Kawan2 yg saya Sayang

Sunday, February 6, 2011

Ai Without Love ::Bab11::

Tajuk : Merindui atau Dirindui?
Watak : Yna/Ryo/Vic/Rin
Genre : friendship n Romance
Lokasi : Kota Lisberg
Ringkasan : Suatu hubungan yang pernah terjalin erat mungkin tidak pernah terputus sebenarnya. Adakalanya kita cuba membuang perasaan sayang dan rindu. Namun ia tetap terbit kerana kita tidak pernah membuang memori orang-orang yang pernah kita sayangi biarpun orang-orang yang pernah kita sayangi itu telah menjadi orang-orang yang kita benci kini.





Bab11

SEPERTI yang dijanjikan petang itu Yna menuju ke rumah Ryo sebaik tamat waktu bekerja. Ryo telah bersetuju Yna tinggal di rumahnya demi rancangan seperti dalam kontrak percintaan mereka.
Sebaik tiba di rumah Ryo, Yna terpaksa menunggu lelaki itu di luar rumah memandangkan Ryo belum pulang. Melihat jam di pergelangan tangan waktu sudah menunjukkan tepat jam 6.00 petang. Mahu atau tidak Yna terpaksa menunggu Ryo untuk seketika. Harap-harap lelaki itu akan pulang sebentar lagi.
Selepas lima belas minit batang hidung Ryo masih tidak muncul. Yna menyeluk poket skirt denimnya lantas mengeluarkan telefon selularnya. Dia menghubungi Ryo. Beberapa kali dia cuba menghubungi lelaki itu namun gagal. Taliannya selalu sibuk. Jika dapat ditembusi pun panggilan tetap tidak berjawab. Ini membuatkan Yna marah.
“Selalu macam ni. Asyik sibuk, sibuk, sibuk saja. Erghh~~” Yna membebel sendirian memarahi orang yang tiada di hadapan mata.

*********

AYA yang sedang menemani Ryo membuat rakaman lagu di studio nampak sibuk melayani panggilan yang silih berganti menembusi taliannya. Sekejap bercakap dengan wartawan di sana. Sekejap bersama wartawan di sini. Sekejap dengan producer itu yang mahukan Ryo berlakon dalam drama barunya. Sekejap dengan pengarah ini yang asyik berleter dengan Aya kerana tidak mengurus jadual kerja Ryo dengan seimbang antara nyanyian dan lakonan. Oleh kerana tidak mahu tertekan dengan kerjanya Aya memilih untuk membiarkan kata-kata sebegitu masuk telinga kanan dan keluar melalui telinga kiri. Mengurus artis popular seperti Ryo memang terpaksa melalui semua itu. Kesibukan adalah lumrah kerjanya.
Telefon bimbit Ryo di meja kopi di hadapan Aya sudah acap kali berbunyi namun semua panggilan tersebut tidak sempat disambut oleh wanita itu akibat kesibukannya sendiri melayan panggilannya. Sesekali dia menjeling Ryo di dalam studio yang sedang berbincang sesuatu dengan komposer dan pengarah muzik.

Ryo kembali mendapatkan Aya selepas rakamannya pada petang itu tamat. Sebelum meneguk air mineral yang dihulurkan oleh pengurusnya dia mencapai telefon bimbitnya. Panggilan dan mesej yang diterima disemak terlebih dahulu. Salah satu mesej yang diterimanya telah menarik perhatian sehingga menyebabkannya tergesa-gesa mahu beredar.
“Aya, aku pergi dulu.” Langkahnya diatur panjang.
“Hei, kau nak kemana?” Aya terpinga-pinga melihat Ryo yang kelam kabut hendak cabut dari situ.
“Ada hal penting aku nak jumpa dengan seseorang.”
“Seseorang? Siapa?”
“Nanti kau akan tahu juga. Ini antara hidup dan mati. Aku kena pergi sekarang.”
“Hei.. hei, Ryo!” Aya tidak berjaya menahan Ryo yang sudah lesap di balik lawang pintu.

*****************

HARI yang senja semakin menghampiri kegelapan. Ditambah dengan cuaca mendung petang itu suasana di perkarangan rumah Ryo agak menakutkan. Yna masih menunggu di luar pintu pagar rumah Ryo dengan sabar. Dia duduk di atas bagasinya yang dibaringkan di atas tanah.
Guruh yang berbunyi sesekali memberi amaran akan datangnya hujan tidak lama lagi. Orang yang dinanti masih jua belum muncul. Hati Yna semakin resah. Angin petang yang dingin menyentuh tubuhnya menambah lagi keresahan jiwa. Ia bagaikan petanda tidak baik.
“Hujan… tolonglah jangan turun dahulu.” Yna mendongak memandang langit hitam yang menakutkan. Dia berpeluk tubuh melawan kedingin cuaca sejuk. “Berani kau mainkan aku, Ryo.” Ada dendam kecil yang tersemat di lubuk hatinya.

**********

RYO memandu sendiri keretanya. Ada seseorang yang penting perlu ditemuinya. Paling teruk dia telah terlupa janjinya dengan Yna. Tentu sudah lama Yna menunggu di rumahnya.
Dia memberhentikan keretanya ketika lampu isyarat merah di lintasan zebra. Kesempatan pendek itu diambilnya untuk menghubungi Yna. Panggilan tidak berjawab. Ryo terus menguhubungi Yna sehingga berjaya.
Beberapa orang pejalan kaki sedang melintas jalan raya ketika ini. Mata Ryo yang sedang memandang ke hadapan tiba-tiba ternampak kelibat seseorang yang dikenalinya. Dia menegakkan badan menyoroti pemuda yang baru melintas di hadapannya. Telefon yang menghubungi Yna masih di telinganya namun matanya kini lebih fokus pada pemuda berbaju putih dengan cap berwarna merah itu.
“Hello,” suara Yna muncul menjawab panggilan Ryo.
Ryo yang masih memandang ke arah lelaki tadi seakan khayal dan terus memerhatikan lelaki itu yang sudah sampai ke seberang jalan.
“Hello… Ryo?”
“Vic…” Ryo tidak membalas panggilan Yna di talian. Dia membuka pintu kereta dan cuba hendak keluar mengejar kelibat pemuda tadi. Namun langkahnya terbantut apabila lampu isyarat sudah hijau dan beberapa kenderaan di belakangnya sudah membunyikan hon. Ryo tiada pilihan. Dia terpaksa masuk semula ke dalam perut kereta. Keretanya segera dipandu masuk ke simpang kanan dan diberhentikan di bahu jalan.
Pemuda berbaju putih dengan cap merah tadi sudah jauh berjalan di hadapan namun mata Ryo berjaya menyoroti gerak langkah pemuda tersebut. Dia segera mengejar kelibat lelaki itu.
“Yna, aku hubungi kau semula nanti.” Panggilan Yna tadi belum diputuskan.
“Ryo, kau dimana sekarang?” suara marah gadis itu kembali menerjah cuping telinganya.
“Aku cakap aku hubungi kau semula nanti.”
“Ryo!”
Tanpa sebarang balasan Ryo terus memutuskan talian. Langkah diatur pantas mengejar pemuda tadi. Cuaca mendung ditambah hari yang semakin senja agak membataskan matanya menjejaki kelibat lelaki tersebut. Namun Ryo yakin yang pemuda tadi berjalan menghala ke perhentian bas.
Agak sukar menjejaki kelibat pemuda yang disangkanya Vic di kawasan perhentian bas itu kerana terlalu ramai orang yang sedang berkumpul di sekitar kawasan tersebut. Lagipun bukan seorang saja yang berbaju putih. Ryo gagal menjejaki Vic.
“Mungkin bukan dia. Mungkin mata aku yang tersalah pandang tadi.” Ada sedikit keluhan kerana kegagalannya itu.
Guruh berdentum tiba-tiba. Ryo mendongak ke langit kelabu yang hampir kehitaman. Air dari langit mula menitis membasahi pipinya. Tidak lama kemudian gerimis bertukar menjadi hujan lebat yang mencurah-curah. Seluruh warga kota yang bertaburan di sekitar kawasan perhentian bas tersebut segera mendapatkan perlindungan.
Ada apa dengan hujan yang cuma air. Pelik apabila melihat manusia yang seolah-olah takut ditimpa air hujan. Ryo berjalan longlai kembali menuju ke keretanya. Air hujan yang ganas mencurah-curah dibiarkan membasahi tubuhnya.
“Apa yang aku fikirkan sampai boleh ternampak kelibat Vic tadi? Teruk betul! Takkanlah aku merindui sahabatku itu.” Sebelum masuk ke dalam kereta Ryo kembali berpaling ke belakang untuk memastikan kelibat Vic benar-benar tiada. Selain hujan lebat yang semakin mengaburkan penglihatan tiada kelibat pemuda yang disangkanya Vic itu berada di belakangnya.

************


RIN berdiri di sisi tingkap yang ditutup rapat kerana hujan lebat. Dia merapatkan kepalanya di permukaan tingkap yang lutsinar itu. Agak lama juga dia berkeadaan seperti itu.
“Apa yang sedang awak buat?” Vic yang baru muncul di bilik tersebut menyapa Rin.
Rin mengangkat kepalanya tatkala mendengar suara Vic yang baru muncul di sisinya.
“Rin dengar suara yang merdu,” jawabnya.
Vic menyelak langsir tingkap bilik hotel yang mereka diami. Melihat langit gelap Kota Lisberg yang cuma dihiasi air hujan yang mencurah-curah waktu itu.
“Suara hujan?”
Rin mengangguk dan tersenyum. “Hujan ni beritahu pada Rin yang ada orang sedang merindui Sho.”
Kerut di dahi Vic terpancar. Dia tidak mengerti dengan maksud yang cuba disampaikan oleh Rin.
“Sho rasa siapa sedang merindui Sho sekarang?”
Ada orang sedang merindui aku? Rin, Rin… pandai bergurau. Tapi kalau betul-betul ada orang sedang merindui mungkin hanya ‘dia’ seorang. Suara hatinya tidak terluah di mulut. Vic memandang tingkap kaca dihiasi butir-butir air hujan yang tempias melekat di permukaan tingkap. “Yna, adakah kau masih merindui aku?” suara hatinya berbisik lagi.

************

YNA kebasahan dalam gelap di luar kediaman Ryo. Gadis itu duduk bertinggung di sisi bagasinya sambil memeluk tubuh yang kedinginan. Pergerakannya terbatas dan tiada tempat untuknya berteduh di kawasan taman perumahan tersebut.
“Ryo… berapa lama kau nak biarkan aku tunggu kau dalam keadaan begini?” marahnya kini telah bercampur dengan perasaan sedih dan hiba kerana bersendirian dalam gelap dan kebasahan. Secara seni perasaan takut juga muncul dalam naluri kewanitaannya. “Ryo… cepatlah balik. Aku… aku ta-takut.”

Hati manusia itu sukar dijangka dan ditafsir secara kasar. Suatu hubungan yang pernah terjalin erat mungkin tidak pernah terputus sebenarnya. Adakalanya kita cuba membuang perasaan sayang dan rindu. Namun ia tetap terbit kerana kita tidak pernah membuang memori orang-orang yang pernah kita sayangi biarpun orang-orang yang pernah kita sayangi itu telah menjadi orang-orang yang kita benci kini.


0 comments: