Kawan2 yg saya Sayang

Wednesday, February 27, 2013

Aku Bukan Malaikat (BAB12)


BAB12

SELEPAS menghubungi Mariya, Ameer teringat mahu menghubungi seseorang. Dia kembali menyentuh-nyentuh tubuh telefon pintar berjenama Samsungnya untuk menghubungi Hakimi. Sebentar kemudian talian bersambung.

Assalamualaikum…” suara di sana menyapa dengan ucapan selamat sejahtera.

Ameer tersenyum dan menjawab seadanya sapaan Hakimi.

“Sibuk?”

“Tak juga. Kenapa?”

“Aku nak minta sedikit nasihat.” Ameer sempat menjenguk keadaan sekeliling untuk memastikan tiada sesiapa kerana dia mahu bercerita perkara rahsia dengan Hakimi.

“Berkaitan apa? Ceritalah.” Hakimi tidak pernah menolak menjadi pendengar setia Ameer.

“Pasal perempuan.”

Suara di sana tiba-tiba tertawa. Kenyataan Ameer kali ini memang sesuatu yang luar biasa bagi Hakimi kerana dia tahu Ameer tidak pernah ambil kisah tentang teman wanita selama ini.

“Hakimi, tak kelakar, okey.” Nada Ameer serius. Seakan-akan marah.

Sorry… apa yang boleh aku bantu. Ceritalah.” Hakimi cuba menahan tawa dan kembali serius mendengar cerita Ameer.

“Kau ingat perempuan bernama Mariya yang aku ceritakan tempohari?”

“Ingat,” Hakimi menjawab sepatah tetapi jelas yang dia mula tertarik.

“Dia tinggal di rumah aku sekarang.”

Senyap. Hakimi tidak memberi sebarang respon. Dia tergamam mendengar kenyataan tersebut.

“Kalau nak cerita kenapa dia tiba-tiba boleh berada di rumah aku memang panjang. Nanti kemudian aku cerita. Sekarang ni boleh tak kau tolong aku bagi idea macam mana aku nak elakkan dari sebarang masalah. Yelah… kau faham kan. Dia tu perempuan. Aku rasa tak selesalah biarkan dia tinggal di rumah aku.”

Hakimi masih senyap di hujung talian. Tidak memberi sebarang reaksi terhadap celoteh Ameer. Dia faham dengan situasi Ameer dan tiada siapa tahu bahawa dia sedang berperang dengan perasaannya sendiri memikirkan tindakan Mariya yang semakin melampau. Nampaknya Mariya benar-benar nekad dengan apa yang diperkatakannya tempoh hari.

“Hakimi, kau dengar atau tidak apa yang aku ceritakan ni?” Ameer menegur Hakimi apabila masalahnya tidak mendapat respon dari sahabatnya itu.

“Dengar… aku dengar. Aku tengah fikirlah ni,” ujar Hakimi sekaligus menutup gusarnya.

“Apa yang harus aku buat, Mi?” Ameer begitu runsing memikirkan perkara ini. Dia serba salah untuk menolak kehadiran Mariya.

“Untuk sementara waktu… apa kata kau cuba cari alasan untuk tidak berada di rumah tu.” Hakimi memberikan cadangannya.

“Aku nak pergi mana? Makan tidur aku semua di rumah tu.” Ameer garu kepala. Dia tidak merasakan Hakimi memberikan idea yang bernas.

“Sementara waktu sahaja. Nanti kita fikir lagi jalan yang lebih berkesan.” Hakimi menyakinkan Ameer. Sebenarnya dia sangat risau. Lebih risau berbanding Ameer sendiri kerana dia tahu niat jahat yang sedang direncana oleh Mariya terhadap Ameer.

“Baiklah… aku faham.”

******

SEORANG gadis berdiri di sebalik tabir pintu gelongsor bahagian utama rumah. Dia mengintai perbualan Hakimi dengan seseorang melalui panggilan telefon. Wajahnya tersenyum melihat gelagat Hakimi yang ceria menerima penggilan tersebut. Sesekali dapat dilihat Hakimi tertawa besar dan sesekali Hakimi jadi serius melontarkan pendapatnya. Dia gembira melihat Hakimi begitu. Setelah Hakimi menamatkan perbualan telefonnya barulah dia datang menghampiri Hakimi.

“Seronoknya abang berbual dengan siapa?” Gadis berselendang kuning susu itu duduk di kerusi rehat di bahagian emper rumah. Duduknya bertentangan dengan Hakimi supaya senang dia merenung lelaki itu.

“Rianda… Assalamualaikum…”

Hakimi tersenyum apabila melihat wajah gadis itu yang tiba-tiba tersipu malu akibat menegurnya secara tiba-tiba.

“Wa… waalaikumsalam…” balas Rianda sambil menundukkan kepala. “Abang ni sengaja nak kenakan orang.” Mulutnya tercerut sedikit tanda merajuk.

Hakimi tertawa sahaja melihat gelagat Zara Rianda. Gadis yang tidak pernah menanggalkan hijabnya sepanjang dia berada di rumah itu tetap terserlah keayuannya biarpun hanya berpajama. Zara Rianda ialah adik Ameer selain Nuha Sameera.

“Abang Ameer awak yang call tadi.”

“Abang Ameer ke?” tiba-tiba wajah Rianda berubah teruja. “Abang Mi ni teruklah tak beritahu Rianda. Rianda teringin nak bercakap dengan Abang Ameer,” rajuknya kembali bersambung.

“Manalah abang tahu Rianda nak cakap dengan Abang Ameer. Rianda pun muncul macam hantu. Tiba-tiba sahaja duduk tak beri salam.” Hakimi memulangkan paku buah keras.

Rianda tersengeh memikirkan kebenaran kata-kata Hakimi. Dan Hakimi hanya menggeleng kepala sambil terus meleretkan senyumannya.

“Abang Mi, terima kasih, ya.” ucap Rianda tiba-tiba.

“Terima kasih sebab apa?” soal Hakimi.

“Terima kasih sebab sudi datang melawat kami di sini. Ibu seronok sangat tau abang datang. Sekurang-kurangnya Abang Mi dah mengubat sedikit kerinduan kami pada Abang Ameer. Abang Ameer dah semakin sibuk sejak kebelakangan ni. Maklumlah dah makin popular. Balik pun dah makin jarang.”

“Abang yang sepatutnya ucapkan terima kasih pada Rianda sekeluarga sebab layan abang macam keluarga sendiri.”

“Abang Mi ni… biasalah tu. Dari kecil Rianda kenal Abang Mi. Rianda dah anggap Abang Mi sama penting macam Abang Ameer juga.”

Mendengar kenyataan itu entah kenapa membuatkan hati Hakimi berbunga bahagia. Dia rasa dirinya lebih dihargai dalam keluarga tersebut berbanding dengan keluarganya sendiri.

“Oh ya… Rianda lupa. Tadi ibu suruh Rianda panggil abang untuk sarapan pagi. Jom!” Rianda bangkit dari duduknya serta merta.

“Muda-muda dah jadi pelupa. Apalah Rianda ni. Jomlah.” Hakimi turut bangun dan mula mengatur langkah untuk masuk ke dalam rumah. “Ibu masak apa hari ni?”

“Ibu buat Getuk Ubi. Lepas tu ada Lempeng Pisang. Abah pula buat Nasi Lemak.”

“Abah buat Nasi Lemak?” berita sensasi ni kalau Ameer tahu abah memasak.

“Haah… kat gerai Wak Sobri.” Kedengaran tawa nakal Rianda selepas itu. Seronok dia apabila dapat mengenakan Hakimi. “Pagi tadi balik dari surau abah singgah belilah. Percaya sangat abah buat Nasi Lemak. Abah tu goreng telur pun belum tentu reti. Hehehe…”

Hakimi geleng kepala. Budak bertuah ni selamba sahaja kutuk abah belakang orang tua tu.

Mereka sama-sama melangkah menuju ke dapur. Ketika sampai di meja makan ibu baru sahaja siap menuang teh panas ke dalam cawan. Wajahnya serta merta mencorak senyuman menyambut kemunculan Hakimi dan Rianda. Masing-masing terus mengambil tempat duduk selepas itu.

“Abah mana, bu?” soal Hakimi sebaik menghulurkan cawan teh kepada Rianda yang duduk di sebelahnya.
“Abah pagi-pagi lagi dah masuk office,” jawab ibu selamba.

Rianda sudah tergelak-gelak kecil mendengar jawapan ibu. Mana lagi office abah kalau bukan di ladang kelapa sawitnya. Buah-buah kelapa sawit sudah sampai masanya hendak dituai. Jadi awal-awal pagi abah sudah keluar untuk memungut hasil.

“Hakimi, makanlah. Jangan malu-malu. Rumah ibu ni dah macam rumah Hakimi juga kan selama ni.” Ibu menghulur pinggan makan kepada Hakimi. Ada banyak makanan di atas meja. Biar Hakimi pilih sendiri yang mana yang digemarinya. “Rianda, sendukkan Getuk Ubi tu. Bagi Abang Mi rasa. Dah lama dia tak merasa kuih special ibu tu.” Ibu mengarahkan anak gadisnya melayan Hakimi. Getuk ubi ialah makanan berasaskan ubi kayu yang direbus kemudian ditumbuk dengan lesung kayu. Biasanya dimakan dengan sambal ikan bilis atau kelapa parut dan gula. Namun ia tetap sedap jika dimakan begitu sahaja.

“Ala, ibu ni. Tak apa. Hakimi boleh buat sendiri. Ibu makanlah sekali. Janganlah sibuk nak melayan orang sahaja.” Hakimi menegah ibu dari melayannya bagaikan tetamu istimewa.

“Ibu kalau dapat tengok Hakimi makan pun dah terasa kenyang. Tak apa. Ibu masak ni memang untuk anak-anak ibu. Makanlah.” Bagi ibu apabila anak-anaknya sukakan masakan yang disediakannya itu sudah membuatkannya berasa puas dan senang hati sekaligus rasa kenyang biarpun tidak makan sekali.

“Ibu tu memang begitu. Rianda ni kalau balik rumah mesti gemuk sebab masakan ibu sahaja.”

Sekeluarga tertawa di meja makan. Walaupun ahli mereka tidak lengkap suasana tetap meriah.

“Nuha…” tiba-tiba panggilan ibu menarik perhatian Hakimi. Dia menoleh ke belakang. Dilihatnya Nuha sedang berdiri terpacak memandang ke meja makan. “Anak ibu… mari sarapan sama-sama. Hari ini ada Nasi Lemak kegemaran Nuha. Abah belikan tadi. Mari makan.” Ibu memang suka memanjakan anak-anak. Dari Ameer sampai ke Nuha ibu layan sama rata. Bagi ibu anak-anak adalah permata yang paling bernilai. Hakimi pun rasa tempias kasih sayang tersebut biarpun bukan anak ibu.

Nuha berjalan dan mengambil tempat di sebelah ibu bertentangan dengan Rianda tanpa sebarang bunyi. Cawan teh yang siap tersedia diletakkan oleh ibu di hadapan Nuha. Nasi Lemak Sambal Sotong kegemaran Nuha turut sama disediakan di situ. Nuha tidak banyak soal terus sahaja membuka bungkusan Nasi Lemak lalu mula menjamah sebaik doa makan selesai dibaca di dalam hati.

Hakimi yang sibuk memerhatikan adik bongsu Ameer itu hanya tersenyum melihat gelagat Nuha. Nuha memang berbeza dengan Rianda yang peramah orangnya. Nuha tidak pernah bercakap atau berbual dengannya. Memang sukar untuk mendengar suara emas gadis tersebut. Walhal gadis tersebut bukannya bisu. Cuma memang sikapnya agak pelik sedikit berbanding adik beradiknya yang lain.

“Nuha, apa khabar?” Sejak Hakimi sampai ke rumah ini malam tadi baru pagi inilah dia berkesempatan bertemu Nuha.

Nuha sekadar mengangkat kepala dan merenung Hakimi tiga saat sebelum kembali menjamah Nasi Lemaknya.

Rianda mengerling Hakimi sebelum jungkit bahu apabila Hakimi cuba mendapatkan reaksi Rianda terhadap sikap Nuha.

“Nuha, Nasi Lemak Sambal Sotong Wak Sobri tu sedap ya? abang tengok Nuha suka sangat makan.” Hakimi cuba memancing perhatian Nuha.

Ibu dan Rianda hanya menjadi pemerhati. Masing-masing memang sudah masak dengan sikap Nuha yang dingin lebih-lebih lagi dengan orang luar. Biarpun Hakimi sudah biasa berkunjung ke rumah tersebut namun dia tetap dianggap orang asing bagi Nuha. Nuha memang sukar didekati.

“Abang Mi, tadi abang sembang apa dengan Abang Ameer? Dia tahu ke abang ada di sini?” Rianda cuba menghidupkan suasana dengan perbualan. Dia pasti yang Nuha memang tidak akan pedulikan Hakimi. Jadi biar sahaja dia yang melayan tetamu mereka itu.

“Anak bertuah ibu tu baru telefon Hakimi?” Mata ibu membulat. Reaksi terkejut bercampur geram. Sebenarnya rindu itu lebih nyata kerana tanpa sedar ibu seperti cemburu kerana awal-awal pagi Ameer sudah mencari Hakimi.

“Dia telefon sekejap saja tadi, bu. Tak sempat pun nak beritahu dia yang Hakimi di sini. Dia memang sibuk sejak kebelakangan ni. Tempohari pun kebetulan saya ada di Kuala Lumpur baru dapat jumpa dia,” jelas Hakimi tidak mahu keluarga Ameer salah sangka.

“Rasanya dah lama sangat Rianda tak jumpa Abang Ameer. Setiap kali dia pulang pun mesti masa Rianda di kolej. Kali terakhir jumpa masa hari raya tahun lepas. Hari raya baru-baru ini pula Abang Ameer balik masa Rianda dah pulang ke kolej.” Rianda seolah-olah sedang meluahkan perasaannya.

“Abang kan sibuk. Dia kan artis.” Ibu yang sedang menguis-nguis nasi lemak di pinggan Nuha seakan-akan menyindir orang yang tiada di meja makan.

“Ibu ni… kan abang tak suka orang panggil dia artis,” Rianda membela Ameer.

Nuha mengalihkan tangan ibunya yang cuba mencicip sotong di nasi lemaknya. Namun ibu sempat juga menyuap sesudu nasi lemak Nuha. Nuha tarik muka masam tetapi tidak dipedulikan ibu.

“Sama sahaja. Jadi selebriti pun glamour macam artis juga. Glamour sampai lupakan ibu.” Nampak sangat yang ibu memang sedang merajuk dengan Ameer.

“Ibu janganlah cakap macam tu. Abang cuma sibuk kerja. Belum sampai tahap jadi Si Tanggang yang derhaka tu lah.” Rianda tetap mempertahankan abangnya. Dia tahu ibunya itu bukan marahkan Ameer tetapi sebenarnya merindui anak lelakinya lantas Rianda cuba memujuk. “Abang Ameer tu walaupun dia jarang balik tapi dia tetap tak lupa hubungi ibu kan. Jadi ibu janganlah kecil hati sangat.”

Ibu kembali tersenyum. Dia percaya dengan kenyataan Rianda. Ameer tidak pernah lupa akan tanggungjawabnya terhadap keluarga biarpun jarang pulang sejak bergelar selebriti.

“Saya faham. Ibu cuma rindukan dia.” Hakimi hanya mampu tersenyum melihat gelagat kedua beranak itu. Disebabkan Ameer satu-satunya anak lelaki dalam keluarga secara tidak langsung dia menjadi harapan keluarga.

“Nuha pun…”

Serentak tiga pasang mata tertumpu kepada Nuha yang tiba-tiba bersuara. Hakimi yang paling teruja kerana baru pertama kali mendengar suara Nuha sejak dia sampai di rumah ini malam tadi.

“Nuha nak jumpa Abang Ameer.” Sebaik menuturkan ayat tersebut Nuha bangkit dari kerusi. Nasi lemak yang tinggal sisa ditinggalkan kepada ibu yang suka mengacau makannya. Teh panas hanya dihirup seteguk sebelum langkahnya diatur perlahan meninggalkan meja makan.

Masing-masing hanya tergamam melihat susuk tubuh Nuha yang meninggalkan mereka begitu sahaja. Kata-kata terakhir Nuha itu bagaikan ayat penutup pada perbualan mereka tentang Ameer. Mereka tidak lagi berbual tentang Ameer selepas itu. Namun begitu Hakimi tahu keluarga ini sangat menyayangi Ameer. Termasuklah Nuha. Nuha yang dingin dan tidak suka bercakap itu akhirnya membuka mulut apabila topik Ameer dibicarakan. Tiba-tiba Hakimi mendapat satu idea bernas untuk membantu Ameer menyelesaikan masalahnya…

Bersambung...


Wednesday, February 20, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab11)

Nota : saya tak tahu kenapa saya nak letak gambar Ryo yang cute masa tidur...imaginasi penulis  yang nakal! ~abaikan =)



Bab11
SUASANA sepi menyelimuti dini pagi. Mariya yang masih belum tidur melangkahkan kakinya dengan perlahan untuk keluar dari biliknya. Sebaik berada di luar bilik dia menoleh ke kiri dan kanan untuk memastikan keadaan persekitaran. Kosong dan sunyi. Kemudian matanya menyorot ke satu arah tidak jauh dari biliknya iaitu kamar utama yang didiami oleh Ameer.

Mariya mula mengatur langkah menuju ke bilik tersebut. Dia memaut tombol pintu dan cuba memulasnya perlahan-lahan. Senyuman terukir apabila mendapati bilik tersebut tidak berkunci. Kesejukan penghawa dingin serta merta menyapanya sebaik pintu bilik ditolak. Mariya terjingkit-jingkit masuk ke dalam bilik tersebut. Dia memastikan pergerakannya senyap agar tidak disedari oleh Ameer.

Bilik tersebut suram dan hanya diterangi sedikit cahaya dari lampu neon di luar rumah yang menembusi jendela bilik Ameer. Ini agak menyulitkan sedikit pergerakan Mariya. Dia perlu bergerak dengan berhati-hati sehingga menghampiri katil dimana Ameer sedang nyenyak tidur.

“Cahaya biasanya tidak akan mengganggu Ameer jika dia sudah tidur lena,” kata-kata yang pernah diberitahu Hakimi menjadi pedoman Mariya dalam menangani Ameer. Lampu sisi di sebelah katil Ameer dihidupkan. Sejurus kemudian sekujur tubuh Ameer dapat dilihat dengan jelas. Lelaki itu tidur dalam keadaan mengiring ke sebelah kanan dengan kedua tangannya bersilang diantara kedua belah pehanya. Tubuhnya yang tidak berbaju itu sedikit membengkok. Mungkin sejuk akibat suhu rendah dalam bilik tersebut. Mariya segera menarik comforter dan menyelimutkan tubuh Ameer yang terdedah kesejukan itu.
Kemudian Mariya duduk melutut sambil kedua belah tangannya menapak di katil Ameer. Seketika dia menelek wajah lelaki yang sedang nyenyak itu. Mariya tersenyum kecil melihat gelagat Ameer yang tidur mati, langsung tidak terganggu dengan cahaya lampu yang dihidupkannya sebentar tadi. Apatah lagi setelah tubuhnya diselimutkan.

Wajah lelaki itu mengoyakkan senyuman nipis secara tiba-tiba, seolah-olah sedang mimpi bertemu bidadari. Kulit pipinya sedikit berkedut akibat leretan senyumannya sehingga membentuk satu lekuk lesung pipit yang indah. Tahi lalat yang terletak di sebelah kiri bawah mulut sedikit terlindung di sebalik bantal. Mariya tersenyum senang tatkala melihat air muka Ameer kala itu. Senyuman Ameer walaupun dalam tidur terasa begitu mendamaikan pandangan matanya. Perlahan-lahan dia menyelak rambut hadapan Ameer yang sedikit panjang berjuntai di dahi. Wajah pemuda itu kembali direnungnya penuh minat.

Mariya hampir terlupa akan agenda utamanya menceroboh masuk ke bilik Ameer. Dia mahu mendapatkan semula rantainya. Dia tahu dimana Ameer menyimpan rantai tersebut iaitu dipakai di lehernya. Serta merta dia berhenti menikmati wajah pemuda itu. Perlahan-lahan dan berhati-hati Mariya mula meraba leher Ameer. Agak sukar baginya bertindak memandangkan tubuh Ameer yang membengkok bagaikan udang bakar.

Senyuman terukir apabila dia berjaya mencapai rantainya. Dengan penuh sabar Mariya cuba menarik rantai tersebut perlahan-lahan untuk membuka kuncinya. Namun sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku. Tiba-tiba tubuhnya ditarik oleh tangan Ameer seterusnya tanpa disangka-sangka dia rebah di atas katil dan dalam dakapan lelaki itu.

“Ahh!”

Mariya terperanjat dengan tindakan drastik Ameer sehingga tanpa sengaja melepaskan jeritannya. Namun mujur dia cepat sedar lantas segera mengatup mulutnya dengan tapak tangan. Dadanya berombak kencang dan matanya terbeliak kerana tangan sasa Ameer kejap memaut tubuhnya di atas katil empuk itu.

“Anee… Roti Telur sama Teh Tarik kurang manis satu…” Suara Ameer yang tiba-tiba bergema di sebelah cuping telinganya sekali lagi memeranjatkan Mariya. Namun kata-kata yang dilontarkan oleh Ameer menyebabkan Mariya tergelak kecil. Ekor matanya cuba mengerling wajah Ameer yang terlindung di sebelahnya tapi gagal. Mulutnya berdecit geram apabila semakin erat pautan tangan Ameer pada pinggangnya.

“Tak guna kau, Ameer.” Tubuh Ameer yang menindihnya ditolak dengan sekuat tenaga. Tangan Ameer yang memegang kejap tubuhnya dileraikan dengan kasar lalu digantikan dengan bantal. Mariya turun dari katil Ameer. “Berani kau ambil kesempatan terhadap aku dalam keadaan tidak sedarkan diri.” Mariya memarahi Ameer biarpun lelaki itu masih dalam lenanya yang cukup nyenyak.

Selajur Mariya terus membatalkan niatnya mahu merampas semula rantainya. Dia mengatur langkah untuk keluar dari bilik tersebut. Namun sebelum dia keluar sempat dia menuju ke penjuru katil untuk mematikan suis lampu. Sekilas matanya mencerling Ameer yang telah memeluk bantal pula kini.

“Kenapa orang seperti kau ada tabiat yang pelik macam ni? Tak guna betul.” Tangan Mariya bergerak-gerak di hadapan wajah Ameer seolah-olah mahu mencekik lelaki itu akibat rasa geramnya. Lampu dipadam dan Mariya segera keluar dari bilik tersebut.

************

SEAWAL jam 6.30 pagi Mariya sudah bangkit dari tidur. Kira-kira jam 7.00, sesudah bersiap ala kadar dia segera turun ke dapur untuk memulakan tugas pertamanya. Menyediakan sarapan pagi. Ketika dia sampai di tingkat bawah kelihatan lampu ruang tamu dan dapur sudah terang benderang.

“Ameer lebih awal berbanding aku ke?”

Mariya meninjau sekitar ruang tamu hingga ke dapur. Kelibat Ameer tidak kelihatan di segenap ruang. Mariya jadi hairan. Dia memanjangkan kaki menuju ke peti sejuk untuk melihat apa-apa yang sesuai untuk dimasak sebagai sarapan pagi hari ini. Sebaik berdiri di peti serbaguna itu matanya tertancap pada sekeping nota yang berlipat-lipat dan ditindih dengan besi berani di pintu peti sejuk.

Rupanya itu ialah nota yang ditinggalkan oleh Ameer untuknya. Dalam nota tersebut Ameer menyenaraikan segala tugas-tugas yang telah diaturkan untuk Mariya beserta peraturan-peraturan yang ditetapkan untuk Mariya sepanjang gadis itu bekerja di rumahnya dalam tempoh sebulan ini.

“Tak guna!” Lain yang dirancang lain pula yang perlu dihadapi Mariya. Ameer nampaknya lebih bijak dan bertindak setapak lebih ke hadapan berbanding Mariya.

Tiba-tiba Mariya dikejutkan dengan bunyi nada dering telefon bimbit di atas meja makan. Mariya berjalan ke arah meja makan. Telefon bimbit yang menjerit-jerit itu terselindung disebalik tudung saji di atas meja. Mariya mengalihkan tudung saji bersaiz sederhana itu dan cuba mendapatkan telefon tersebut. Dahi Mariya berkerut dan serba salah mahu menjawab panggilan tersebut. Lagipun telefon bimbit tersebut bukan miliknya. Oleh kerana telefon bimbit tersebut tidak henti-henti berdering akhirnya Mariya memberanikan diri untuk menjawab panggilan tersebut.

“Hello…” sapanya dengan sopan.

“Lain kali bila orang call tu jawab sahajalah. Buat apa nak takut.” Suara dalam talian selamba menembak Mariya tanpa sapaan hormat sebagai pembuka bicara. “Amoi, lu bangun pukul berapa? Jangan lupa awak tu bukan tetamu saya lagi tapi orang gaji saya mulai hari ini tau.”

Mariya mengetap bibir sambil merenung muka telefon bimbit berjenama Nokia itu. Geram juga mendengar suara Ameer yang ketawa sarkastik di hujung talian. Sindiran-sindiran lelaki itu membuatkannya berasa panas hati. Dimana Ameer yang budiman? Dari semalam sampai ke hari ini telinganya sering menadah ayat-ayat sarkastik dari Ameer sahaja.

“Mariya, dengar sini…” Suara Ameer kembali serius.

“Ya.” Mariya memberi tindak balas.

“Ya, En. Ameer… awak kena jawab begini mulai sekarang.”

Mariya mengepal penumbuk. Giginya berlaga-laga menahan sabar sebelum membalas Ameer. “Ya, En. Ameer.” Mariya pura-pura memaniskan wajah biarpun Ameer bukan dihadapan matanya.

“Saya nak awak baca seluruh isi kandungan nota yang saya tinggalkan di peti sejuk tu. Bertindak mengikut arahan dan jangan menyusahkan saya. Telefon ini saya bagi awak pinjam supaya saya boleh hubungi awak pada bila-bila masa. Saya agak sibuk kebelakangan ini jadi jarang berada di rumah. Segala arahan tambahan saya akan lakukan melalui panggilan telefon. Faham?”

“Ya, En. Ameer. Saya faham.” Hati Mariya yang mula membengkak itu terpaksa menurut sahaja arahan Ameer.

“Bagus. Saya ada kerja sekarang tapi saya akan hubungi awak lagi tengah hari ini. Pastikan semua tugas beres. Saya akan buat spotcheck bila saya pulang nanti.”

Mariya mengetap bibir menahan amarah yang sudah hampir tersembur keluar. Akhirnya Ameer menamatkan talian. Mariya hampir mencampak telefon selular yang tidak bernyawa itu ke atas lantai kerana sangat geram namun akhirnya telefon tersebut diletak di atas meja dengan kasar.

“Tak guna betul! Macam mana boleh jadi begini pula? Ergh…” marah Mariya belum reda. Dia kembali mendapatkan semula nota yang panjang berjela yang disediakan oleh Ameer untuknya di pintu peti sejuk tadi. Nota tersebut dibaca semula.

Ada berpuluh perkara yang diaturkan Ameer. Semuanya mengikut turutan dan mesti Mariya patuhi. Diantaranya adalah tugas-tugas asas surirumah seperti memasak, mambasuh dan mengemas rumah. Tetapi yang menjadi rumitnya ialah setiap tugas-tugas tersebut ditambah dengan syarat-syarat kecil yang ditetapkan oleh Ameer. Ia begitu merimaskan Mariya kerana perlu memberi perhatian pada perkara-perkara kecil yang ditekankan oleh pemuda tersebut.

Mariya mengerling jam dinding. Jam sudah menunjukkan pukul 7.30 pagi. Dia sudah mensia-siakan masa hanya untuk menelaah nota Ameer yang panjang lebar itu. Tanpa membuang banyak masa Mariya memulakan tugas pertamanya iaitu mencuci pakaian yang berlonggok di bilik mencuci di belakang dapur.

“Asingkan pakaian putih dan berwarna. Begitu juga dengan seluar jeans. Sabun dan pelembut perlu mengikut sukatan yang ditetapkan seperti yang tercatat pada nota di mesin basuh.” Mariya menggulung notanya dan disimpan di poket hadapan apron yang dipakainya. Kemudian dia mula mencuci pakaian Ameer mengikut seperti dalam arahan tersebut.

Sementara mesin basuh selesai mencuci pakaian Mariya meneruskan tugas yang seterusnya iaitu mengemas rumah. Arahan untuk membersihkan rumah lebih rumit dan panjang yang Ameer tulis. Mariya tidak kuasa hendak menurut perintah Ameer. Lagipun dia lihat rumah Ameer bukan semak sangat. Kemas tersusun. Cuma ada sedikit habuk-habuk yang melekat di celah-celah perabot. Tiada siapa yang perasan dengan habuk yang halus itu. Mariya tidak bercadang mahu menurut segala arahan yang disediakan Ameer. Lagipun bukannya Ameer ada di rumah.

Mariya membawa pakaian yang baru selesai dicuci keluar rumah untuk disidai. Ketika kakinya baru melangkah melepasi pintu rumah tiba-tiba Mariya diganggu dengan panggilan dari Ameer lagi. Bakul diletak dan panggilan dijawab dahulu.

“Ya, En. Ameer…” kelat di wajah Mariya tidak dapat disembunyikan lagi tatkala menjawab panggilan tersebut.

“Awak tengah buat apa sekarang?” soal Ameer lagak bagai sedang memantau tugas Mariya.

“Saya nak pergi jemur pakaian di luar rumah.” Mariya berusaha melunakkan suaranya walaupun dia geram dengan panggilan tersebut. Terasa dirinya sedang dalam kawalan Ameer kini. Dia memang tidak berpuas hati.

“Guna ampaian di belakang rumah. Jangan sekali-kali buka pintu hadapan sewaktu ketiadaan saya!” amaran keras dari Ameer.

“Tapi En. Ameer…”

“Awak akan dapat masalah kalau tak ikut nasihat saya. Jangan keluar dari rumah.” Ameer faham niat baik Mariya tetapi dia juga ada sebab dan dia tidak mahu sebarang masalah timbul.

“Saya cuma nak jemur pakaian.” Mariya sedikit keras dan cuba melawan. Dalam hatinya mengutuk Ameer. Nasihat atau arahan? Aku takkan tunduk pada kau, Ameer…

“Awak ada baca peraturan ke-19? Kalau awak lupa lebih baik awak baca semula. Saya takkan larang kalau awak tak mahu dengar nasihat saya.” Ameer menekankan suaranya untuk memberitahu Mariya akan ketegasannya.

Dahi Mariya berkerut. Tangan kirinya menyeluk nota peraturan Ameer yang disimpan di poket apron yang dipakainya. Seketika dia membiarkan Ameer dalam talian tanpa sebarang bicara. Matanya memerhati peraturan ke-19. “Ada seorang makcik yang sangat prihatin dan suka mengambil berat hal jiran tetangga. AMARAN : mulutnya lebih berbisa dari ular. Jauhi dia untuk keselamatan awak. Sekiranya dia berjaya menegur, cuba elakkan diri dari menjawab lebih dari tiga soalannya.” Mariya membaca di dalam hati dan dia mengerti niat Ameer kini. Ameer tidak mahu sebarang masalah timbul akibat kesilapannya. Lagi pula Ameer ialah selebriti yang dikenali ramai. Sudah tentu lelaki itu tidak mahu kewujadannya di rumah ini akan mencalarkan imej bersihnya.

“Baiklah…” Mariya akur dengan arahan Ameer. “En. Ameer pulang tengah hari ini? Nak saya sediakan makan tengah hari?” Mariya mengajukan pertanyaannya selepas itu.

Soalan Mariya lembut menyapa telinga Ameer. Terasa damai di pendengaran lelaki itu. Ameer tidak terus menjawab soalan Mariya. Dia hanyut sebentar dalam khayalannya. Tiba-tiba dia terbayangkan sesuatu. Andai suara yang didengarnya kini ialah suara sang isteri yang melayannya sebagai sang suami. Alangkah bahagianya…

“En. Ameer suka makan apa? Saya boleh masakkan.”

Senyuman Ameer meleret sampai ke telinga. Suara lunak Mariya begitu memikat telinga yang mendengar. Namun tidak sampai lima saat Ameer kembali ke dunia realiti. Dia berdehem beberapa kali sebelum kembali mengatur ayat yang sesuai untuk menjawab pertanyaan Mariya.

“Hmm… saya sibuk. Tengoklah malam nanti macam mana,” jawabnya dingin. Sengaja tidak mahu terlalu baik dengan gadis itu. Kalau boleh dia mahu mencari alasan untuk tidak pulang. Dia memang tidak selesa berdua dengan Mariya di dalam rumah tersebut.

Sebaik selepas itu Ameer menamatkan panggilan. Mariya akur dengan segala arahan Ameer untuk tidak keluar dari rumah tersebut. Dia menutup semula pintu hadapan dan membawa bakul pakaian yang mahu dijemur ke belakang rumah.

Mariya melakukan segala arahan Ameer kerana terpaksa. Baginya ini baru permulaan. Kalau Ameer terus dengan sikap yang cuba mengawal tingkah lakunya, tahulah nanti apa yang akan dia lakukan. Kepala geliganya sudah merancang sesuatu yang istimewa untuk lelaki itu.


Bersambung...

Saturday, February 16, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab10)


Bab10
SETELAH sang suria selamat berlabuh memberi laluan kepada sang purnama menjalankan kewajibannya menemani malam. Begitu jualah putaran kehidupan Ameer yang hanya akan pulang ke rumah selepas kegelapan mewarnai muka bumi.

Seperti biasa dia melalui laluan yang sama untuk kembali ke rumahnya. Namun begitu ketika dia hampir sampai di perkarangan rumahnya sesuatu yang tidak terduga dilihatnya. Dia nampak sekumpulan biawak berkepala hitam sedang mengganggu seorang gadis di hadapan rumahnya. Ada tiga orang samseng sedang cuba mengusik seorang gadis. Ini tidak boleh dibiarkan. Sebagai lelaki, Ameer mesti lakukan sesuatu. Sebaik memakir keretanya di tepi jalan dia keluar mendapatkan mereka.

“Woi, lepaskan dia!”

Salah seorang samseng yang sedang mencengkam pergelangan tangan gadis tersebut segera meleraikan cengkamannya. Semua memandang ke arah Ameer yang baru muncul.

“Jangan nak tunjuk samseng di kawasan rumah aku. Berambus sekarang!”

Salah seorang samseng tersebut nampak tidak puas hati dan cuba hendak membelasah Ameer namun segera dihalang oleh teman-temannya.

“Berambuslah! Nak tunggu aku panggil polis ke?” bentak Ameer. Sengaja perkataan polis ditekan untuk menakutkan samseng-samseng tersebut.

Sebentar kemudian ketiga-tiga orang samseng tersebut berlalu pergi. Ameer berasa lega kerana tidak sampai perlu bertumbuk dengan mereka semua. Dia kembali mendapatkan gadis tadi.

“Mariya, awak tak apa-apa?”

Mariya yang tertunduk sambil memeluk tubuh itu hanya menggeleng perlahan. “Terima kasih, Ameer.”

Ameer lihat riak wajah Mariya yang nampak ketakutan akibat gangguan samseng-samseng tadi. “Jangan takut. Mereka pasti hanya budak-budak nakal sahaja. Mereka takkan berani ganggu awak lagi.”

Mariya hanya diam membeku. Wajah Ameer hanya dikerling dengan ekor matanya sahaja. Dari sorotan mata itu Ameer dapat lihat Mariya yang sedang menyembunyikan ketakutannya.

“Berapa lama awak dah tunggu saya di sini?”

Mariya tetap membisu. Sama seperti sikapnya yang dikenali Ameer sewaktu mula-mula dahulu.

“Saya minta maaf. Kalau saya tahu awak nak datang saya takkan pulang lewat.”

Mariya sekadar melontarkan sebuah kerlingan yang menyebabkan Ameer rasa serba salah kerana tidak mengerti situasi sebenar yang dihadapi Mariya.

“Tak mengapalah. Kita masuk dahulu. Di luar ni sejuk.”

Tanpa sebarang bantahan Mariya mengekori langkah Ameer untuk masuk ke dalam rumah. Mariya duduk di sofa di ruang tamu bersama Ameer. Kali ini Ameer tidak lagi sibuk-sibuk menyediakan minuman untuknya sebagai tetamu. Dia terus duduk di sofa tunggal berbentuk separa sfera dan menghadap Mariya untuk mendengar kisah gadis itu.

“Kenapa awak datang ke sini lagi?” Ameer tidak pernah jemu bertanya biarpun gadis di hadapannya itu berat mulut hendak bersuara.

“Saya dah cakap saya boleh selesaikan masalah saya sendiri. Kenapa awak masuk campur semalam?” Akhirnya Mariya bersuara.

Ameer menyandarkan tubuhnya di sofa. Terluah secebis senyuman yang berunsur sinis sambil merenung gadis ayu yang berblaus biru hari ini. Rupanya perempuan ini ada pakaian lain selain warna putih.

“Jadi awak datang ni sebab nak pulangkan duit saya ya?” Ameer sengaja mahu melihat apakah sebenarnya niat kemunculan Mariya kali ini.

Mariya nampak tenang-tenang sahaja berhadapan dengan Ameer. Dia tidak terus menjawab soalan Ameer.
“Ataupun awak nak rantai awak yang dah jatuh ke tangan saya semula tu?” Rantai emas berloket anak kunci itulah punca Mariya mencarinya. Dia tahu apa yang sedang bermain di benak Mariya.

Serta merta Mariya mengangkat kepalanya. Matanya tepat memanah anak mata Ameer yang sentiasa memerhatikannya sejak tadi. Perlahan-lahan dia mengangguk membenarkan sangkaan pemuda tersebut.

“Dah agak dah.” Ada tawa kecil bersulam di hujung bicaranya.

“Boleh awak pulangkan rantai saya semula?” Wajah Mariya penuh harapan berharap Ameer memulangkan kembali rantai emas yang digadaikannya kepada pengurus hotel semalam.

Ameer menggeleng. Dia tidak begitu mudah akan memberikan rantai tersebut kepada Mariya setelah Mariya dengan mudah menggadaikannya semalam. Baginya Mariya tidak patut berbuat begitu jika benar-benar menyayangi harta tersebut.

“Tolonglah, Ameer. Rantai itu sangat berharga buat saya.”

“Jadi apakata awak bayar dahulu yuran hotel yang saya tolong langsaikan untuk awak semalam. Saya akan kembalikan rantai awak selepas itu.” Ameer sekadar mahu melihat sejauh mana tindakan Mariya. Dia tidak akan semudah itu mahu memberikan pertolongan apatah lagi dengan orang yang tidak pernah dikenalinya seperti Mariya. Dia bukan badan kebajikan yang begitu murah hati membantu orang.

“Ameer, kalau saya ada duit saya takkan sampai sanggup gadaikan rantai saya untuk bayar yuran penginapan hotel.”

Betul juga. Namun Ameer tidak mudah berpuas hati lalu soalan seterusnya diajukan. “Macam mana awak tahu saya tolong awak tebus semula rantai itu semalam?”

“Sebab saya berjumpa semula dengan pengurus hotel tersebut. Saya janji dengan dia untuk ambil semula rantai tu bila saya sudah ada wang. Dia yang beritahu tentang apa yang awak buat untuk saya.”

Jawapan logik yang boleh diterima. Lagipun Ameer tidak berjanji apa-apa dengan pengurus hotel berkenaan supaya merahsiakan tindakannya semalam.

“Awak tahu berapa jumlah yang saya tolong awak bayar semalam?”

“RM500.00 sahaja.”

“Walaupun nilai RM500.00 tu bukanlah besar sangat, saya ikhlas bantu awak. Tapi tak seronoklah kalau senang-senang sahaja awak boleh dapat semula rantai kesayangan awak tu selepas awak sanggup gadaikannya. Saya takkan beri pada awak dengan mudah.” Ameer seperti mahu terus bermain dengan Mariya. Dia mahu lihat sejauh mana kesungguhan gadis itu mahu mendapatkan semula rantainya.

“Awak nak saya buat apa? Saya sanggup, Ameer. Kalau terpaksa jadi hamba pun saya rela asalkan awak kembalikan semula rantai saya.”

Ameer diam sejenak sambil memerhatikan raut wajah Mariya yang sungguh-sungguh dengan harapannya.

“Kenapa awak beriya-iya sangat mahukan rantai itu semula? Adakah ia hadiah dari seseorang yang awak kasihi?” Dia mula tertarik dengan kisah sebenar disebalik rantai emas milik Mariya itu.

“Rantai itu kekuatan saya. Saya tiada apa-apa lagi di dunia ini melainkan rantai tersebut. Banyak kenangan disebalik rantai itu. Rantai itu tanda cinta ibu pada saya. Saya akan menyesal seumur hidup jika kehilangan rantai itu.” Mata Mariya mula berkaca-kaca. Sendunya cuba ditahan. Menyebut tentang ibunya menyebabkannya berasa sebak. Dia sangat merindui wanita itu. Sudah lebih sepuluh tahun Mariya hidup tanpa pelukan ibu yang suatu masa dahulu sentiasa melindunginya.

“Ameer, saya mahukan semula rantai tu. Saya sanggup buat apa sahaja untuk awak jika awak sudi kembalikan semula rantai saya.”

“Betul?”

Mariya mengangguk bertalu-talu.

“Jadi hamba pun awak sanggup?”

Mariya mengangguk lagi. Ameer mengelus-ngelus dagu sambil memikirkan sesuatu. Bibirnya melakar senyuman tanpa sedar. Suatu idea yang menarik terlintas di buah fikirannya yang bergeliga.

“Baiklah, Mariya… awak jadi orang gaji saya selama sebulan.” Ameer meraba sesuatu di batang lehernya. Loket anak kunci yang tergantung di rantai emas milik Mariya dikeluarkan dari kolar baju Ameer. “Selepas tempoh sebulan barulah rantai ini menjadi milik awak semula.”

Dahi Mariya berkerut melihat rantainya di leher Ameer. Hatinya rasa marah secara tiba-tiba. Dia tidak suka dengan tindakan Ameer memakai rantainya.

“Ameer, awak pakai rantai saya lagi?” soalan Mariya bernada marah.

“Saya tolong jaga rantai awak yang mahal ni. Itu pun nak marah?” Ameer bersikap selamba tanpa rasa bersalah kepada pemilik rantai yang dipakainya itu. “Jarang nampak perempuan cina memakai perhiasan emas. Mana awak dapat rantai ini sebenarnya?” Sinis bahasa Ameer singgah ke telinga Mariya.

Ameer menanggalkan rantai tersebut lalu dibelek-beleknya. Dia tertarik dengan loket anak kunci yang berwarna perak pada rantai tersebut. Lama dia merenung loket tersebut seakan-akan ada suatu memori pernah tersimpan dalam loket tersebut.

“Kenapa?” Mariya pelik melihat kelakuan Ameer. Mata Ameer bagai menjelaskan sesuatu yang sukar untuk diluahkan dengan mulut.

“Tak ada apa-apa. Cuma saya rasa macam pernah nampak anak kunci seperti ini dahulu.”

“Awak ada anak kunci yang sama?”

Ameer jungkit bahu. Malas hendak mengingati sesuatu yang bersifat remeh. Sejurus kemudian dia bangkit dari sofa. Rantai Mariya kembali dikalungkan ke lehernya dan dimasukkan ke dalam kolar baju kemejanya. Mariya mengetap bibir memerhatikan tingkah laku Ameer. Sedikit sebanyak terkesan juga kata-kata pemuda itu di tangkai hatinya. Sebagai perempuan dia bersifat sensetif.

“Kalau tak ada apa-apa lagi awak boleh balik sekarang. Awak akan mula bekerja esok pagi,” ujar Ameer seraya berjalan menuju ke dapur.

Mariya masih memerhatikan langkah Ameer.

“Ameer…”

Ameer sekadar menoleh dari ruang dapur.

“Dalam tempoh sebulan, dimana saya akan tinggal?” tanya Mariya.

“Kenapa awak tanya saya soalan tu?” Dahi Ameer berkerut. Sesuatu dapat ditangkapnya dari lenggok suara Mariya mengutarakan soalan. “Jangan kata awak bercadang nak tinggal bersama saya di rumah ni.”

Mariya sengeh sambil mengangguk. Ameer melongo. Kepala digeleng bertalu-talu. Kerja gila namanya jika membenarkan Mariya tinggal di rumahnya.

“Saya tiada tempat tinggal. Awak patut faham dengan situasi saya, Ameer.”

Ameer menghantukkan kepalanya di peti sejuk. Perlahan tetapi berulang kali. “Ini kerja gila. Apa yang harus aku buat?” gumamnya seorang diri di hadapan pintu peti sejuk. Sesekali ekor matanya mengerling Mariya di ruang tamu. Gadis itu tersenyum manis ke arahnya dengan segunung harapan yang digalas. Ameer serba salah.

“Awak… boleh tinggal di bilik yang awak tidur tempohari.” Akhirnya itulah ayat yang terkeluar dari mulut Ameer.

Senyuman Mariya lebar memekar. Bagaikan bunga matahari yang tersenyum ceria di waktu pagi. “Terima kasih, Ameer.”

“Awak boleh naik ke bilik awak sekarang. Saya beri masa setengah jam untuk awak bersihkan diri dan guna bilik air,” arah Ameer.

“Terima kasih sekali lagi, Ameer.” Mariya begitu girang bangkit dari sofa dan berlari anak menuju ke anak tangga untuk mendaki ke tingkat atas. Sempat dia menjinjit beg kecilnya yang berisi barang peribadinya.

“Mariya!” langkah kaki Mariya terhenti di tengah anak tangga apabila dipanggil Ameer semula. “Jangan lupa kunci pintu bilik nanti.” Mariya mengangguk sebelum meluru pantas ke tingkat atas.

Ameer memicit-micit dahi. Pintu peti sejuk dibuka. Pandangannya kosong memerhati isi perut peti sejuk tersebut. “Apa yang aku dah buat ni? Benarkan dia tinggal di sini memang satu kerja gila… tapi ia bukan lagi kerja gila selagi aku boleh kawal keadaan.” Secebis senyuman menjadi penutup kegusaran hatinya. Botol air mineral 500ml dicapai dan isinya diteguk. Sejurus kemudian dia menyelongkar sesuatu dari laci di meja konsol berhampiran ruang tamu. Mula merancang sesuatu.

**********

SELEPAS selesai membersihkan tubuh Mariya masuk ke biliknya. Seperti yang dipesan oleh Ameer, dia mengunci pintu bilik sebaik masuk. Selesai mengeringkan rambut dia merebahkan tubuh di atas katil empuk bersaiz queen. Cadarnya berwarna kuning telur dengan corak yang ringkas di bahagian kaki katil. Mariya berguling beberapa kali di atas katil tersebut. Hatinya sungguh girang kerana matlamatnya untuk mendampingi Ameer telah berhasil.

“Ameer Asytar… kau telah berada dalam genggaman aku sekarang.” Senyuman Mariya meleret puas. Sifat lemah yang ditonjolkannya di hadapan Ameer telah berhasil untuk memancing simpati dari pemuda tersebut. Tidak sia-sia Hakimi banyak bercerita tentang Ameer kepadanya selama ini. Dia tidak perlu menyiasat terlalu banyak memandangkan dia dapat membaca sedikit sebanyak sikap Ameer.

“Ameer tu tak boleh nampak orang dalam kesusahan. Lagi-lagi orang tua dan wanita. Kucing mati kena langgar kat tepi jalan pun mampu membuatkan Ameer berhenti memandu,” cerita Hakimi suatu masa dahulu kepada Mariya.

“Dia berhenti buat apa?” tanya Mariya.

“Tengok keadaan kucing tu. Kalau mampu dia cuba selamatkan kucing tu.”

Seriously?” Mata Mariya bulat terkejut.

Hakimi senyum. “Awak ingat kucing saya, Casper yang dah hilang tu?” Mariya mengangguk. “Ameer lah yang selamatkan kucing itu dahulu. Kalau awak nak tahu siang malam Ameer jaga Casper masa kucing tu cedera akibat kena langgar lari. Lepas tu Ameer beri kucing tu pada saya sebagai hadiah. Tapi malangnya kucing tu dah hilang sekarang.”

Mariya tersenyum simpul mengenang kembali kisah Ameer yang pernah diceritakan oleh Hakimi kepadanya. Mindanya mula mengatur strategi. Perkara pertama yang perlu dia lakukan ialah merampas semula rantainya yang berada dalam genggaman Ameer. Kemudian barulah dia akan fikirkan samada wajar atau tidak hayat lelaki itu ditamatkan. Dia bencikan pesaing seperti Ameer tapi dia tidak boleh bertindak secara melulu selagi tidak cukup bukti.

Tiba-tiba dia diganggu oleh satu panggilan. Telefon selular di atas katil dicapai lantas menjawab panggilan yang baru masuk. “Hello… bagus kerja kau orang malam ini. Esok aku akan bayar baki upahnya ya… jangan muncul lagi terutama di hadapan Ameer selepas ini.”

Talian diputuskan sebentar kemudian. Senyuman kepuasan meleret indah meraikan kejayaan kecilnya. Malam ini adalah permulaan sebelum rancangan besar akan diatur esok.

Bersambung...


Tuesday, February 12, 2013

Aku Bukan Malaikat (Bab9)


Bab9
RUMAH ORANG TUA SERI KENANGAN…

Dari sebuah bilik tetamu Hakimi merenung ke luar tingkap dan menjenguk seseorang dari situ. Kelihatan seorang lelaki tua bertongkat sedang berjalan perlahan-lahan di ruang koridor bersama seorang lagi penghuni tempat tersebut. Mereka kelihatan sedang berbual-bual sambil menuju ke dewan makan yang tidak jauh dari situ. Ada seorang petugas yang baik hati sedang memimpin tangan lelaki tua yang bertongkat itu. Dia seorang gadis yang baik dan sentiasa tersenyum kepada semua orang. Hakimi terus memandang kelibat mereka sehingga mereka masuk ke dalam dewan makan.

“Encik Hakimi…” tiba-tiba Hakimi ditegur seseorang.

Hakimi menoleh kepada seorang lelaki berkaca mata berusia dalam lingkungan 40-an di belakangnya. Lelaki itu bernama Fairuz. Dia adalah pengurus pusat penjagaan orang-orang tua tersebut. Setiap kali berkunjung ke tempat ini, Fairuzlah yang setia melayannya. Fairuz juga bagaikan perantaranya untuk mengetahui khabar datuknya, iaitu lelaki tua bertongkat yang dipimpin oleh petugas wanita tadi.

“Tak guna selalu datang tapi tak pergi berjumpa datuk awak tu.” Kata-kata En. Fairuz berbau sindiran tapi sebenarnya dia simpati dengan Hakimi yang bagaikan menagih kasih Tok Aki selama ini. Namun En. Fairuz bangga dengan sikap Hakimi yang tetap bertanggungjawab terhadap datuknya biarpun layanan lelaki tua itu sentiasa dingin terhadapnya.

“Cukuplah dapat mengetahui keadaannya yang terurus dibawah jagaan awak. Dia lebih bahagia jika tidak melihat saya, En. Fairuz.” Hakimi sekadar tersenyum tawar sebelum kembali mengintai ke luar tingkap.

“Sejak kebelakangan ini saya lihat En. Hakimi kerap ke sini.” En. Fairuz masih di belakang Hakimi. Melihat sahaja gelagat Hakimi yang khusyuk merenung ke luar.

“Walaupun dia tak pernah menerima saya sebagai darah dagingnya, saya tetap sayangkan dia. Selagi ada waktu tentulah saya mahu meluangkan masa untuk datuk saya.”

“Bagaimana kalau sebenarnya dia mengharapkan awak menemuinya?” En. Fairuz cuba mewujudkan suatu kemungkinan.

Hakimi mengilas pandangan ke arah En. Fairuz semula. “Itu tak mungkin, En. Fairuz. Selagi fikirannya waras sampai mati dia akan membenci saya,” jawab Hakimi dengan yakin. Sudah bertahun-tahun dia cuba berbaik dengan Tok Aki malangnya datuknya itu langsung tidak memandang keikhlasan hatinya.

En. Fairuz tersenyum tawar mendengarkan jawapan Hakimi. Perlahan-lahan dia berpaling ke luar tingkap. Memerhatikan penghuni pusat penjagaan orang tua di bawah kendaliannya itu. Matanya tertumpu mencari kelibat Tok Aki yang merupakan datuk Hakimi itu. Kelihatan lelaki tua itu sedang menikmati makan tengah hari yang disuapkan oleh petugas wanita yang memimpinnya ke dewan makan tadi.

Kedengaran keluhan yang memberat dari dengusan nafas En. Fairuz sebaik memerhatikan lelaki tua yang malang itu. Sekilas dia kembali menoleh kepada Hakimi yang masih mengawasi datuknya. Seolah-olah ada riak pengharapan di wajah pemuda itu.

Sejak menerima Tok Aki sebagai penghuni di pusat jagaan itu dia mula mengenali siapa Hakimi. Hakimilah yang mengatur supaya Tok Aki ditempatkan di pusat jagaan tersebut apabila lelaki tua itu semakin uzur dan tiada siapa yang boleh menjaganya. Tok Aki yang keras kepala itu hidup bersendirian setelah kematian isterinya. Dia ada seorang anak perempuan iaitu Ibu Hakimi. Namun suatu peristiwa telah menyebabkannya memutuskan hubungannya dengan anak perempuannya. Ia berpunca apabila anak perempuannya itu berkahwin dengan seorang lelaki yang bukan pilihannya malah anak kepada musuhnya sendiri.

Ibu bapa Hakimi tetap berkahwin atas dasar cinta biarpun terpaksa mengenepikan keluarga. Namun keluarga di sebelah pihak Bapa Hakimi bersikap lebih terbuka dan kembali menerima anak mereka setelah kelahiran Hakimi namun sebaliknya Tok Aki tetap tidak memaafkan anaknya sehingga sekarang. Baginya perbuatan Ibu Hakimi telah menconteng arang ke mukanya kerana berkahwin dengan anak musuhnya. Musuh itu sebenarnya pernah menjadi sahabatnya dalam perniagaan suatu ketika dahulu. Namun sifat tamak dalam memperolehi kekayaan menyebabkan mereka saling mengkhianat. Dari hubungan akrab sebagai sahabat ianya telah berubah menjadi permusuhan sepanjang hayat. Yang menjadi mangsa akhirnya ialah Hakimi.

Pemuda itu ada kehidupan yang sempurna. Malah harta peninggalan keluarganya jauh lebih mencukupi untuk dirinya sendiri. Hakimi tidak pernah berkongsi kerana dia ialah anak tunggal. Namun dia berasa sunyi kerana hidup sebagai anak tunggal. Dia tiada sesiapa selepas kedua ibu bapanya meninggal dunia akibat sebuah tragedi kemalangan dahulu. Hidupnya hanya ditemani kesunyian sejak peristiwa itu. Ternyata harta yang banyak bukan menjamin kebahagiaan yang hakiki.

Dia mencari Tok Aki untuk menumpang kasih malangnya dirinya tidak diterima sebagai darah daging oleh Tok Aki yang keras hati dan degil untuk memaafkan orang. Bermacam cara Hakimi lakukan untuk melembutkan hati Tok Aki namun hati orang tua itu terlalu keras, lebih keras dari batu berlian. Sehingga suatu hari Tok Aki jatuh sakit dan tiada sesiapa lagi di sisi untuk menjaganya. Hakimi mengambil langkah dengan menjaga Tok Aki sehingga sembuh. Dia berharap dengan tindakannya itu akan melembutkan hati Tok Aki seterusnya menerimanya sebagai cucu.

Namun kedegilan Tok Aki rupanya diluar jangkaan Hakimi. Pintu hati lelaki itu tetap tidak menerima Hakimi sebagai cucunya. Hakimi agak terkilan namun dia tetap bersabar. Hanya Tok Aki seorang keluarga yang dia ada maka rasa tanggungjawab tertumpah sepenuhnya kepada lelaki itu biarpun tahu dirinya tidak pernah disayangi oleh Tok Aki.

Melihat keadaan Tok Aki yang semakin tak terurus disebabkan kudratnya yang semakin uzur, Hakimi telah mengaturkannya untuk ditempatkan di pusat penjagaan ini. Sehingga sekarang Hakimi sentiasa mengambil tahu perkembangan datuknya melalui En. Fairuz. Sesekali dia melawat Tok Aki tetapi hanya dari jauh tanpa bertemu dengan lelaki itu. Hakimi tidak mahu Tok Aki marah apabila melihat dirinya. Biarlah Tok Aki gembira dengan kehidupannya sekarang bersama sahabat-sahabat barunya di pusat jagaan orang-orang tua itu.

“En. Hakimi, sebenarnya ingatan Tok Aki sudah semakin merosot sejak kebelakangan ini. Saya ada bawa dia berjumpa dengan doktor. Walaupun doktor belum mengesahkannya sebagai pengidap Alzheimer tetapi mungkin dia sudah nyanyuk.”

“Maksudnya dia sudah mula lupa?”

“Ya… dan mungkin ini satu peluang untuk awak kembali mendekatinya.” Kata-kata En. Fairuz berbentuk cadangan.

Hakimi diam. Air wajahnya jelas terkesan dengan kenyataan En. Fairuz sebentar tadi.

“Saya minta maaf. Saya tak berniat nak menyinggung hati awak tapi saya fikir awak boleh ambil kesempatan dengan penyakitnya sekarang. Cubalah dekatinya perlahan-lahan. Insya-Allah… dia akan terima awak.” En. Fairuz hanya berniat baik demi hubungan Tok Aki dan Hakimi.

“Walaupun bukan sebagai cucu?” kerlingan Hakimi penuh makna menatap En. Fairuz. “Saya redha kalau hanya dengan cara itu sahaja mampu membuatkannya menerima saya.”

En. Fairuz tersenyum lega apabila Hakimi menerima cadangannya dengan hati terbuka.

“Terima kasih kerana jagakan dia bagi pihak saya selama ini, En. Fairuz.” Hakimi mengatur langkah untuk berlalu dari situ. “Saya nak minta diri dahulu.” Hakimi mengatur langkah untuk beredar dari situ.

“En. Hakimi nak pulang terus ke Ipoh?” tanya En. Fairuz.

“Tak juga…” Hakimi berhenti dan kembali menoleh kepada En. Fairuz. “Saya nak singgah ke suatu tempat sebelum pulang ke Ipoh.”

“Oh, begitu.” En. Fairuz mengangguk.

“Jadi saya minta diri dahulu. Assalamualaikum.” Hakimi kembali meneruskan langkah untuk keluar dari tempat tersebut.

Waalaikumussalam…” En. Fairuz merenung kelibatnya sehingga hilang. Ada rasa simpati di tangkai hatinya terhadap Hakimi. Dalam diam dia berdoa agar Hakimi berjaya bersatu semula dengan datuknya.

Bersambung...


Thursday, February 7, 2013

Aku Bukan Malaikat (BAB8)


Bab8
MARIYA sudah nekad. Walau dengan apa cara sekali pun dia mesti mendekati Ameer. Jika Hakimi masih berkeras mahu menghalang pun dia tidak peduli. Hati Mariya sudah hancur. Dia benar-benar terluka dengan sikap Hakimi. Walaupun Hakimi tidak berterus terang tapi dia dapat mengagak kenapa Hakimi memutuskan hubungan mereka. Tentang siapa Ameer dalam hidup Hakimi, dia yakin Ameer bukan sekadar sahabat Hakimi. Hakimi tidak akan sungguh-sungguh mempertahankan Ameer jika dia hanya sekadar sahabat.

Hakikat ini sangat pedih untuk diterima Mariya. Tiada siapa sanggup menerima lelaki yang dicintai telah berlaku curang di belakangnya. Apatah lagi curangnya dengan seorang lelaki lain. Mariya berasa sungguh terhina bila mengetahui kekasihnya menjalinkan hubungan songsang. Lebih hina lagi apabila Hakimi sanggup mengenepikan dirinya semata-mata kerana Ameer!

Kelibat Ameer yang sedang berbual dengan seorang wanita di luar perkarangan bangunan Galaxie TV dikesan Mariya sebaik kembali ke situ. Wanita anggun yang nampak mesra dilayan Ameer itu akhirnya meninggalkan Ameer apabila sebuah kereta datang menjemputnya.

Mariya segera bertindak. Langkahnya panjang pergi ke arah Ameer yang masih berdiri terpacak memerhatikan kelibat kereta yang membawa wanita tadi pergi. Mariya segera mengambil peluang itu. Dia berlari-lari anak sementara Ameer masih berada di situ. Namun tiba-tiba langkah kaki Mariya mati akibat satu panggilan yang telah mengganggunya. Melihat nombor yang tertera di skrin telefon selularnya Mariya berasa curiga. Wajahnya serta merta berubah tegang. Mahu atau tidak dia terpaksa menjawab panggilan yang datangnya dari hotel tempatnya menginap.

“Hello…” Mariya menyapa acuh tidak acuh. Tatkala mendengar suara di sebelah sana menyampaikan hajat menelefonnya, Mariya jadi gusar. Berkali-kali dia cuba menjelaskan keadaan sehingga akhirnya dia tiada pilihan lain selain kembali ke hotel untuk menyelesaikan segala salah faham. Niatnya terhadap Ameer terpaksa dilupuskan seketika akibat gangguan tersebut.

*************

SEBAIK kelibat kereta mewah yang membawa Datin Wan Zarina lenyap dari pandangan matanya barulah Ameer memusingkan tubuh untuk beredar dari perkarangan bangunan Galaxie TV. Wajahnya tersenyum ceria petang itu. Dia sangat gembira dengan tawaran yang baru diterimanya hari ini. Menjadi pengacara sebuah rancangan realiti. Itu adalah satu peluang besar baginya untuk melebarkan sayap agar kerjayanya terus berkembang.

Ada sesuatu yang menarik perhatiannya ketika dia berpusing untuk kembali masuk ke ruang lobi. Matanya tertangkap kelibat seorang gadis berambut panjang yang sedang berjalan menuju ke arah jalan raya. Ameer cam dengan susuk tubuh itu biarpun hanya beberapa kali memandangnya. Gadis itu dilihat berjalan pantas bagai ada sesuatu yang sedang dikejarnya. Ameer pantas mengatur langkah pergi mendapatkannya.

“Mariya!” jeritnya apabila nampak kelibat gadis tersebut sedang menahan sebuah teksi.

Mariya tidak mendengar panggilan Ameer. Setelah teksi yang ditahannya berhenti dia segera masuk ke dalam perut teksi tersebut. Ameer kelam kabut menuju ke parkir kereta dan mendapatkan keretanya. Dia perlu pantas sebelum kelibat teksi yang membawa Mariya lesap.

Keadaan jalan raya agak sesak pada jam 5.00 petang itu. Ameer bertungkus lumus mengekori kenderaan berwarna merah putih itu. Takut juga dia jika tersilap pandang kerana bukan sebiji dua kenderaan awan tersebut yang ada di jalan raya dalam waktu begini. Mujur Ameer cekap memandu maka dia berjaya mengekori Mariya sehingga teksi tersebut berhenti ke destinasinya. Ameer nampak Mariya tergesa-gesa menuju ke sebuah hotel. Dia dapat mengagak yang mariya menginap di hotel berkenaan. Ameer segera memakirkan keretanya sebelum kembali menjejaki Mariya di hotel tersebut.

Ketika dia masuk ke perkarangan lobi hotel tersebut Ameer nampak Mariya yang sedang bertekak dengan seorang pengurus hotel. Ameer tidak faham dengan perbualan tersebut kerana Mariya bertutur dalam bahasa mandarin dengan pengurus hotel yang berbangsa cina itu. Oleh sebab itu dia tidak terus menyampuk sebaliknya hanya diam di satu penjuru sambil cuba memahami permasalahan yang timbul diantara kedua-dua pihak.

“Awak semua ni sangat melampau!” Mariya menengking dalam bahasa melayu setelah rayuannya tidak berhasil.

“Mariya…” Suara Ameer yang muncul secara tiba-tiba menarik perhatian mereka semua. Tiga pasang mata serentak memerhati langkah Ameer yang sedang menghampiri mereka.

“Ameer?” Mariya nampak terpinga-pinga kerana tidak menyangka lelaki yang diburunya itu muncul di hadapannya. Siapa yang menjejaki siapa sebenarnya kini?

Ameer sekadar melemparkan senyumannya kepada Mariya sebelum bertentang mata dengan pengurus hotel bersama salah seorang petugas di kaunter pertanyaan itu. Raut wajah kedua-dua pekerja hotel tersebut berkerut kebingungan apabila melihat Ameer. Barangkali merasakan yang mereka mengenali lelaki tersebut tetapi masih tidak berapa pasti.

“Apa yang berlaku?” tanya Ameer kepada Mariya.

“Ini masalah saya. Saya boleh selesaikan sendiri.” Mariya sengaja tidak mahu Ameer masuk campur. Dia sangat marah dengan tindakan pengurus hotel tersebut yang mahu menghalaunya kerana tidak menjelaskan bayaran penginapan selama beberapa hari di hotel tersebut. Dia tidak akan semudah itu mahu membayar setelah menerima layanan buruk selaku pelanggan di situ.

“Mungkin saya tidak faham apa yang awak tuturkan dengan mereka tadi tapi saya dapat baca masalah yang sedang menimpa awak, Mariya.” Ameer masih lagi mahu meneruskan niat baiknya kerana dia tahu sejak dari awal lagi Mariya seperti dalam kesusahan.

“Ameer…” Mariya tahu Ameer berniat baik. Mariya juga tahu yang dia pasti akan meminta bantuan Ameer juga akhirnya nanti kerana dia memang sedang mengalami masalah kewangan sehingga menyebabkannya mencipta berbagai alasan untuk tidak mahu membayar penginapan di hotel ini.

  “Ikut saya sekejap.” Sejurus kemudian Mariya menarik Ameer ke satu sudut menjauhi petugas hotel bertaraf tiga bintang tersebut. “Saya nak barang saya balik.” Mariya menghulurkan tangannya. Dia tahu Ameer pasti tahu apa yang dimahukannya.

Ameer memandang raut wajah bujur Mariya yang kelihatan serius itu. Mata Mariya langsung tidak berganjak dari memerhatikan poket pakaian Ameer. Nampaknya gadis itu benar-benar mahukan semula barangnya yang tercicir di rumah Ameer.

“Saya minta maaf. Semalam saya halau awak tanpa usul periksa.” Ameer menanggalkan sesuatu dari lehernya. Rupanya rantai tersebut bukan disimpan dimana-mana poket seperti sangkaan awal Mariya tadi.
“Awak pakai rantai saya?” Mariya membulatkan matanya memandang Ameer. Dia nampak marah dengan tindakan Ameer.

“Sebab saya takut tercicir. Lagipun saya tak tahu nak cari awak dimana untuk pulangkan rantai ni. Kalau ia sentiasa melekat di tubuh saya senanglah nak pulangkan bila terjumpa awak secara tak sengaja. Macam sekarang ni.” Ameer senyum menampakkan barisan gigi putihnya. Dia tahu Mariya marah tetapi dia ada alasan yang kukuh.

Mariya memeriksa rantai emas berloket anak kunci itu. Ia masih lagi dalam keadaan baik. Tiada sebarang perubahan. Dia menggenggam rantai tersebut lantas didakapnya ke dada sebelum mengucupnya. Dia sangat gembira apabila rantai tersebut kembali ke tangannya semula.

“Terima kasih, Ameer.” Mariya bergegas menuju ke arah petugas hotel tadi semula.

Ameer sekadar memerhatikannya. Setiap gerak geri Mariya terus menjadi santapan matanya namun dia tidak sesekali masuk campur urusan Mariya dengan pengurus hotel tersebut. Apa yang dapat dilihatnya Mariya menjelaskan sesuatu pada pengurus hotel itu dalam bahasa yang tidak difahami oleh Ameer.  Kemudian dia nampak Mariya menyerahkan rantai emas yang dipulangkannya tadi kepada pengurus hotel. Pengurus hotel tersebut cuba menolak tetapi Mariya sungguh-sungguh mahu memberikannya kepada pihak hotel. Akhirnya pengurus hotel itu menerimanya. Mariya dilepaskan pergi.

Wajah Ameer berkerut-kerut cuba memahami situasi tersebut. Mariya dilihatnya sudah beredar menuju ke lif. Ameer mengambil kesempatan itu untuk menghampiri pengurus hotel terbabit dan bertanyakan situasi yang sebenarnya yang telah berlaku.

“Itu amoi tak boleh bayar hotel tapi mahu tinggal di sini. Kami terpaksa mahu halau dia maa. Dia sudah rayu-rayu… tapi saya tak boleh buat apa-apa. Saya pun cuma makan gaji maa.” Pengurus lelaki berbangsa cina itu menceritakan semula situasi Mariya dalam pelat cinanya.

“Jadi rantai tadi…” Ameer dapat mengagak sesuatu.

“Saya banyak kasihan sama dia. Dia sangat terdesak jadi saya terima rantai emasnya sebagai bayaran penginapan.”

Ameer menganguk-ngangguk. Akhirnya dia faham situasi yang dihadapi Mariya. Sejenak dia berfikir dan akhirnya dia mengeluarkan dompetnya dari poket seluar.

“Pulangkan rantai emas tu pada saya dan saya akan bayar yuran penginapan perempuan tu.”

“Encik… betul ke ni?” gadis penyambut tetamu itu pula bersuara sambil berbalas pandangan dengan pengurus hotel.

“Betul.”

Akhirnya mereka bersetuju dengan permintaan Ameer. Rantai emas berloket anak kunci itu bertukar tangan sebaik Ameer melunaskan hutang Mariya dengan pihak hotel berkenaan. Selepas urusan pembayaran selesai Ameer beredar keluar dari hotel tersebut. Dia harap dengan sedikit bantuan tersebut dapat menyelesaikan sebahagian masalah Mariya. Sebagai manusia biasa dia sekadar melunaskan tanggungjawab kecil sesama insan.

Dari satu sudut di sebalik pintu lif ada sepasang mata sedang memerhatikan Ameer berlalu meninggalkan perkarangan hotel. Mariya tersenyum sinis. Dia nampak segala tindakan yang dilakukan oleh Ameer tadi. Sebahagian kecil muslihatnya sudah berjaya. Kini tiba masa untuknya pergi lebih dekat ke pangkuan lelaki itu. “Orang baik memang bagus kerana tidak pernah berasa curiga terhadap musuhnya. Terima kasih, Ameer kerana sekarang aku masih ada sebab untuk terus mendekati kau.” Mariya memuntahkan tawa bisunya sebelum masuk ke dalam lif yang baru sahaja terbuka pintunya. Dia sangat gembira dan tidak sabar untuk merencanakan rancangan yang seterusnya.

****************

AMEER memandang ke arah skrin telefon pintarnya apabila alat komunikasi tersebut memuntahkan suaranya tanda ada panggilan masuk. Ameer tersenyum sebaik melihat nama dan wajah yang terpampang di muka skrin. ‘My Lovely Pet.’ Ameer masuk ke dalam kereta sebelum menjawab panggilan.

Assalamualaikum,” Ameer memberi salam sebaik menjawab pangilan. Senyumannya meleret lebar memenuhi wajah kerana begitu gembira dengan panggilan dari ‘binatang kesayangannya’.

Si pemanggil tidak menjawab ucapan salam Ameer.

“Tak jawab salam berdosa tau… tapi abang tahu Nuha mesti dah jawab dalam hati.”

Si pemanggil tetap membisu sedangkan Ameer sudah mula berceloteh.

Pet kesayangan abang ni sihat tak? Jarang Nuha nak call abang. Ni mesti sebab tengah rindukan abang kan.”

Si pemanggil tetap tidak memberikan sebarang reaksi. Jika orang lain pasti sudah mematikan talian tetapi Ameer tetap sabar menanti gadis itu bersuara.

“Abang tahu Nuha takkan bercakap. Jadi cuba ketuk corong telefon tu supaya abang tahu Nuha yang buat panggilan ni.” Ameer begitu memahami sikap si pemanggil yang sukar dijinakkan.

Tap!

Ameer tersenyum mendengar tindak balas yang diberikan Nuha.

“Kalau Nuha rindukan abang cuba ketuk dua kali.”

Tap! Tap!

Senyuman Ameer bertambah mekar. Hati rasa berbunga-bunga apabila dirindui seseorang. Apatah lagi yang merinduinya itu ialah Nuha Sameera, adik bongsunya yang selalu dianggap seperti binatang kesayangannya itu.

Menganggap adik sendiri sebagai binatang kesayangan berbunyi agak keterlaluan tetapi Ameer ada imaginasinya tersendiri terhadap sifat adiknya yang unik. Sikap Nuha yang sukar dijinakkan umpama seekor kucing hitam yang penuh misteri tetapi ada daya tarikan yang kuat sehingga menyebabkan tuannya berusaha bermati-matian untuk memikat hatinya. Setelah berjaya dijinakkan, dia adalah kucing hitam yang paling setia dan jinak terhadap tuannya. Nuha ialah kucing hitam itu dan Ameerlah tuannya.

“Ketuk sekali kalau Nuha nak abang pulang jumpa Nuha.”

Tap!

“Abang bukan tak mahu pulang tapi abang sangat sibuk. Maafkan abang ya, dik.”

Senyap tanpa sebarang tindak balas. Ameer dapat merasakan binatang kesayangannya sedang merajuk.
“Ketuk sekali jika Nuha marah abang. Ketuk dua kali jika tidak.”

Tap! Tap!

Ameer kembali tersenyum.

“Abang janji bila abang dapat cuti nanti abang pulang jumpa Nuha, okey.”

“Nuha akan tuntut janji yang Abang Ameer buat.” Sebaik memuntahkan suara emasnya gadis tersebut terus memutuskan talian.

Ameer tidak sempat membalas kata-kata adiknya. Dia hanya mampu tersenyum dan menggeleng kepala mengenangkan perangai pelik adik bongsunya itu. Nuha Sameera bukannya bisu tetapi memang sikapnya tidak suka bercakap. Dia lebih banyak menggunakan bahasa tubuh dan memek wajah untuk berkomunikasi dengan orang. Sejujurnya Ameer belum seratus peratus berjaya menjinakkan sifat adiknya itu.

Bersambung....