagai novel. Doakan semuanya berjalan dengan lancar sehingga anak kedua saya bersama KN ni terbit di pasaran kelak ye... =)



Bab16
“OUCH!” Sebelah tangan Nuha menampar wajah Mariya. Serta merta Mariya terjaga dari tidur. Ini sudah kali ketiga Mariya terjaga kerana kelasakan Nuha semasa tidur. Disebabkan tidurnya asyik terganggu akhirnya Mariya terus bangkit dari katil. Mulutnya merungut sendirian kerana marahkan Nuha yang terlalu lasak. Ditambah pula dengan cuaca malam ini yang hangat membuatkan hatinya bertambah panas.

“Macam manalah seorang selebriti yang petah bercakap ada seorang adik yang berat mulut dan sombong. Sudahlah tidur lasak. Menyakitkan hati betul adik Ameer ni. Ergh…” Mariya membebel sendirian sambil mengatur langkah untuk keluar dari bilik tidurnya.

“Ngeee…” Kedua belah tangan Mariya kelam kabut memegang kain batiknya yang tiba-tiba melurut jatuh. “Ish, nasib baik tak terlondeh depan Ameer. Teruk betul.” Dia membetulkan semula ikatan kain batiknya. Dia tidak pernah belajar memakai kain batik. Jadi ikatannya pun main bedal sahaja. Tadi dia memakai tali pinggang tetapi telah ditanggalkan ketika hendak tidur.

Sebaik kain batik yang disarung dikemaskan semula Mariya mengatur langkah ke pintu. Dia mahu turun ke dapur. Dia sudah tidak dapat melelapkan mata lagi. Lagipun tekaknya terasa haus jadi dia berhajat mahu minum.

“Mariya…” kedengaran suara halus yang lemah memanggil namanya ketika Mariya membuka pintu peti sejuk.

Mariya tidak mahu mengendah. Dia tidak mahu menyangka yang bukan-bukan di rumah Ameer. Botol air mineral segera dicapai dari rak tepi dalam peti sejuk.

“Mariya…” Sekali lagi Mariya terdengar namanya dipanggil. Mariya jadi tidak sedap hati. Dalam suasana kelam di dapur tersebut Mariya menjeling jam dinding yang terdapat di atas penjuru peti sejuk. Jarum jam sudah mencecah ke angka 2. Mariya telan liur. Cuak juga bila memikirkan siapa yang memanggil-manggil namanya di kala dini pagi begini.

“Mariya… tolong saya.”

Mariya tidak jadi hendak minum. Botol air mineral diletakkan kembali ke tempat asalnya. Dia menutup pintu peti sejuk.

“Wargh!!!” Mariya hampir melompat akibat terkejut kerana ternampak lembaga yang tiba-tiba berdiri di balik peti sejuk sejurus dia menutup pintu peti sejuk itu. Mariya mengelus dada lega apabila mendapati lembaga tersebut ialah Ameer. “En. Ameer, awak hampir buat saya pengsan. Apa awak buat di sini?”

Ameer tidak membuka mulut. Dia berjalan lemah mencari kerusi di meja makan sebelum mengambil tempat duduk. Wajah Mariya dikerling sekali sebelum tangan kanannya mencengkam perut.

Mariya menuju ke dinding mencari suis lampu untuk dihidupkan. Sebaik lampu dapur dipetik Mariya kembali mendapatkan Ameer yang kelihatan lemah sambil mengurut-ngurut perutnya.

“Awak tak sihat?” tanya Mariya.

“Saya sakit perut.” Ameer memandang Mariya dengan mata yang layu. Dahinya sesekali berkerut kerana menahan sakit. Dia nampak terseksa menahan kesakitan.

“Awak sakit perut macam mana? Gastrik? Cirit birit?”

Ameer menggeleng. “Perut saya pedih. Saya tak boleh tidur sejak tadi. Tolong saya Mariya. Dari tadi saya cari ubat tapi tak jumpa. Mana awak simpan peti ubat saya?”

Mariya mengetap bibir. Dia yang memindahkan peti ubat Ameer ketika mengemas rumah. “Tunggu sekejap ya. Saya ambilkan ubat untuk awak.” Mariya pantas melangkah menuju ke salah satu laci kabinet dapur untuk mengambil ubat dari peti kecemasan. Hanya ubat penahan sakit yang berjaya ditemuinya. Sebaik ubat diambil dia mencapai gelas dan mengisinya dengan air kosong. Kemudian dengan pantas dia kembali mendapatkan Ameer semula.

“En. Ameer, ubat untuk awak.”

“Terima kasih.” Ameer menelan dua biji kapsul berwarna hijau kuning itu sebelum meneguk air.

“Awak nak minyak urut?” Melihat keadaan Ameer membuatkan Mariya berasa simpati. Serta merta dia terlupa bahawa Ameer itu adalah musuh yang mahu dihapuskannya.

Ameer menggeleng. “Tak apa. Saya nak baring sekejap di sofa.” Ameer menggagahkan diri untuk bangun dari kerusi dan menuju ke ruang tamu.

“Biar saya pimpin awak…” Mariya mahu mengatakan ayat tersebut namun lidahnya terasa kaku. Akhirnya dia hanya mampu mengulum ayat tersebut di dalam mulut. Matanya membiarkan susuk lemah tubuh Ameer berjalan perlahan-lahan menuju ke ruang tamu sebelum merebahkan diri di sofa.

“Ameer tu nampak saja macam macho bila makan sambal. Tunggu beberapa jam kemudian pasti dia akan rebah. Perut dia sensetif. Tak boleh makan makanan yang terlalu pedas.” Tiba-tiba suara Hakimi yang selalu bercerita tentang Ameer dahulu terngiang-ngiang di telinga Mariya.

“Patutlah.” Mariya tersenyum sendiri. Dia sudah tahu punca Ameer jatuh sakit. Dia langsung tidak ingat sebelum ini tentang perut Ameer yang sensetif dengan makanan pedas. Lagipun bila melihat Ameer begitu berselera melantak Sambal Udang yang dimasaknya malam tadi langsung dia terlupa akan fakta yang pernah diberitahu Hakimi kepadanya dahulu.

Mariya berjalan menuju ke ruang tamu dan mendapatkan Ameer yang sedang berbaring di sofa sambil memeluk perutnya yang sakit.

“En. Ameer, awak okey?” Mariya duduk bersimpuh di sisi Ameer sambil pangkal lengan Ameer dielus lembut mempamerkan simpatinya terhadap pemuda itu.

Ameer mengangguk lemah. Mariya yang duduk di lantai di sebelahnya hanya dikerling melalui ekor matanya sahaja.

“Saya minta maaf kalau saya yang menyebabkan awak sakit. Mungkin sambal yang saya buat malam tadi terlalu pedas untuk awak.”

Mata Ameer terbuka luas. Tangan Mariya yang menyentuh pangkal lengannya dipaut dan dialihkan secara sopan ke tepi. Seluruh wajah Mariya ditatap kemudiannya. Wajah gadis itu hanya tertunduk mempamerkan rasa bersalahnya.

“Eh, bukan. Awak tak salahlah. Saya memang selalu macam ni. Awak janganlah risau. Kejap lagi sakit perut saya akan baik.” Ameer serba salah bila melihat Mariya begitu.

“Tapi…”

“Betul. Saya tak apa-apa. Lagipun kan awak baru beri saya makan ubat. Saya akan sembuh sebelum subuh.” Sedaya upaya Ameer menegah Mariya dari rasa bersalah terhadapnya.

“Janji?”

Ameer tersenyum. Ada pula kena main janji-janji. Tak apa. Layankan saja. “Saya janji.”

Mariya tersenyum akhirnya. “Awak tunggu sekejap ya. Saya nak ke dapur.” Mariya bangkit lantas mengatur langkahnya meninggalkan Ameer untuk seketika.

Ameer hanya memerhatikan susuk tubuh Mariya dari tempat pembaringannya. Dia nampak Mariya sibuk-sibuk mahu menyediakan sesuatu di dapur. Ameer diam sahaja tidak menegah. Kelopak matanya dipejam. Dia cuba melelapkan mata agar kesakitan yang dialaminya dapat dilupakan seketika sehingga ubat yang baru diambilnya tadi mendatangkan kesan.

Beberapa ketika kemudian Ameer mula terlelap. Namun tidurnya tidak selena mana. Matanya kembali terbuka luas tatkala namanya dipanggil oleh Mariya.

“En. Ameer, saya buatkan air penawar untuk awak. Minum dulu. Sekejap lagi sambung tidur semula ya.” Suara Mariya lembut menyapa telinganya. Ameer membuka kelopak mata. Wajah Mariya yang sentiasa tersenyum menyapa pandangannya. Umpama bidadari yang membuatkan semangat lelakinya berkobar-kobar untuk bangkit dari mimpi.

“Air apa ni Mariya?” soal Ameer apabila melihat air yang disuakan oleh Mariya sebaik dia mengambil tempat duduk.

“Teh kosong,” jawab Mariya. Teh yang dibancuh pekat tanpa gula adalah salah satu petua merawat sakit perut.

“Tanpa gula? Pahitlah…” Ameer menjuihkan bibir. Mug di tangan Mariya ditolak menjauh.

“Tak pahit. Kelat sikit saja. Lagipun mana ada ubat yang sedap. Minum.” Mariya kembali menyuakan teh pekat tanpa gula itu kepada Ameer.

Ameer tiada pilihan lagi apabila Mariya seolah-olah memaksanya. Sambil memicit hidung Ameer meneguk air tersebut.  Sebaik teh kosong itu habis diteguk Ameer segera menyerahkan mug kosong kepada Mariya. Raut wajahnya berkerut menahan rasa kelat yang memenuhi deria rasanya. Mariya hanya tersenyum kecil melihat gelagat Ameer. Mug kosong di letak di atas meja kopi. Kemudian dia mengambil sebotol madu yang dibawa bersamanya tadi. Sesudu madu dituang lalu disuakan kepada Ameer. “Aaa…” Mariya mahu Ameer mengangakan mulutnya sebelum madu lebah disuap ke mulut pemuda itu.

“Apa pula ni?”

“Madu. Boleh hilangkan rasa kelat teh tu.” Selain dari itu madu juga dikatakan sebagai penawar pelbagai penyakit. Untuk mereka yang takut makan ubat yang pahit, madu adalah satu-satunya penawar yang manis rasanya. Pengecualian untuk ‘bermadu’. Yang itu pahit rasanya terutama bagi wanita.

Tanpa banyak soal terus Ameer menganga dan menelan madu yang disuapkan Mariya. Mariya tertawa lagi melihat tingkah Ameer yang gelojoh mahu menelan madu yang disudukannya.

“Awak ni macam budak-budak. Suruh makan ubat pun banyak soal.” Mariya meletakkan sudu ke dalam mug teh yang sudah kosong tadi. “Macam mana? Sakit perut awak dah berkurang?”

Ameer mengangguk. “Terima kasih. Susahkan awak sahaja jaga saya.”

“Tak apa. Perkara kecil sahaja. Kalau bukan sebab saya pun awak tak kena sakit perut macam ni kan.” Mariya bernasib baik juga kerana peti sejuk Ameer yang bagaikan peti serba guna. Dia terjumpa madu lebah pun di dalam peti sejuk tersebut tadi. Pelik juga Mariya bila melihat peti sejuk Ameer umpama seorang yang rajin memasak di dapur. Apa yang dia mahukan untuk memasak semuanya ada sedangkan apa yang dia nampak Ameer seorang lelaki berkerjaya yang sibuk dan tiada masa untuk memasak. Bila masa pula Ameer memenuhkan peti sejuknya dengan segala jenis bahan masakan.

“Ish, kan saya dah kata. Bukan salah awak. Perut saya memang sensetif. Makan pedas sikit pun tak tahan.”

“Tapi degil tetap nak makan kan.” Ameer tertawa mendengar kata-kata Mariya. “Lepas ini saya janji takkan masak masakan yang pedas untuk awak lagi.” Mariya mengangkat tapak tangan kanannya separas telinga tanda janji yang bakal dikota.

“Eh, janganlah macam tu. Sambal Udang awak tu sedap. Rugilah kalau saya tak dapat rasa lagi lepas ini.”
“Pulak…” Mariya geleng kepala. Betul kata Hakimi… perut Ameer memang tak tahan makan pedas tapi selera tekaknya memang tak boleh tak makan pedas. “Awak ni macam-macamlah. Kalau dah berbini nanti, penatlah isteri awak nak jaga awak sakit.”

“Hmm… kalau awak dah sayang pada seseorang, awak sanggup ke biarkan dia tanggung sakit?” ada senyum penuh makna tersungging di bibir Ameer ketika ini.

Hmm… kalau Hakimi sakit adakah aku sanggup biarkan dia tanggung sendiri sakitnya? Mariya diam sejenak. Bayangan Hakimi kembali menghantui jiwanya. Sejak terbit kasihnya terhadap lelaki itu, amat sukar untuknya membuang nama Hakimi dari minda. Walau seteruk mana perbuatan Hakimi terhadapnya yang pasti cintanya masih pada lelaki tersebut.

“Mestilah tidak. Tentulah saya akan jaga orang yang saya sayang sampai dia sembuh. Sakit yang dia tanggung umpama derita yang saya pikul. Mestilah saya akan jaga dia.”

“Untungnya lelaki tu. Kalau macam tu awak kahwin dengan saya sahajalah. Kan senang.”

Mariya terkedu. Lawak yang Ameer buat bagai satu renjatan elektrik yang menyerang jantungnya secara tiba-tiba. Matanya terbelalak merenung tepat ke wajah Ameer. Rahangnya bagai nak jatuh bila melihat Ameer tersenyum senang bagai tidak menyedari lawak tahap serius yang baru diucapkannya tadi.

“Tak payahlah pandang macam nak telan saya. Baru cakap macam tu dah cuak. Saya bergurau sahajalah.” Tanpa rasa bersalah Ameer menegur tenungan Mariya yang garang terhadapnya.

“Encik Ameer Asytar… tak kelakar, okey!” Nada suara Mariya begitu serius.

Okey, fine. Sorry.” Melihat Mariya yang sangat serius membuatkan Ameer jengkel. Dia bukan berniat hendak serius. Sekadar gurauan untuk mewujudkan suasana sahaja tetapi Mariya pula yang sensetif. “Saya nak naik berehat dahulu. Lagipun esok saya kena bangun awal.” Tanpa menunggu lama Ameer mengangkat punggung dan berlalu meninggalkan Mariya.

“Ameer…” sampai di anak tangga pertama Ameer menghentikan langkahnya dan kembali menoleh kepada Mariya. “Awak ada kekasih?” soal Mariya.

Ameer tidak terus menjawab tetapi senyumannya meleret nakal merenung Mariya. “Kalau saya jawab ‘ada’ mesti awak kecewa kan. Awak mesti dah jatuh hati pada saya. Betul tak?” Mariya mengeluh. Malang baginya apabila Ameer menyalah ertikan lagi niatnya bertanya soalan begitu. “Saya tak ada teman wanita buat masa sekarang.”

Jawapan Ameer menggusarkan hati Mariya. Tentu sekali Ameer tidak mempunyai teman wanita jika dirinya menyukai lelaki. Pandai juga lelaki itu memutar belitkan jawapannya. “Adakah awak menyukai seseorang sekarang?” soalnya lagi.

Ameer diam lagi. Berfikir sejenak. Kemudian dia menjungkit bahu. “Tak pasti. Mungkin. Walaupun ia nampak mustahil tapi mungkin saya sedang menyukai seseorang.” Kaki Ameer kembali diatur untuk mendaki tangga. Rasanya setakat sampai di situ sahaja soalan Mariya yang mahu dilayannya.

Mariya terdiam di ruang tamu sambil memerhatikan kelibat Ameer yang menghilang dari pandangan matanya. Mariya duduk bersandar di kaki sofa sambil memeluk lutut. Fikirannya ligat bekerja. “Siapa dia, Ameer? Siapa yang kau suka? Adakah Hakimi? Jadi benarlah Hakimi tinggalkan aku kerana kau.”

Tangan kanan mencengkam dadanya yang tiba-tiba terasa sakit. Dadanya terasa ditekan-tekan. Entah kenapa tiba-tiba dia rasa sebak lalu air mata yang sentiasa ditahan dari keluar akhirnya mengalir di kelopak mata. Tiada suara tangisan yang bergema. Mariya mencengkam mulutnya menahan dari mengeluarkan suara tangisannya. Dia tidak mahu sesiapa tahu perasaan tertekan yang ditanggungnya kini. Terutamanya Ameer.
“Kenapa aku perlu lalui semua ini? Kebencian itu sangat menyakitkan. Dendam itu membuatkan aku semakin tersiksa. Lelaki memang tak guna!”


 BAB17
BERBEKALKAN lampu di meja sudut kamar tidurnya Ameer merenung rantai emas di tapak tangannya. Loket anak kunci pada rantai tersebut dipegang dan dibelek penuh minat. Tubuhnya dilentangkan di tengah katil. Rantai emas milik Mariya masih dalam genggaman tapi matanya kini merenung siling bilik. Ameer termenung lama. Fikirannya kosong. Semakin dia memikirkan Mariya samakin dia tidak mengerti apa yang patut dia fikirkan. Akhirnya senyuman terukir di bibir tanpa sebab.

“Siapa sebenarnya Mariya? Apa permainan yang dia cuba hendak main dengan aku sebenarnya?” persoalan tersebut masih belum terjawab sejak hari pertama dia mengenali Mariya tempohari.

Walaupun hati Ameer penuh dengan tanda tanya namun dalam diam dia senang melihat kewujudan Mariya di rumahnya. Biarpun dia tidak pasti akan niat dan motif Mariya, dia akan terus memantau setiap tindakan gadis itu.

Suis lampu ditutup. Ameer berhenti memikirkan tentang Mariya. Dia mesti tidur sekarang. Esok akan bersambung lagi episod dalam kehidupannya sebagai seorang selebriti.


Bersambung.....


Monday, April 1, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab15)


Bab15
“NUHA SAMEERA…” Mariya menutup pintu bilik dengan rapat sebelum melangkah menghampiri Nuha di atas katil. Dia duduk di birai katil sambil menghadap Nuha yang sedang membelek sebuah buku. “Cantik nama adik.”

Nuha yang melihat kemunculan Mariya hanya buat tidak endah. Dia lebih tertarik dengan novel di tangannya. Punggungnya diangkat menjauhi Mariya yang cuba duduk rapat dengannya. Sejak petang tadi dia memerap diri di dalam bilik. Ada sekali abangnya memanggilnya keluar tetapi Nuha dengan sikap degilnya tidak mahu mengendah. Nuha masih tidak dapat menerima kuwujudan Mariya. Dia tidak puas hati dengan tindakan abangnya yang mengambil Mariya bekerja sebagai orang gaji dirumahnya.

“Tapi kalau perangai tu tak sombong mesti lagi cantik.” Mariya menarik novel bertajuk 9 Nyawa karya Ramlee Awang Murshid dari tangan Nuha. Dia mahu Nuha memberi perhatian terhadapnya.

Nuha menjeling tajam kepada Mariya. Novelnya dirampas semula dari tangan Mariya.

“Kak Mariya nak minta maaf pasal petang tadi. Cara kita berkenalan agak kasar kan. Kalau Abang Ameer lambat pulang tentu lebih teruk keadaan kita.” Mariya tersenyum kecil apabila teringat semula pergaduhannya dengan Nuha tadi. Tidak sangka dia boleh bersungguh-sungguh mahu mengalahkan budak mentah seperti Nuha. Nuha pun boleh tahan juga garangnya. Mahu tidak tercabar Mariya dibuatnya.

Nuha mengerling Mariya. Renungannya bertaut dengan Mariya selama beberapa saat. Kemudian dia mengangguk. Tanpa bicara mulut dia menyampaikan kepada Mariya yang dia menerima maaf Mariya.

“Berapa umur Nuha? Sekolah tingkatan berapa?” Reaksi positif daripada Nuha membuatkan Mariya tertarik untuk meneruskan perbualan.

Nuha kembali tertumpu pada novelnya. Soalan Mariya langsung tidak diendahkan. Dia malas hendak menghiraukan Mariya. Mariya pula tetap memaniskan wajah dan bersabar melayan kerenah Nuha. Namun disebalik senyuman itu hatinya mengerutu. Geram dengan sikap sombong adik Ameer.

“Nuha belajar silat kat sekolah ya? Tengok gerak serangan Nuha tadi hebat betul. Jarang perempuan nak belajar seni bela diri ni. Baguslah Nuha tahu bersilat. Sekurang-kurangnya boleh mempertahankan diri bila diserang musuh.” Mariya terus cuba untuk menarik perhatian Nuha.

Nuha menjeling Mariya. Keningnya terangkat sebelah sambil melemparkan senyuman sinis. Tubuhnya dipusing membelakangi Mariya. Dia kembali memberi tumpuan pada buku yang dibaca.

Mariya mengetap bibir. Melihat sikap Nuha terhadapnya membuatkan Mariya rasa tercabar. Nuha seakan-akan memperkecilkan dirinya. Seolah-olah kewujudannya sangat menjengkelkan pada pandangan mata gadis itu.

“Kak Mariya dah masak. Jom kita turun makan malam.” Walaupun tahap kesabarannya semakin nipis Mariya masih cuba mengambil hati Nuha. Malangnya Nuha seolah-olah tidak mendengar. Gadis itu cuba menafikan kewujudan Mariya di sebelahnya. Ini menyebabkan Mariya berasa geram.

“Suka hati kaulah. Nanti lapar cari sendiri makanan di dapur. Itupun kalau aku baik hati nak tinggalkan makanan untuk kau.” Siapa yang tidak bengang jika dibiarkan bagai orang bodoh yang bercakap dengan dinding. Sepatah haram pun Nuha tidak mahu bercakap. Sakit hati Mariya dibuatnya.

Mariya bangkit dari katil lantas meninggalkan gadis itu. Ketika di pintu bilik sempat dia menoleh kembali kepada Nuha. Sangkanya ada reaksi positif daripada gadis tersebut. Malangnya fokus Nuha tetap terhadap novel yang dibacanya. Baca novel boleh kenyang agaknya. Grrr… Mariya mengangkat kedua belah tangannya ke hadapan seolah-olah mahu mencekik Nuha sebelum keluar dari bilik.

Ketika dia turun ke tingkat bawah dia nampak Ameer sudah duduk di meja makan. Ameer sedang berbual melalui panggilan telefon. Diam-diam Mariya mencuri dengar dari anak tangga.

“Ibu jangan risau. Nuha ada di rumah Ameer. Nanti cuti sekolah tamat Ameer akan pastikan dia pulang… sudahlah tu, ibu janganlah menangis lagi. Ameer janji akan jaga adik Ameer.” Ameer memujuk ibunya yang menangis sayu bagaikan anak kesayangannya benar-benar sudah hilang. Pening juga dia mahu meyakinkan ibu. Maklumlah selama ini Nuha memang tidak pernah berjauhan dari keluarga.

“Ibu, percayalah… Nuha selamat di sini. Biarlah dia dengan Ameer untuk sementara waktu ni. Minggu hadapan Ameer hantar adik pulang ya, bu. Ya… Ameer janji. Ameer pulang nanti. Kirim salam pada abah dan Rianda. Hmm… Hakimi masih ada di kampung ke?”

Mendengar perkataan ‘Hakimi’ yang terpacul dari mulut Ameer menyentap jantung Mariya secara mendadak. Baru dia tahu yang Hakimi bukan sekadar rapat dengan Ameer malah dengan keluarga Ameer juga.

“Oh, ye ke. Okeylah, bu. Nanti Ameer telefon ibu lagi ya. Assalamualaikum…” Ameer tersenyum memandang telefon yang sudah memutuskan perbualan dengan ibu. Separuh hatinya geram dengan Nuha yang keluar rumah tanpa meminta izin dengan ibu dan abah sehinggakan orang tuanya sangat risau dan menyangka yang bukan-bukan telah berlaku terhadap adiknya. Namun bila memikirkan satu lagi masalah yang membelenggu hidupnya dia rasa patut berterima kasih pada Nuha. Kehadiran Nuha secara tidak langsung boleh menghalang fitnah yang boleh berlaku disebabkan kewujudan Mariya di rumahnya. Selain itu boleh juga Nuha dijadikan spy tidak rasminya untuk memerhatikan gerak geri Mariya nanti.

“En. Ameer…” Mariya menghampiri Ameer di meja makan.

“Mariya, mana Nuha?” Mata Ameer tepat merenung susuk tubuh Mariya yang berbaju-T labuh dan bersarung kain batik. Rambutnya yang panjang mengurai itu hanya diikat separuh. Nampak berbeza penampilan Mariya malam ini. Sungguh sopan dan ayu di mata Ameer sehingga tidak berkelip mata Ameer merenungnya.

“Saya dah ajak dia makan tapi dia tak mahu turun.” Mariya terus melangkah ke meja kabinet dapur dan mengambil jag air sebelum kembali ke meja makan. Apabila terlihat Ameer sedang asyik merenungnya membuatkannya rasa semacam tidak selesa. “Saya minta maaf. Saya cuma bawa dua pasang baju. Semua dah kotor. Jadi saya pinjam baju En. Ameer. Hmm… kain batik ni saya jumpa dalam almari pakaian.” Kepalanya hanya menunduk dan tidak berani menentang pandangan mata Ameer terhadapnya.

“Tak apa. Tak jadi masalah pun.” Mata Ameer masih lagi tertancap pada figura di hadapannya. Garis senyuman terbentuk di bibirnya. Dia tahu kain batik itu tentu milik adik atau ibunya yang pernah tertinggal di rumahnya dahulu.

“Terima kasih.” Mariya tersenyum lega. Sebenarnya dia sendiri rasa janggal menyarung kain batik namun dia tiada pilihan lain. Terpaksa. “En. Ameer makanlah dahulu. Nanti saya pujuk Nuha.”

Ameer tidak berkata apa. Dia masak benar dengan sikap Nuha yang sukar hendak bergaul dengan orang luar. “Tak mengapa, Mariya. Biar saya yang pujuk dia sendiri nanti. Adik saya tu memang pelik sikit. Harap awak boleh bersabar dengan sikapnya.”

“Saya tak kisah, En. Ameer. Kalau dia tak nak turun, nanti biar saya hantarkan makanan untuknya.” …jangan harap aku nak layan budak tu macam tuan puteri. Hati Mariya berbisik sebaliknya dengan apa yang terluah di bibir.

Mariya mengangkat tudung saji. Hidangan sudah tersedia di atas meja. Dia menyenduk nasi ke dalam pinggan lalu meletakkannya di hadapan Ameer.

“Terima kasih.” Ameer tersenyum. Belum sempat dia berkata apa-apa Mariya sudah melayannya.
Tangan Ameer panjang mahu mencapai sambal udang di tengah meja. Belum sempat tangannya mencapai mangkuk lauk, tangan Mariya terlebih dahulu menyudukan lauk tersebut untuk Ameer.

“Cukup?”

Ameer hanya tergamam. Tanpa sedar dia mengangguk. Mariya tersenyum melihat reaksi Ameer.

“Nak sayur? Saya ambilkan.” Tanpa menunggu lama Mariya menyudu pula sayur Kailan Masak Sos Tiram yang dimasak dengan kaedah stim. Kebanyakan masakannya dipengaruhi gaya masakan cina. Namun begitu Mariya juga belajar masakan melayu kerana selera tekaknya yang kena dengan masakan melayu.

“Terima… kasih…” Ameer memandang pinggan nasi yang sudah lengkap dengan lauk. Pertama kali Ameer terasa dilayan bagaikan raja. Semua Mariya buatkan. Sendukkan nasi. Ambilkan lauk. Tuangkan air. Mujur tidak disuapkan makan sahaja.

“En. Ameer dah cuci tangan?”

Ameer tersenyum dan menggeleng. Lantas dia segera bangkit dan menuju ke sinki untuk mencuci tangan. Ketika mencuci tangan dia teringat sesuatu. Biasanya sebelum makan nasi dia akan menjamah buah-buahan terlebih dahulu. Sunnah rasulullah yang juga baik untuk kesihatan. Dia lihat Mariya tidak menyediakan pencuci mulut di atas meja lantas dia singgah ke peti sejuk untuk mengambil buah-buahan. Sebaik membuka pintu peti sejuk rupanya buah-buahan sudah sedia dipotong dan tersusun elok dalam sebuah pinggan. Cuma Mariya tidak keluarkan. Tentu sekali Mariya mahu mengeluarkannya sebaik dia selesai makan.

Ketika Ameer mengeluarkan buah tersebut matanya tertancap pada sesuatu di para bawah peti sejuk tersebut. Senyumannya meleret. “Mariya, awak masak rendang? Kenapa tak cakap dengan saya?”

“Hmm?” Mariya yang berdiri di meja makan menjenguk Ameer di balik pintu peti sejuk.

Ameer menutup pintu peti sejuk. Kedua belah tangannya menatang makanan menuju ke meja makan. Tangan kanan memegang pinggan buah dan tangan kiri pula menatang mangkuk yang berisi rendang daging.

“Awak tahu tak, ini adalah salah satu makanan favourite saya...” Mariya senyum penuh makna. Ameer tidak tahu yang Mariya sudah tahu fakta tersebut sebenarnya. “…dan rendang daging akan membuatkan saya rindakan ibu saya di kampung.” Ameer kembali mengambil tempat duduk dan mula menyudu rendang daging tersebut ke pinggan makannya.

“Err… tapi En. Ameer itu rendang semalam.” Mariya tidak sempat hendak melarang. Rendang tersebut sudah selamat masuk ke mulut Ameer.

“Hmm… sedap awak masak rendang ni. Hampir menyerupai rendang ibu saya.”

Mariya tersenyum. Gembira apabila masakannya dipuji. “Biar saya panaskan dulu rendang tu. Tak sedap makan sejuk-sejuk.”

“Tak payahlah. Makan macam ni pun dah sedap. Kalau awak panaskan nanti terlebih sedap, saya pula yang tak boleh bangun sebab kekenyangan.” Akibat teruja dengan rendang tersebut Ameer terlupa pada buah yang sepatutnya hendak dijamah dahulu tadi.

Mariya tersenyum panjang. Dia sangat gembira apabila masakannya kena dengan selera tekak Ameer. Secara tidak langsung dia telah berjaya menambat hati Ameer.

“Eh, duduklah. Ambil pinggan tu. Makan sekali dengan saya.” Melihat Mariya yang hanya berdiri melihatnya menikmati makan malam membuatkan Ameer serba salah.

“Tak mengapa, En. Ameer. Saya makan sekejap lagi,” dengan berkhemah Mariya menolak pelawaan Ameer.

“Apa salahnya makan sekali dengan saya. Tak seronoklah makan sendiri,” ajak Ameer.

“Baiklah…” Akhirnya Mariya mengambil pinggan nasi lalu menyenduk nasi sebelum mengambil tempat bertentangan dengan Ameer.

“Mariya, awak bukan melayu tapi macam mana awak pandai masak masakan melayu?”

Mariya tersenyum. Ada sesuatu yang belum diketahui Ameer tentang latar belakangnya. “En. Ameer, walaupun saya bukan melayu tulin tapi saya bukan tinggal di negara China atau Taiwan.”

“Okey, saya tahu negara kita ni rakyatnya berbilang kaum tapi dari mana awak belajar memasak masakan melayu?” Sudah beberapa suapan masuk ke dalam mulut Ameer. Begitu berselera dia manikmati makan malamnya hari ini.

“Dulu nenek saya pernah ajar. Selain itu, saya juga banyak belajar dari kawan-kawan. Saya ramai kawan melayu,” cerita Mariya sambil menyudu sambal udang. Matanya menjeling Ameer sebaik suapan pertama masuk ke dalam mulutnya. Boleh tahan pedas sambal yang dibuatnya tetapi melihat Ameer yang cukup berselera makan membuatkan hatinya berasa puas.

“Nenek awak orang melayu?” rendang daging disenduk lagi untuk kali kedua ke pinggannya.

Mariya mengangguk. “Nenek sebelah ayah.” Raut wajah Mariya sedikit berubah sebaik menjelaskan kedudukan yang sebenar. Air mukanya sedikit mendung namun cuba ditutup dengan senyumannya. Menyebut perkataan ‘ayah’ sememangnya membuatkan hatinya berasa terlalu sakit. Kerana ayah, ibunya mati. Kerana ayah hidupnya merana. Dan kerana ayahlah dia hidup dengan dendam.

“Maksudnya ayah awak melayu dan ibu awak cina?” teka Ameer.

Mariya tidak lebih sekadar mengangguk mengakui.

“Nenek awak masih ada?”

Senyuman Mariya tawar sambil menggelengkan kepala. “Dah meninggal dunia beberapa tahun yang lepas.”

Sorry… Hmm, Mariya…”

Mariya mengangkat wajah. Merenung tepat kepada Ameer. Mata mereka saling bertaut. Dari raut wajah Ameer jelas menggambarkan masih ada soalan yang berbuku di hatinya.

“Saya masih tertanya-tanya. Siapa sebenarnya awak? Kenapa awak muncul mencari saya secara tiba-tiba? Rasanya saya perlukan penjelasan yang kukuh dari mulut awak sendiri.”

Mariya berhenti dari menyuap makanan. Matanya jatuh memandang butiran nasi yang masih tinggal separuh di pinggannya. “En. Ameer… awak sukakan perempuan?”

“Ha? Apa maksud soalan awak ni?” Ameer keliru bila tiba-tiba ditanya dengan soalan begitu. Adakah Mariya menghampirinya kerana menyukainya dalam diam?

“Hmm… maksud saya…” Mariya buntu. Terasa berat mulutnya hendak bertanya secara jelas kerana ia membabitkan penerimaannya terhadap jawapan Ameer kelak. Dia tidak tahu bagaimana hendak menghadapi situasi jika Ameer mengatakan yang dia lebih menyukai kaum sejenisnya berbanding wanita. Pasti ia suatu tamparan yang hebat buat dirinya.

“Mariya…?”

Lidah Mariya kelu. Suaranya bagai tersekat di rengkung.

“Awak tanya begitu sebab awak sukakan saya ke?” Ameer sekadar meneka dan soalannya itu membuatkan Mariya terkesima lantas menggeleng bertalu-talu.

“Ameer, saya di sini kerana mahukan rantai saya kembali. Saya akan pergi jauh dari hidup awak sebaik awak kembalikan rantai saya.” Mariya menidakkan sangkaan Ameer itu.

“Betul?” Anak mata Ameer menikam tepat ke dasar mata Mariya. Seolah-olah cuba mencari kejujuran disebalik kata-kata gadis tersebut. “Awak rasa saya akan lepaskan awak? Bagaimana kalau tiba-tiba saya tak nak pulangkan rantai awak?”

“Awak jangan main-main dengan saya.”

Ameer tertawa melihat riak gusar Mariya. Nampaknya Mariya risau dengan kata-katanya tadi.

“Saya bergurau saja.” Ameer sudah selesai melayan kehendak perutnya. Dia bangkit dari kerusi, menuju ke sinki untuk mencuci tangan. “Terima kasih masakkan untuk saya. Masakan awak sangat sedap, Mariya. Saya hampir terpikat.”

Mariya terkesima. Matanya merenung susuk tubuh Ameer yang membelakanginya.

“Beruntung sesiapa yang dapat memperisterikan awak. Cantik dah jadi syarat nombor sepuluh bila calon isteri pandai memasak tau.” Ekor mata Ameer sempat mencuri pandang reaksi Mariya.

“Maksud awak?” Mariya mengulum senyuman mendengar kata-kata berunsur pujian Ameer itu.
Ameer kembali kepada Mariya semula setelah selesai mencuci tangan.

“Lelaki idamkan isteri yang pandai memikat tekaknya. Yang pandai menguruskan rumah tangga. Yang sentiasa menjadi bidadari dalam hidupnya.”

Mariya tertunduk. Senyuman yang cuba disimpan akhirnya terpamer di wajah. Dia berasa kata-kata Ameer sedang ditujukan kepadanya. Namun alangkah bahagianya jika kata-kata itu keluar dari mulut Hakimi saat ini. Dimana Hakimi? Kenapa mesti Ameer yang mengucapkan kata-kata pujian tersebut. Entah kenapa hatinya tiba-tiba dipaut rasa sayu. Hakimi telah menyebabkan Mariya merindu dalam dendam yang mendalam.

“Saya dah periksa tugas-tugas yang saya beri pada awak. Awak dah lakukan dengan sempurna. Mungkin awak tak perlu bekerja sampai sebulan dengan saya kot.”

“Betul ke?” Mariya menjeling Ameer seolah-olah tidak mempercayai lelaki itu.

“Ya… kalau bernasib baik mungkin awak akan bekerja seumur hidup dengan saya,” ujar Ameer perlahan.

“Ha? Apa awak cakap?” Mariya hampir melatah dengan kata-kata Ameer yang begitu mendalam ertinya itu.

Ameer senyum penuh makna sambil merenung Mariya. Panahan matanya kali ini berbeza dari sebelumnya. Tenungannya menyejukkan. Sinaran matanya mendamaikan jiwa. Lama mata mereka berdua bertaut sehinggakan jantung Mariya terasa bagai hendak luruh. Degupannya begitu kencang sekali. Dia tidak pernah tewas dengan panahan mata lelaki yang bersifat menggoda. Namun aura yang dilepaskan Ameer begitu berbeza sekali. Bukan sekadar renungan memikat sebaliknya renungan yang bagai cuba menawan hatinya dengan halus sekali.

“Saya naik ke atas dahulu. Nak pujuk Nuha makan nasi.” Ameer mengalihkan pandangannya dari terus menikmati wajah kacukan Mariya. Dia mula mengatur langkah mahu meninggalkan Mariya. Dia tahu sikapnya terlalu menonjol sehingga membuatkan Mariya rasa tidak selesa. Dia lekas-lekas beredar.
 Mariya memandang kelibat Ameer yang meluru mendaki tangga. Sebaik kelibat Ameer lesap Mariya melepaskan nafas leganya. Tangan kirinya memaut dada yang terasa bagai hendak luruh tadi. “Kenapa dengan aku? Aku tak pernah rasa perasaan sebegini melainkan bersama Hakimi… Mariya, Ameer ialah musuh kau. Orang yang mahu kau hapuskan. Dia yang memusnahkan hubungan kau bersama Hakimi. Tujuan utama kau di sini adalah untuk menghapuskan lelaki itu. Tolong ingat perkara ini sampai mati!” Mariya membisikkan kata-kata itu pada dirinya sendiri. Dia harus menyedarkan dirinya sebelum sesuatu yang tak terduga berlaku. Dia tidak akan menjerumuskan dirinya sekali lagi ke lembah cinta.


Bersambung...